1 Maka Ishak pun memanggil Yakub lalu memohonkan keberkatan baginya serta berpesan kepadanya, “Kamu tidak boleh memperisteri mana-mana antara wanita Kanaan.
2 Bersiaplah, pergilah ke Padan-Aram, ke rumah Betuel, ayah kepada ibumu. Ambillah dari sana seorang isteri bagimu antara anak perempuan Laban, saudara ibumu.
3 Semoga Allah Yang Maha Kuasa memberkati kamu, membuat kamu beranak cucu, dan memperbanyak bilangan keturunanmu, sehingga kamu menjadi satu bangsa yang besar.
4 Semoga Dia mengurniakan berkat Abraham kepadamu dan kepada keturunanmu, sehingga kamu mewarisi negeri tempat kamu tinggal sebagai pendatang ini, iaitu negeri yang telah dikurniakan Allah kepada Abraham.”
5 Kemudian Ishak menyuruh Yakub pergi. Lalu Yakub berangkat pergi ke Padan-Aram itu, iaitu kepada Laban anak Betuel, warga Aram itu. Laban ialah saudara Ribka, ibu Yakub dan Esau.
6 Esau melihat betapa Ishak mendoakan keberkatan bagi Yakub dan menyuruhnya pergi ke Padan-Aram untuk mengambil isteri dari sana. Esau pun menyaksikan sewaktu Ishak memohonkan berkat bagi Yakub, dia berpesan kepadanya, “Kamu tidak boleh memperisteri mana-mana antara kaum wanita Kanaan,”
7 dan bahawa Yakub mentaati arahan ayah serta ibunya lalu pergi ke Padan-Aram.
8 Sedarlah Esau bahawa kaum wanita Kanaan tidak disukai oleh Ishak, ayahnya.
9 Lalu Esau pergi kepada Ismael, dan mengambil Mahalat menjadi isterinya di samping isteri-isterinya yang lain. Mahalat ialah adik Nebayot, anak Ismael anak Abraham.
10 Yakub meninggalkan Bersyeba dan pergi ke Haran.
11 Sampailah dia di suatu tempat dan lantaran matahari sudah terbenam, bermalamlah dia di situ. Dia mengambil sebuah batu yang berada di situ untuk dijadikan bantal lalu berbaringlah dia di situ.
12 Dia pun bermimpi bahawa dia ternampak sebuah tangga yang terdiri di bumi dengan bahagian puncaknya sampai ke langit. Para malaikat Allah turun naik di tangga itu.
13 Tampak pula TUHAN berdiri di sisi Yakub dan berfirman, “Akulah TUHAN, Allah Abraham, datukmu, dan Allah Ishak. Tanah tempat kamu berbaring ini akan Kuberikan kepadamu dan kepada keturunanmu.
14 Keturunanmu akan menjadi begitu ramai sebagaimana debu tanah, dan kamu akan berkembang ke barat, ke timur, ke utara, dan ke selatan. Melalui kamu dan melalui keturunanmu semua kaum bangsa di bumi akan memperoleh berkat.
15 Sesungguhnya, Aku menyertai kamu dan akan menjaga kamu ke mana-mana pun kamu pergi. Aku akan membawa kamu kembali ke negeri ini, kerana Aku tidak akan meninggalkan kamu sampai Aku melaksanakan apa yang telah Kujanjikan kepadamu.”
16 Lalu terjagalah Yakub dari tidurnya. Katanya, “Sesungguhnya, TUHAN hadir di tempat ini dan aku tidak mengetahuinya!”
17 Dia menjadi takut lalu berkata, “Betapa menggerunkan tempat ini! Ini tidak lain daripada Rumah Allah! Dan ini pintu gerbang syurga!”
18 Keesokan harinya Yakub bangun pagi-pagi. Dia mengambil batu yang dijadikan bantalnya lalu mendirikannya menjadi sebuah tugu dan menuangkan minyak ke atas tugu itu.
19 Dia menamai tempat itu Betel; biarpun dahulunya kota itu bernama Lus.
20 Kemudian Yakub pun bernazar, katanya, “Jika Allah menyertai aku dan menjaga aku di jalan yang kutempuhi ini, memberikan kepadaku makanan untuk dimakan dan pakaian untuk dipakai
21 sehingga aku kembali dengan selamat ke rumah ayahku, maka TUHAN akan menjadi Allahku,
22 dan batu yang kudirikan sebagai tugu ini akan menjadi rumah Allah. Aku akan mempersembahkan kepada-Mu sepersepuluh daripada segala sesuatu yang Kaukurniakan kepadaku.”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Kejadian 28
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Kejadian 28

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV