1 Untuk pemimpin muzik. Mazmur Daud, hamba TUHAN. Satu nubuat dalam hatiku tentang keingkaran orang zalim: rasa takut terhadap Allah tiada di jiwanya.
2 Kerana dia memuliakan dirinya dalam pandangannya sehingga dia tidak tahu keingkarannya dan berasa kebencian.
3 Kata-kata daripada mulutnya zalim dan dusta; dia tidak lagi bijaksana dan berbuat baik.
4 Dia merancang kejahatan di tempat tidurnya; dia mengikut jalan yang tidak baik, dia tidak membenci kejahatan.
5 Kasih-Mu, ya TUHAN, menjangkau langit, kesetiaan-Mu mencecah awan.
6 Perbenaran-Mu setinggi gunung, penghakiman-Mu sedalam lautan. Ya TUHAN, Engkau melindungi manusia dan haiwan.
7 Betapa berharganya kasih setia-Mu, ya Allah! Oleh itu, anak manusia berlindung di bawah bayangan sayap-Mu.
8 Mereka dijamu sehingga puas dari limpahan kurnia rumah-Mu; dan Kauberi mereka minum dari sungai nikmat-Mu.
9 Kerana pada-Mu pancuran hidup; dalam cahaya-Mu kami melihat cahaya.
10 Teruskanlah kasih-Mu kepada mereka yang mengenal-Mu, dan perbenaran-Mu kepada mereka yang tulus hati.
11 Jangan biarkan kaki orang yang angkuh menerajangku, dan jangan biarkan tangan orang zalim mengusirku.
12 Lihatlah, orang yang melakukan kejahatan telah jatuh – mereka telah digulingkan dan tidak berdaya bangkit lagi!