1 Untuk pemimpin muzik. Menurut lagu “Jangan Binasakan.” Mazmur Daud, ketika Saul menghantar orang mengawasi rumah Daud untuk membunuhnya. Selamatkan aku daripada musuhku, ya Allah; pertahankan aku daripada mereka yang bangkit menyerangku.
2 Selamatkan aku daripada orang yang melakukan kejahatan dan lindungi aku daripada manusia yang dahagakan darah.
3 Lihatlah, mereka mengendap menanti untuk meragut nyawaku! Orang yang berkuasa berpakat menentangku bukan kerana apa-apa kesalahan atau dosaku, ya TUHAN.
4 Mereka bersiap-siap menyerangku, sedangkan aku tidak bersalah. Bangunlah untuk menolongku; lihatlah!
5 Ya TUHAN, Allah alam semesta ialah Allah Israel, bangunlah dan hukumlah segala bangsa itu; jangan kasihani mereka yang zalim dan berdosa. Sela
6 Pada waktu senja mereka datang lagi, menderam seperti anjing, dan mengelilingi kota.
7 Mulut mereka meluahkan kata-kata – yang tajam seperti pedang, mereka menyangka tiada siapa yang mendengar.
8 Tetapi Engkau, ya TUHAN, akan mentertawakan mereka; Engkau akan menjadikan segala bangsa itu bahan ejekan.
9 Ya, Kekuatanku, aku akan menanti-Mu dengan penuh keyakinan; Ya Allah Yang Maha Kuasa, Allah Pelindungku.
10 Allah yang mengasihiku akan datang kepadaku Allah akan menunaikan permohonanku tentang musuhku.
11 Jangan terus matikan mereka, takut nanti kaumku lupa. Pecah belahkan mereka dengan kekuasaan-Mu, dan jatuhkan mereka, ya Tuhan, perisai pelindung kami.
12 Kerana kelancangan mulut mereka, melemparkan kata-kata berdosa, biarlah mereka disambar di tengah-tengah keangkuhan mereka. Dan kerana mereka menyumpah dan berdusta,
13 musnahkan mereka dalam kemurkaan-Mu, musnahkan mereka, supaya mereka tidak wujud lagi. Dan tunjukkan bahawa Allah memerintah dalam Yakub, dan setiap pelosok bumi. Sela
14 Pada waktu senja mereka datang lagi, mereka menderam seperti anjing, dan mengelilingi kota.
15 Mereka merayau-rayau mencari makanan dan melolong jika tidak kenyang.
16 Tetapi aku akan menyanyi tentang kekuasaan-Mu, ya, aku akan menyanyi setiap pagi dengan nyaring tentang kasih-Mu; kerana Engkau pelindungku, dan penaungku pada waktu kesusahan.
17 Untuk-Mu, ya Allah, kekuatanku, aku akan menyanyikan puji-pujian; kerana Allah Pelindungku, Allah yang mengasihiku.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Mazmur 59
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Mazmur 59

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV