1 Doa Daud yang dinyanyikan kepada TUHAN tentang Kush, orang Benyamin. Ya TUHAN, ya Allahku, pada-Mu aku bernaung; selamatkan dan lepaskan aku daripada semua yang memburuku,
2 jangan biarkan mereka mengoyak-ngoyakkanku seperti singa dan mencarik-carikku tanpa sesiapa melepaskanku.
3 Ya TUHAN, ya Allahku, jika aku telah melakukan ini dan tanganku bergelumang dosa –
4 jika aku telah berbuat jahat kepada orang yang baik denganku atau tanpa sebab aku telah merampas milik musuhku –
5 maka biarlah musuhku memburu dan menangkapku; biar dia melanyak nyawaku ke tanah dan membuatku tidur dalam debu. Sela
6 Bangkitlah, ya TUHAN, dalam kemarahan-Mu; bangkit melawan keberangan para musuhku. Jagalah, ya TUHAN; firmankan keadilan.
7 Biarlah perhimpunan jemaah umat mengelilingi-Mu. Perintahlah mereka dari tempat-Mu yang tinggi;
8 biar TUHAN menghakimi segala umat. Hakimi aku, ya TUHAN, berasaskan perbenaranku, berasaskan keikhlasanku, Ya TUHAN Maha Tinggi.
9 Ya Allah yang benar, yang menyoroti fikiran dan hati, tamatkan keganasan orang zalim dan pastikan keselamatan orang yang benar.
10 Perisaiku Allah Maha Tinggi, yang menyelamatkan orang tulus.
11 Allah hakim yang benar, Allah menunjukkan kemurkaan-Nya setiap hari.
12 Jika manusia tidak bertaubat, Dia akan mengasah pedang-Nya; Dia akan memasang panah-Nya.
13 Dia telah menyiapkan senjata-senjata-Nya yang membawa maut; Dia menyediakan anak-anak panah-Nya yang menyala.
14 Orang yang menghamilkan kejahatan dan membenihkan kekacauan akan melahirkan kekecewaan.
15 Orang yang menggali lubang akan jatuh ke dalam lubang yang digalinya.
16 Kekacauan yang disebabkannya akan memantul ke atas dirinya; keganasannya menimpa kepalanya sendiri.
17 Aku akan bersyukur kepada TUHAN kerana apa yang dilakukan-Nya adalah benar dan akan menyanyikan pujian bagi nama TUHAN Maha Tinggi.