1 Pujilah TUHAN! Pujilah nama TUHAN; pujilah Dia, hai kamu hamba-hamba TUHAN,
2 kamu yang berdiri di Rumah TUHAN, di balai-balai Rumah Allah kita.
3 Pujilah TUHAN, kerana kebaikan-Nya; nyanyikan pujian untuk nama-Nya, kerana sungguh menyenangkan.
4 Kerana TUHAN telah memilih Yakub untuk diri-Nya, Israel untuk kesayangan-Nya yang istimewa.
5 Kerana aku tahu bahawa TUHAN Maha Besar, dan Tuhan kita di atas semua tuhan.
6 Apa sahaja yang TUHAN berkenan, dilakukan-Nya, di syurga dan di bumi, di lautan dan di semua tempat yang dalam.
7 Dia membuat wap naik dari semua pelosok bumi; Dia menghantar kilat bersama hujan; Dia mengeluarkan angin daripada perbendaharaan-Nya.
8 Dia memusnahkan anak sulung Mesir, baik manusia mahupun binatang.
9 Dia menghantar tanda dan keajaiban ke kalanganmu, hai Mesir, kepada Firaun dan semua hambanya.
10 Dia mengalahkan banyak bangsa dan membunuh raja-raja perkasa –
11 Sihon raja bangsa Amori, Og raja Basan dan semua kerajaan di Kanaan –
12 lalu memberikan tanah mereka sebagai warisan pusaka, warisan pusaka kepada umat-Nya Israel.
13 Nama-Mu, ya TUHAN, kekal selama-lamanya, kemasyhuran-Mu, ya TUHAN, turun-temurun zaman-berzaman.
14 Kerana TUHAN akan menghakimi umat-Nya dan Dia akan berbelas kasih ke atas hamba-hamba-Nya.
15 Berhala bangsa-bangsa diperbuat daripada perak dan emas, hasil pertukangan tangan manusia.
16 Ia ada mulut, tetapi tidak berkata-kata, ada mata tetapi tidak melihat;
17 ia ada telinga, tetapi tidak mendengar, dan tiada nafas di mulutnya.
18 Orang yang membuatnya serupalah dengannya, demikian juga setiap orang yang menyandarkan kepercayaan kepadanya.
19 Pujilah TUHAN, hai keturunan kaum Israel; Pujilah TUHAN, hai keturunan kaum Harun;
20 Pujilah TUHAN, hai keturunan kaum Lewi; kamu yang takut akan TUHAN, pujilah TUHAN.
21 Pujilah TUHAN dari Sion, yang tinggal di Yerusalem. Pujilah TUHAN!