1 “Jangan sebarkan khabar dusta. Jangan tolong orang fasiq dengan menjadi saksi yang tidak benar.
2 Jangan mengikut orang ramai melakukan kejahatan. Jika kamu menjadi saksi dalam suatu perkara, jangan menyimpang dengan mengikut orang ramai yang memutarbalikkan apa yang benar.
3 Jangan berpihak kepada orang miskin dalam tujuannya.
4 Jika kamu menemui lembu musuhmu atau keldainya yang tersesat, kamu hendaklah mengembalikan binatang itu kepadanya.
5 Jika kamu melihat keldai milik orang yang membencimu rebah kerana berat tanggungannya, jangan enggan menolongnya. Tolonglah orang itu dan juga keldainya.
6 Jangan merampas hak orang miskin untuk mendapatkan keadilan.
7 Jauhkanlah dirimu daripada perkara dusta dan jangan kamu hukum mati orang yang tidak bersalah dan orang benar kerana Aku tidak akan membenarkan orang yang fasiq.
8 Jangan menerima rasuah kerana suap membutakan mata orang yang melihat dan memutarbalikkan kata-kata orang benar.
9 Jangan kamu menganiaya seorang pendatang. Kamu sendiri tahu bagaimana rasanya menjadi pendatang kerana kamu pun dahulunya pendatang di Tanah Mesir.
10 Selama enam tahun kamu hendaklah mengusahakan tanahmu dan mengumpulkan hasilnya,
11 tetapi pada tahun yang ketujuh kamu hendaklah membiarkannya dan meninggalkannya begitu sahaja supaya orang miskin antara bangsamu dapat makan, dan sisa ditinggalkan mereka dapat dimakan oleh binatang liar. Demikian jugalah harus kamu lakukan terhadap kebun anggurmu dan kebun zaitunmu.
12 Selama enam hari hendaklah kamu lakukan pekerjaanmu, tetapi pada hari ketujuh hendaklah kamu berhenti. Dengan demikian, lembumu serta keldaimu dapat beristirahat dan anak hamba perempuanmu serta para pendatang dapat melepaskan lelah.
13 Ikuti baik-baik segala hal yang Kufirmankan kepadamu. Jangan menyebut nama tuhan lain, dan jangan biarkan nama itu terdengar lantaran terkeluar daripada mulutmu.
14 Tiga kali dalam setahun kamu harus mengadakan perayaan bagi-Ku.
15 Tetaplah rayakan Perayaan Roti Tidak Beragi. Tujuh hari lamanya kamu harus makan roti yang tidak beragi, seperti yang Kuperintahkan kepadamu. Hendaklah kamu lakukan hal itu pada waktu yang ditetapkan, iaitu dalam bulan Abib, kerana dalam bulan itulah kamu keluar dari Mesir. Jangan seorang pun menghadap hadirat-Ku dengan tangan kosong.
16 Tetaplah rayakan Perayaan Penuaian, iaitu penuaian hasil pertama daripada apa yang telah kamu usahakan di ladang. Selain itu, tetaplah rayakan Perayaan Pengumpulan Hasil pada akhir tahun, sewaktu kamu mengumpulkan hasil pekerjaanmu dari ladang.
17 Tiga kali setahun semua lelaki hendaklah menghadap ke hadirat Tuhan ALLAH.
18 Jangan kamu persembahkan kepada-Ku darah daripada korban sembelihan bersama dengan roti yang beragi. Lemak korban hari raya-Ku pun tidak boleh kaubiarkan bermalam sampai pagi.
19 Yang terbaik daripada hasil pertama tanahmu hendaklah kamu bawa ke dalam Bait TUHAN, Allahmu. Jangan kamu rebus anak kambing di dalam air susu ibunya.”
20 “Sesungguhnya, Aku mengutus malaikat-Ku berjalan di hadapanmu untuk melindungimu di jalan dan untuk membawamu ke tempat yang telah Kusediakan.
21 Dengarlah dan patuhilah kata-katanya kerana nama-Ku ada dalam dia. Maka jangan menderhaka kepadanya kerana dia tidak akan mengampunkan pelanggaranmu.
22 Tetapi jika kamu betul-betul mentaati kata-katanya dan melakukan semua yang Kufirmankan, maka Aku akan memusuhi para musuhmu dan melawan para lawan-lawanmu.
23 Malaikat-Ku akan berjalan di depanmu dan membawamu ke negeri bani Amori, bani Het, bani Feris, bani Kanaan, bani Hewi, serta bani Yebus, dan Aku akan memusnahkan mereka sama sekali.
24 Jangan sujud menyembah tuhan mereka atau beribadat kepadanya, dan jangan ikuti kelakuan mereka. Sebaliknya, kamu hendaklah meruntuhkan semua itu sama sekali juga menghancurkan semua tiang berhala mereka.
25 Beribadatlah kepada TUHAN, Allahmu, maka Dia akan memberkati rotimu dan airmu. Aku akan menyingkirkan penyakit dari antara kamu.
26 Tidak akan ada seorang perempuan pun yang keguguran atau yang mandul di negerimu. Aku akan menggenapkan jumlah umurmu.
27 Kengerian terhadap diri-Ku akan Kukirim mendahuluimu dan Aku akan mengacau-bilaukan semua bangsa yang kamu datangi. Aku akan membuat semua musuhmu lari membelakangimu.
28 Aku akan melepaskan serangga penyengat untuk mendahuluimu supaya bani Hewi, bani Kanaan, dan bani Het dihalau dari hadapanmu.
29 Aku tidak akan mengusir mereka dari hadapanmu dalam satu tahun, supaya jangan negeri itu menjadi sunyi sepi dan binatang liar bertambah banyak melebihi kamu.
30 Sedikit demi sedikit akan Kuusir mereka dari hadapanmu, sampai kamu beranak cucu dan memiliki negeri itu.
31 Aku akan menentukan batas daerahmu, iaitu dari Laut Merah sampai Laut Filistin, dan dari gurun sampai ke Sungai Efrat. Aku akan menyerahkan penduduk negeri itu ke dalam tanganmu, dan kamu akan mengusir mereka dari hadapanmu.
32 Jangan mengikat perjanjian dengan mereka atau dengan tuhan mereka.
33 Jangan biarkan mereka tinggal di negerimu supaya jangan mereka membuat kamu berdosa terhadap Aku, kerana akan terjebak jika kamu beribadat kepada tuhan mereka.”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Keluaran 23
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Keluaran 23

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV