1 Hendaklah kamu buat mazbah berbentuk empat segi sama daripada kayu akasia iaitu sepanjang lima hasta, selebar lima hasta, dan setinggi tiga hasta.
2 Buatlah tanduk bagi setiap satu daripada empat penjurunya secara bersepadu dengan mazbah itu, lalu salutlah keseluruhannya dengan gangsa.
3 Buatlah juga segala kelengkapannya iaitu bekas untuk menampung abu, penyodok, bejana, cangkuk daging, dan penadah bara, kesemuanya daripada gangsa.
4 Lengkapilah mazbah itu dengan kekisi besi pengadang daripada gangsa, lalu buatlah empat gegelang gangsa di atas keempat-empat sudut kekisi itu.
5 Pasanglah kekisi itu di bawah belebas di sekeliling mazbah, dari bahagian bawah sehingga paras setengah ketinggian mazbah itu.
6 Buatlah dua pengusung daripada kayu akasia untuk mazbah itu, lalu salutlah dengan gangsa.
7 Masukkanlah kayu-kayu pengusung itu ke dalam gegelang tadi, sehingga kayu pengusung itu terletak di kedua-dua sisi mazbah itu ketika orang mengusungnya.
8 Hendaklah kamu buat mazbah itu daripada papan dan biarkannya berongga, seperti yang telah ditunjukkan kepadamu di atas gunung itu.
9 Hendaklah kamu buat laman dalam bagi Khemah Suci. Sisi sebelah selatan laman dalam itu hendaklah dipagari hamparan tabir sepanjang seratus hasta daripada kain linen halus yang dipintal,
10 yang disangga oleh dua puluh batang tiang daripada gangsa dengan dua puluh lesung pasak daripada gangsa juga. Cangkuk-cangkuk bagi tiang serta kambi-kambinya hendaklah daripada perak.
11 Demikian jugalah halnya dengan sisi panjang sebelah utara. Hamparkanlah kain sepanjang seratus hasta yang disangga oleh dua puluh batang tiang dengan dua puluh lesung pasak, kesemuanya daripada gangsa. Kaitan-kaitan pada tiang serta penghubung-penghubungnya haruslah daripada perak.
12 Pada sisi lebar di bahagian barat laman dalam hendaklah dibentangkan hamparan dinding sepanjang lima puluh hasta yang disangga oleh sepuluh batang tiang dengan sepuluh lesung pasaknya.
13 Sisi sebelah timur laman dalam juga harus selebar lima puluh hasta.
14 Hamparan dinding bahagian tepi pintu yang satu hendaklah sepanjang lima belas hasta serta disangga oleh tiga batang tiang dengan lesung pasaknya.
15 Di bahagian tepi pintu sebelah lagi itu hendaklah dibentangkan juga kain sepanjang lima belas hasta yang disangga oleh tiga batang tiang dengan tiga lesung pasaknya.
16 Bagi pintu laman dalam itu, hendaklah dibuatkan layar sepanjang dua puluh hasta daripada kain biru, kain ungu, kain merah menyala, dan linen halus yang dipintal, berhiaskan sulaman. Layar itu hendaklah disangga oleh empat batang tiang dengan empat lesung pasaknya.
17 Semua tiang di sekeliling laman dalam itu harus dihubungkan dengan penyambung-penyambung perak dan cangkuk-cangkuknya hendaklah daripada perak manakala lesung pasaknya daripada gangsa.
18 Laman itu hendaklah sepanjang seratus hasta, selebar lima puluh hasta, dan setinggi lima hasta, dan dipagari oleh kain linen halus yang dipintal, dengan lesung-lesung pasaknya daripada gangsa.
19 Segala kelengkapan Khemah Suci bagi keperluan ibadat, semua pasaknya, termasuk semua pasak laman dalam itu, hendaklah dibuat daripada gangsa.
20 Hendaklah kamu perintahkan orang Israel untuk membawa kepadamu minyak zaitun tumbuk yang murni untuk pencahayaan supaya pelita sentiasa ternyala.
21 Di dalam Khemah Pertemuan, iaitu di bahagian luar tabir yang menutupi tabut loh hukum itu, Harun dan anak-anak lelakinya hendaklah mengurus pelita itu agar tetap menyala di hadapan TUHAN dari petang sampai pagi hari. Ketetapan ini hendaklah sentiasa dipatuhi oleh orang Israel, turun-temurun.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Keluaran 27
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Keluaran 27

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV