1 Bezaleel membuat tabut daripada kayu akasia yang berukuran sepanjang dua setengah hasta dan selebar satu setengah hasta, dan setinggi setengah hasta.
2 Bahagian dalam dan luar tabut itu disalutnya dengan emas tulen, manakala di sekeliling bahagian atasnya dibuatnya bingkai emas.
3 Dia membuat empat urat gegelang emas leburan pada keempat-empat penjurunya, iaitu dua urat gegelang pada satu sisi dan dua urat gegelang juga pada sisi yang setentang dengan sisi itu.
4 Lalu dia membuat pengusung daripada kayu akasia dan menyalutinya dengan emas.
5 Dia pun memasukkan kayu pengusung itu ke dalam gegelang pada dua sisi tabut itu, supaya dengannya tabut itu dapat diusung.
6 Kemudian dia membuat pula penutup pendamaian, daripada emas tulen, sepanjang dua setengah hasta dan selebar satu setengah hasta.
7 Dia juga membuat dua arca kerubin daripada emas tempaan pada kedua-dua hujung penutup pendamaian itu.
8 Satu arca kerubin di satu hujung dan satu arca kerubin di hujung lagi satu. Kedua-dua arca kerubin itu dibuat secara bersepadu dengan penutup pendamaian itu, pada kedua-dua hujungnya.
9 Arca-arca kerubin itu mengembangkan sayap-sayapnya ke atas, menudungi penutup pendamaian itu dengan sayap-sayapnya, sementara mukanya berhadapan antara satu sama lain, menghadap ke arah penutup pendamaian itu.
10 Bezaleel juga membuat meja daripada kayu akasia sepanjang dua hasta, selebar sehasta, dan setinggi satu setengah hasta.
11 Dia menyaluti meja itu dengan emas tulen serta dibuatnya bingkai emas di sekelilingnya.
12 Selanjutnya dia membuat jalur tepi selebar telapak tangan, lengkap dengan bingkai emas di sekeliling jalur tepi itu.
13 Dibuatnya pula empat urat gegelang emas leburan, lalu dipasangnya gegelang-gegelang itu pada keempat-empat penjuru meja itu, di keempat-empat kakinya.
14 Berdekatan dengan jalur tepi tadi diletakkan gegelang-gegelang itu yang berfungsi sebagai wadah bagi memasukkan kayu pengusung agar meja itu dapat diusung.
15 Lalu dibuatnya pula pengusung daripada kayu akasia dan disaluti kayu pengusung itu dengan emas, supaya dengan pengusung itu meja dapat diusung.
16 Dia membuat segala alat kelengkapan yang perlu diletakkan di atas meja, iaitu kesemua pinggan serta pendupaan, dan mangkuk dan pialanya, yang akan dipakai untuk persembahan minuman kesemuanya daripada emas tulen.
17 Kemudian Bezaleel membuat kaki pelita daripada emas tulen. Daripada emas tempaan dibuatnya kaki pelita iaitu kakinya dan batangnya. Kuncupnya, kelopaknya, dan mahkotanya dibuatnya secara bersepadu dengan kaki pelita itu.
18 Enam cabang timbul dari sisi-sisi kaki pelita itu: tiga cabang dari satu sisi dan tiga cabang lagi dari sisi yang satu lagi.
19 Ada tiga kuncup seperti bunga badam pada cabang yang satu, lengkap dengan kelopak dan mahkotanya, dan tiga kuncup seperti bunga badam pada cabang yang satu lagi, lengkap dengan kelopak dan mahkotanya. Demikian jugalah keenam-enam cabang yang timbul dari kaki pelita itu.
20 Pada kaki pelita itu sendiri ada empat kuncup bunga badam lengkap dengan kelopak dan mahkotanya.
21 Satu kelopak di bawah dua cabang pertama, satu kelopak di bawah dua cabang kedua, dan satu kelopak lagi di bawah dua cabang ketiga daripada keenam-enam cabang yang timbul dari kaki pelita itu.
22 Kelopak-kelopak serta cabang-cabang itu bersepadu dengan kaki pelita itu, seluruhnya daripada sepotong emas tulen tempaan.
23 Dibuatnya pula daripada emas tulen tujuh buah pelita untuk kaki pelita itu, penyepit sumbu, serta perbaraannya.
24 Kaki pelita dengan segala kelengkapannya itu dibuatnya daripada satu talenta emas tulen.
25 Selanjutnya dia membuat mazbah pendupaan daripada kayu akasia berbentuk empat persegi, sehasta panjangnya, sehasta lebarnya, dan dua hasta tingginya. Tanduk-tanduknya secara bersepadu dengannya.
26 Dia menyaluti semuanya dengan emas tulen, baik sisi atasnya, sisi-sisi sekelilingnya, mahupun tanduk-tanduknya, lalu dibuatnya bingkai emas di sekelilingnya.
27 Pada bahagian bawah bingkai di kedua-dua sisinya, dibuat pula dua urat gegelang emas sebagai tempat untuk memasukkan kayu pengusung supaya tempat pembakaran itu dapat diusung.
28 Kayu pengusungnya pula dibuatnya daripada kayu akasia yang disaluti emas.
29 Seterusnya dia membuat minyak tahbis yang suci dan dupa yang murni daripada rempah-ratus yang harum, seperti hasil kerja ahli pembuat wangi-wangian.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Keluaran 37
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Keluaran 37

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV