1 Untuk pemimpin muzik. Menurut Yedutun. Mazmur Daud. Sesungguhnya, jiwaku senyap hening menantikan Allah; daripada-Nya datang penyelamatanku.
                                                                                                                            2 Hanyalah Dia batu pejalku dan penyelamatanku; Dialah yang melindungiku, maka aku tidak akan digulingkan.
                                                                                                                            3 Berapa lamakah kamu akan terus menyerang? Kamu semua akan dimusnahkan – seperti dinding yang miring dan pagar yang hampir rebah.
                                                                                                                            4 Mereka berkomplot semata-mata untuk menggulingkannya daripada kedudukannya yang tinggi; mereka suka berdusta. Mereka memberkati dengan mulut, tetapi menyumpah dalam hati. Sela
                                                                                                                            5 Jiwaku, senyap heninglah menantikan Allah sahaja; kerana harapanku terletak pada-Nya.
                                                                                                                            6 Hanyalah Dia batu pejalku dan penyelamatanku; Dialah pertahananku, maka aku tidak akan digugat.
                                                                                                                            7 Pada Allah penyelamatanku dan kemuliaanku; batu pejal kekuatanku, dan tempat perlindunganku pada Allah.
                                                                                                                            8 Percayalah kepada-Nya setiap waktu, hai umatku; curahkan isi hatimu di hadirat-Nya, Allah Pelindung kita. Sela
                                                                                                                            9 Sesungguhnya, manusia baik rendah mahupun tinggi kedudukannya, hanyalah nafas dan bayangan maya; jika mereka ditimbang dengan neraca; semuanya lebih ringan daripada nafas.
                                                                                                                            10 Jangan letakkan kepercayaan kepada penindasan, usah berharap sia-sia kepada hasil rompakan; walaupun kekayaanmu bertambah, jangan bergantung kepadanya.
                                                                                                                            11 Allah telah berfirman beberapa kali, dan aku telah mendengar: bahawa kuasa hanya milik Allah,
                                                                                                                            12 kasih juga milik-Mu, ya Tuhan. Engkau memberi ganjaran yang sepadan dengan usaha setiap orang.