1 Inilah amsal Salomo anak Daud, raja Israel:
2 untuk mengetahui hikmah dan didikan, untuk memahami kata yang dalam ertinya,
3 untuk menerima didikan tentang budi pekerti, tentang apa yang benar, adil, dan lurus;
4 untuk memberikan kearifan kepada orang yang betul bendul, serta pengetahuan dan budi bicara kepada kalangan muda.
5 Orang bijaksana mendengar untuk menambah pengertiannya, dan orang yang arif memperoleh petunjuk
6 untuk memahami pepatah serta petua, kata-kata orang bijaksana dan teka-teki mereka.
7 Takut kepada TUHAN adalah permulaan pengetahuan; orang bodoh meremehkan hikmah dan didikan.
8 Hai anakku, dengarlah didikan ayahmu, dan jangan lalai ajaran ibumu;
9 kerana segalanya hiasan indah kepalamu, dan kalung bagi lehermu.
10 Hai anakku, jika orang berdosa memujukmu, jangan turuti.
11 Jika mereka berkata, “Ikutlah kami! Mari kita menghendap demi menumpahkan darah; mari kita serang hendap orang yang tidak bersalah tanpa sebarang sebab;
12 mari kita menjadi bak alam barzakh dan menelan mereka hidup-hidup, bulat-bulat, seperti orang yang turun ke liang lahat;
13 kita akan mendapat segala macam benda berharga, kita akan memenuhi rumah kita dengan barang rampasan;
14 buanglah undimu ke tengah-tengah kami; kita kongsi bersama-sama segala yang kita samun!”
15 Hai anakku, jangan ikut perilaku mereka; jauhkan kakimu dari jalan-jalan mereka,
16 kerana kaki mereka cuma meluru menuju kejahatan, dan mereka bergegas kerana mahu menumpahkan darah.
17 Betapa sia-sia membentangkan jaring di hadapan mata burung;
18 namun mereka menanti untuk menumpahkan darah sendiri dan menghendap nyawa mereka sendiri.
19 Demikianlah jadinya setiap orang yang tamak akan harta haram; kerakusannya itu bakal mencabut nyawanya sendiri.
20 Hikmah berseru-seru di jalan raya, ia menyaringkan suaranya di lapangan.
21 Di kepala jalan tumpuan ramai, ia bersuara, dan di muka pintu gerbang kota ia menyampaikan kata-katanya,
22 “Hai orang yang betul bendul, sampai bilakah kamu cinta akan keadaanmu sebagai orang yang betul bendul? Sampai bilakah para pencemuh gemar mencemuh, dan orang bodoh benci akan pengetahuan?
23 Berpalinglah mendengar teguranku. Sesungguhnya, aku akan mencurahkan isi hatiku kepadamu, aku akan menghuraikan manfaat kata-kataku kepadamu.
24 Tetapi kamu menolak ketika kupanggil, dan tiada seorang pun mengendahkan ketika aku menghulurkan tanganku.
25 Atas sebab kamu mensia-siakan semua nasihatku, dan tidak mahu menerima teguranku,
26 aku pun akan mentertawakan bencana yang kamu alami; aku akan mencemuhmu ketika malapetaka menimpamu,
27 ketika kengerian melandamu seperti badai, ketika bencana mendatangimu seperti angin puting beliung, ketika kesesakan serta kesusahan menimpamu.
28 Pada waktu itu mereka akan memanggil aku, tetapi aku tidak akan menjawab. Mereka akan bersungguh-sungguh mencari aku, tetapi mereka tidak akan menemukan aku.
29 Mereka benci akan pengetahuan dan tidak memilih supaya takut kepada TUHAN.
30 Mereka tidak mahu menerima nasihatku, dan menolak semua teguranku.
31 Oleh itu, mereka akan memakan buah pilihan mereka, dan akan kenyang dengan khayalan mereka sendiri.
32 Orang betul bendul akan terbunuh oleh sifat melulunya, dan kepuasan orang bodoh akan membinasakan mereka.
33 Tetapi orang yang mendengar kata-kataku akan hidup sejahtera dan berasa selamat tanpa takut akan malapetaka.”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Amsal 1
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Amsal 1

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV