1 Bersyukurlah kepada TUHAN, kerana kebaikan-Nya; kerana kasih-Nya kekal selama-lamanya.
2 Biarlah mereka yang ditebus oleh TUHAN berkata demikian – mereka yang telah ditebus-Nya daripada tangan musuh,
3 dan dikumpulkan-Nya dari negeri-negeri, dari timur dan dari barat, dari utara dan dari selatan.
4 Mereka telah merayau di gurun dalam kehampaan, mereka tidak dapat mencari kota untuk didiami.
5 Lapar dan dahaga, jiwa mereka tidak bermaya.
6 Kemudian mereka berseru kepada TUHAN dalam kesusahan mereka, dan Dia menyelamatkan mereka daripada segala keazaban mereka.
7 Lalu Dia memandu mereka di jalan yang betul supaya mereka dapat pergi ke sebuah kota dan tinggal di situ.
8 Biarlah manusia bersyukur kepada TUHAN kerana kasih setia-Nya dan kerana hasil-hasil kerja-Nya yang menakjubkan untuk anak-anak manusia,
9 kerana Dia memuaskan jiwa yang penuh kerinduan, dan mengenyangkan jiwa yang lapar dengan kebaikan.
10 Mereka yang duduk dalam kegelapan dan bayangan maut, dibelenggu dengan derita serta rantai besi,
11 kerana mereka telah memberontak terhadap firman Allah dan menghina bimbingan Yang Maha Tinggi.
12 Oleh itu, Dia menundukkan hati mereka dengan kerja teruk; mereka jatuh tersungkur, dan tiada siapa yang menolong.
13 Kemudian mereka berseru kepada TUHAN dalam kesusahan mereka, dan Dia menyelamatkan mereka daripada segala keazaban mereka.
14 Dia membawa mereka keluar daripada kegelapan dan bayangan maut dan menghancurkan rantai pengikat mereka.
15 Biarlah manusia bersyukur kepada TUHAN kerana kasih setia-Nya dan kerana hasil-hasil kerja-Nya yang menakjubkan untuk anak-anak manusia,
16 kerana Dia telah memecahkan pintu-pintu pagar gangsa dan memotong palang-palang besi sehingga patah dua.
17 Orang yang bodoh, kerana keingkaran mereka dan kerana dosa mereka, telah ditimpa kesakitan.
18 Jiwa mereka membenci segala jenis makanan, maka mereka hampir ke pintu maut.
19 Kemudian mereka berseru kepada TUHAN dalam kesusahan mereka, dan Dia menyelamatkan mereka daripada segala keazaban mereka.
20 Dia menghantar firman-Nya dan menyembuhkan mereka; serta melepaskan mereka daripada kemusnahan.
21 Biarlah manusia bersyukur kepada TUHAN kerana kasih setia-Nya dan kerana hasil-hasil kerja-Nya yang menakjubkan untuk anak-anak manusia.
22 Biarlah mereka mempersembahkan korban-korban kesyukuran dan mengisytiharkan hasil-hasil kerja-Nya sambil bergembira.
23 Mereka yang turun ke laut menaiki kapal; yang berurusan di lautan luas.
24 Mereka melihat hasil-hasil kerja TUHAN, dan keajaiban-Nya di lautan dalam.
25 Kerana Dia memerintahkan angin ribut bertiup dan meninggikan gelombang-gelombang laut.
26 Mereka naik ke arah langit, mereka turun ke laut dalam; jiwa mereka lebur dalam kesusahan.
27 Mereka terumbang-ambing dan terhuyung-hayang seperti orang mabuk, dan kehilangan akal.
28 Kemudian mereka berseru kepada TUHAN dalam kesusahan mereka, dan Dia membawa mereka keluar daripada segala keazaban mereka.
29 Dia menenangkan ribut; maka laut tidak bergelora lagi.
30 Maka mereka bersukacita kerana telah tenang, lalu Dia memandu mereka ke tempat berteduh yang diingini mereka.
31 Biarlah manusia bersyukur kepada TUHAN kerana kasih setia-Nya dan kerana hasil-hasil kerja-Nya yang menakjubkan untuk anak-anak manusia.
32 Biarlah mereka meninggikan-Nya juga dalam perhimpunan orang dan memuji-Nya dalam kalangan tua-tua.
33 Dia menukar sungai menjadi gurun, dan mata air menjadi tanah kering,
34 tanah yang subur menjadi tandus, kerana kezaliman mereka yang tinggal di situ.
35 Dia menukar gurun menjadi kolam-kolam air dan tanah kering menjadi mata air;
36 di sana Dia menempatkan orang yang kelaparan, supaya mereka membina kota sebagai tempat tinggal.
37 Dan menyemai benih di ladang dan menanam anggur di kebun untuk mendapat hasil yang mewah;
38 Dia juga memberkati mereka, lalu mereka beranak-pinak dengan ramainya, dan Dia tidak membiarkan lembu ternakan mereka berkurangan.
39 Apabila mereka dijadikan kecil dan lemah dengan penindasan, derita serta kesedihan,
40 Dia mencurahkan kehinaan ke atas orang bangsawan dan membuat mereka merayau di gurun serta sesat di situ.
41 Sebaliknya, Dia mengangkat tinggi orang sesak jauh daripada derita dan menjadikan keluarga mereka seperti kawanan domba.
42 Orang yang tulus melihatnya dan bersukacita, serta seluruh kejahatan membisu.
43 Sesiapa yang bijaksana akan memerhatikan semua ini dan akan mengerti kasih TUHAN.