1 TUHAN berfirman kepada Nuh, “Masuklah kamu berserta seisi keluargamu ke dalam bahtera, kerana Aku lihat engkaulah orang yang benar dalam kalangan yang sezaman denganmu.
2 Bawalah tujuh pasang yakni jantan dan betina, daripada segala binatang yang halal dan sepasang daripada binatang yang tidak halal
3 serta tujuh pasang, yakni jantan dan betina, daripada burung-burung di udara, supaya baka kesemuanya itu dapat dikekalkan di seluruh muka bumi.
4 Sebab tujuh hari lagi Aku akan menurunkan hujan ke atas bumi ini empat puluh hari empat puluh malam lamanya, dan kesemua makhluk yang telah Kujadikan itu akan Kuhapuskan dari muka bumi.”
5 Lalu Nuh melaksanakan segala-galanya yang diperintahkan TUHAN kepadanya.
6 Nuh berusia 600 tahun semasa banjir besar melanda bumi.
7 Lalu Nuh bersama-sama anak-anaknya, isterinya, dan menantu-menantu perempuannya masuklah ke dalam bahtera itu untuk menyelamatkan diri daripada banjir yang melanda bumi itu.
8 Pasangan segala binatang yang halal dan yang tidak halal, burung-burung, serta segala yang merayap di bumi,
9 yakni yang jantan dan betinanya datang kepada Nuh di dalam bahtera itu sebagaimana yang diperintahkan Allah kepada Nuh.
10 Maka setelah tujuh hari, banjir pun melanda bumi.
11 Ketika Nuh berusia 600 tahun, pada hari ketujuh belas, bulan kedua, meledaklah kesemua mata air samudera raya, dan pintu air di langit terbuka.
12 Lalu mencurah-curahlah hujan turun ke atas bumi selama empat puluh hari dan empat puluh malam.
13 Pada hari itu juga, Nuh berserta anak-anaknya, iaitu Sem, Ham, dan Yafet, juga isterinya dan ketiga-tiga orang menantu perempuannya, masuk ke dalam bahtera.
14 Mereka diiringi segala jenis makhluk yang hidup mengikut jenisnya yakni segala jenis haiwan liar dan haiwan ternakan, segala jenis binatang melata yang merayap di bumi, dan segala jenis burung, iaitu segala unggas yang bersayap.
15 Kesemuanya, daripada segala makhluk hidup yang bernyawa, berpasang-pasangan datang kepada Nuh dan masuk ke dalam bahtera.
16 Semua yang masuk ke dalam bahtera itu ialah jantan dan betina seperti yang diperintahkan Allah kepada Nuh. Kemudian TUHAN menutup pintu bahtera itu setelah Nuh masuk.
17 Empat puluh hari lamanya banjir melanda bumi dan air itu terus naik sehingga mengangkat bahtera itu tinggi dari bumi.
18 Air semakin tinggi dan melonjak di atas bumi, dan bahtera itu pun terapung-apung di permukaan air.
19 Begitu kuatnya pelimpahan air di muka bumi sehingga mengatasi gunung-ganang yang tinggi yang ada lantas tertutuplah seluruh kolong langit.
20 Air itu terus berlimpahan hingga melitupi lima belas hasta di atas segala gunung.
21 Maka tamatlah hayat semua makhluk yang bergerak di muka bumi iaitu burung-burung, haiwan ternakan, binatang liar, segala kawanan binatang kecil di bumi serta semua manusia.
22 Matilah semua yang ada di darat, iaitu semua yang bernafas dengan hidungnya.
23 Begitulah bagaimana TUHAN menghapuskan segala makhluk hidup yang ada di muka bumi, baik manusia, haiwan, binatang yang melata, mahupun burung-burung iaitu makhluk di udara. Kesemuanya dihapuskan dari muka bumi. Hanya Nuh serta semua yang ada bersama-samanya dalam bahtera itu selamat.
24 Jadi, selama 150 hari banjir berleluasa di muka bumi.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Kejadian 7
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Kejadian 7

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV