1 TUHAN berfirman kepada Musa, “Aku akan mendatangkan satu azab lagi atas Firaun dan atas Mesir, sesudah itu barulah dia akan mengizinkan kamu pergi dari sini dan dia akan benar-benar mengusir kamu dari sini.
2 Katakanlah kepada orang Israel, hendaklah setiap lelaki minta daripada tetangganya barang-barang perak dan emas, dan begitu jugalah setiap perempuan meminta daripada tetangganya.”
3 Lalu TUHAN membuat warga Mesir berbaik hati kepada umat itu, apatah lagi pula, Musa memang seorang yang dipandang tinggi di Tanah Mesir, baik di mata pegawai-pegawai Firaun mahupun di mata rakyat.
4 Kata Musa, “Beginilah firman TUHAN, ‘Pada waktu tengah malam Aku akan datang ke tengah-tengah Mesir.
5 Maka semua anak sulung di Tanah Mesir akan mati, mulai anak sulung Firaun yang duduk di atas takhtanya hingga anak sulung hamba perempuan yang bekerja menggunakan pengisar itu, dan juga semua anak sulung ternakan.
6 Tangisan yang kuat akan berlaku di seluruh Tanah Mesir yang belum pernah terjadi sebelum itu dan tidak akan terjadi lagi.
7 Akan tetapi, kepada siapa pun daripada orang Israel, baik manusia mahupun binatang, tidak ada seekor anjing pun akan berani menyalak, supaya kamu tahu bahawa TUHAN membezakan di antara warga Mesir dengan orang Israel.
8 Semua pegawaimu akan datang kepadaku, akan sujud memberi hormat kepadaku dan berkata, ‘Keluarlah engkau bersama-sama seluruh rakyat yang mengikut engkau.’ Sesudah itu aku akan pergi.” Lalu keluarlah Musa meninggalkan Firaun dengan kemarahan yang menyala-nyala.
9 Firman TUHAN kepada Musa, “Firaun tidak akan mendengar kamu, maka dengan demikian akan bergandalah mukjizat yang dapat Kutunjukkan di Tanah Mesir.”
10 Musa dan Harun melakukan segala keajaiban itu di hadapan Firaun, tetapi TUHAN mengeraskan hati Firaun sehingga dia tidak mengizinkan orang Israel pergi dari negerinya.