1 Pujilah TUHAN! Pujilah TUHAN, wahai jiwaku.
                                                                                                                            2 Selagi aku hidup, aku akan memuji TUHAN; aku akan menyanyikan pujian untuk Allahku selagi aku masih wujud.
                                                                                                                            3 Janganlah sandarkan kepercayaanmu kepada raja-raja, atau kepada anak manusia kerana pertolongan bukanlah daripadanya.
                                                                                                                            4 Rohnya pergi, dia kembali menjadi tanah; pada hari itu juga semua rancangannya musnah.
                                                                                                                            5 Diberkatilah orang yang ditolong oleh Allah Yakub, yang berharap kepada TUHAN Allahnya,
                                                                                                                            6 yang telah menjadikan langit dan bumi, laut, dan segala yang di dalamnya – Dia tetap setia selama-lamanya.
                                                                                                                            7 Dia menjalankan keadilan bagi mereka yang ditindas; Dia memberi makanan kepada mereka yang lapar. TUHAN memberi kebebasan kepada mereka yang dipenjarakan,
                                                                                                                            8 TUHAN mencelikkan mata orang buta, TUHAN menegakkan mereka yang tersungkur, TUHAN mengasihi orang yang benar.
                                                                                                                            9 TUHAN menaungi orang asing Dia membantu anak yatim dan balu, tetapi usaha orang zalim dihancurkan-Nya.
                                                                                                                            10 TUHAN akan memerintah selama-lamanya, Allahmu, wahai Sion, turun-temurun zaman-berzaman. Pujilah TUHAN!