1 Pujilah TUHAN! Pujilah Dia dari langit, pujilah Dia di tempat-tempat tinggi.
2 Pujilah Dia, hai semua malaikat-Nya, pujilah Dia, hai angkatan syurga.
3 Pujilah Dia, hai matahari dan bulan, pujilah Dia, hai kamu semua bintang bercahaya.
4 Pujilah Dia, hai kamu langit di atas langit dan kamu air di atas segala langit.
5 Biar mereka memuji nama TUHAN, kerana Dia telah memberikan perintah lalu mereka dicipta.
6 Dia juga menapakkan mereka selama-lamanya; Dia membuat ketetapan yang tidak akan lenyap.
7 Pujilah TUHAN dari bumi, hai kamu makhluk besar laut dan bawah lautan,
8 api dan hujan batu, salji dan awan, angin ribut yang menunaikan firman-Nya,
9 gunung-gunang dan segala bukit, pokok berbuah dan semua pokok araz,
10 haiwan dan segala lembu kerbau, binatang menjalar dan burung yang terbang,
11 raja-raja di bumi dan semua bangsa, putera-putera dan semua pemerintah di bumi,
12 pemuda dan gadis, orang tua dan kanak-kanak.
13 Biar mereka memuji nama TUHAN, kerana hanya nama-Nya ditinggikan; kemuliaan-Nya mengatasi bumi dan langit.
14 Dan Dia telah mengangkat tinggi tanduk umat-Nya, pujian seluruh umat-Nya yang warak, anak-anak Israel, umat yang dekat dengan-Nya. Pujilah TUHAN!