1 Jika seseorang berbuat dosa kerana tidak tampil dan menawarkan diri untuk menjadi saksi tentang sesuatu yang didengar, dilihat, atau diketahuinya, maka dia perlu menanggung akibatnya.
2 Atau, jika seseorang tanpa sengaja menyentuh apa-apa pun yang najis, sama ada bangkai binatang liar atau bangkai haiwan ternakan yang najis, atau bangkai kawanan haiwan terbang yang najis, maka sekalipun dia tidak menyedarinya ketika dia bernajis itu, dia memang bernajis dan bersalah.
3 Atau, jika tanpa disengajakan dia tersentuh apa-apa pun kenajisan manusia yang dapat menajiskannya tanpa disedarinya tetapi kemudian dia menyedarinya, maka dia bersalah.
4 Atau, jika seseorang mengikut gerak hatinya lalu tanpa sengaja bersumpah secara sembarangan dengan bibirnya untuk berbuat jahat atau berbuat baik kemudian disedarinya akan hal itu, maka dia bersalah dalam hal salah satu sumpahnya.
5 Jadi, apabila seseorang bersalah dalam salah satu hal tersebut, hendaklah dia dengan serta-merta mengakui dosa yang telah dilakukannya
6 dan hendaklah dia memberi TUHAN pampasan bagi dosanya, iaitu seekor anak domba atau kambing betina sebagai korban penghapus dosa. Hendaklah imam mengadakan pendamaian bagi orang itu atas dosanya.
7 Jika dia tidak mampu menyediakan anak domba sebagai pampasan bagi dosanya itu, maka hendaklah dia membawa dua ekor burung tekukur atau dua ekor anak burung merpati untuk dipersembahkan kepada TUHAN, seekor untuk menjadi korban penghapus dosa dan seekor lagi untuk menjadi korban bakaran.
8 Hendaklah dia membawanya kepada imam, dan hendaklah imam terlebih dahulu mempersembahkan burung untuk korban penghapus dosa. Hendaklah kepala burung itu dipulasnya daripada pangkal lehernya, tetapi jangan sampai terpisah kepala dengan badan.
9 Kemudian sebahagian daripada darah korban penghapus dosa itu hendaklah dipercikkannya pada tepi mazbah, manakala segala darah yang berbaki itu hendaklah disalirkan keluar ke kekaki mazbah. Itulah korban penghapus dosa.
10 Hendaklah imam menyediakan burung yang kedua untuk dijadikan korban bakaran yang menepati peraturan, dan hendaklah imam mengadakan pendamaian bagi orang itu atas dosa yang telah dilakukannya, dan orang itu akan diampuni.
11 Akan tetapi, jika dia tidak mampu mempersembahkan dua ekor burung tekukur atau dua ekor anak burung merpati, maka atas sebab dosa yang dilakukannya itu, hendaklah dia membawa sepersepuluh efa tepung terbaik sebagai persembahan penghapus dosa. Dia tidak boleh menuangkan minyak padanya dan menaruh kemenyan di atasnya, kerana itu persembahan penghapus dosa.
12 Hendaklah dia membawanya kepada imam, dan hendaklah imam mengambil segenggam penuh daripada persembahan itu sebagai bahagian peringatan lalu membakarnya di atas mazbah, di atas korban bakaran untuk TUHAN. Itulah persembahan penghapus dosa.
13 Hendaklah imam mengadakan pendamaian bagi orang itu atas dosa yang telah dilakukannya dalam salah satu hal tersebut, dan orang itu akan diampuni. Segala bahagian yang berbaki menjadi bahagian imam, sama seperti peraturan dalam hal persembahan bahan makanan.’ ”
14 TUHAN berfirman kepada Musa,
15 “Jika seseorang melakukan kemungkaran dan tanpa sengaja berbuat dosa dalam hal-hal berkaitan dengan perkara-perkara suci milik TUHAN, maka sebagai tebusan kesalahannya, hendaklah dia mempersembahkan kepada TUHAN seekor domba jantan yang tidak bercacat cela daripada kawanan domba yang sudah dinilai menurut syikal perak, iaitu syikal rasmi Khemah Suci, sebagai korban penebus kesalahan.
16 Hendaklah dia membayar ganti rugi atas dosanya berkaitan dengan hal yang suci itu, dengan menambah seperlima daripada nilainya, lalu menyerahkannya kepada imam. Hendaklah imam mengadakan pendamaian bagi orang itu dengan domba jantan korban penebus kesalahan itu, dan orang itu akan diampuni.
17 Jika seseorang berbuat dosa dan melakukan satu daripada mana-mana larangan TUHAN meskipun dia tidak menyedarinya, maka dia bersalah dan perlu menanggung kesalahannya.
18 Hendaklah dia membawa kepada imam seekor domba jantan yang tidak bercacat cela daripada kawanan domba yang sudah dinilai, untuk menjadi korban penebus kesalahan. Hendaklah imam mengadakan pendamaian bagi orang itu atas dosa yang dilakukannya tanpa sengaja dan tanpa disedarinya itu, dan orang itu akan diampuni.
19 Itulah korban penebus kesalahan yakni orang itu benar-benar bersalah kepada TUHAN.”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Imamat 5
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Imamat 5

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV