1 Selepas pelbagai peristiwa itu, Allah menguji Abraham. Firman-Nya kepadanya, “Abraham.” Jawabnya, “Ya, aku ada di sini.”
2 Firman-Nya, “Bawalah anakmu, anak tunggal yang kamu kasihi, iaitu Ishak, dan pergilah ke Tanah Moria. Persembahkanlah dia di sana sebagai korban bakaran, di atas salah sebuah gunung yang akan Kusebutkan kepadamu.”
3 Abraham pun bangun pagi-pagi. Dia memasang pelana pada keldainya lalu mengajak dua orang hambanya untuk menyertainya, dan juga Ishak, anaknya. Dia membelah kayu untuk korban bakaran lalu segera berangkat menuju tempat yang disebutkan Allah kepadanya.
4 Pada hari ketiga, ketika Abraham melayangkan pandangannya, terlihatlah tempat itu dari jauh.
5 Maka kata Abraham kepada hamba-hambanya, “Tinggallah di sini dengan keldai ini. Aku dan anak ini hendak pergi ke sana. Kami akan beribadat dan kemudian akan kembali lagi kepadamu.”
6 Abraham mengambil kayu untuk korban bakaran dan menaruhnya pada bahu Ishak, anaknya. Dia sendiri membawa api dan sebilah pisau. Lalu berjalanlah kedua-duanya bersama-sama.
7 Kata Ishak kepada Abraham, ayahnya, “Ayah!” Jawabnya, “Ya, anakku?” Kata Ishak, “Di sini ada api dan kayu api, tetapi di manakah anak domba untuk korban bakaran itu?”
8 Jawab Abraham, “Allah sendirilah yang akan menyediakan bagi diri-Nya anak domba untuk korban bakaran itu, anakku.” Lalu berjalanlah kedua-duanya bersama-sama.
9 Sesampainya mereka di tempat yang disebutkan Allah kepadanya, Abraham mendirikan sebuah mazbah, iaitu tempat pembakar korban. Dia mengatur kayu bakar, mengikat Ishak, anaknya, lalu meletakkannya di atas kayu api, di atas mazbah itu.
10 Kemudian Abraham menghulurkan tangannya, mengambil pisau untuk menyembelih anaknya.
11 Akan tetapi, malaikat TUHAN berseru kepadanya dari langit, “Abraham! Abraham!” Jawabnya, “Ya, aku ada di sini.”
12 Firman-Nya, “Jangan mudaratkan anak itu dan jangan kamu apa-apakan dia, kerana sekarang Aku tahu bahawa kamu takut kepada Allah dan reda menyerahkan anakmu, anakmu yang tunggal itu, kepada-Ku.”
13 Apabila Abraham mengangkat mukanya dan mengamati di sekelilingnya, nampaklah di belakangnya seekor domba jantan yang tanduknya tersangkut di dalam belukar. Abraham pergi mengambil domba jantan itu, lalu menjadikannya persembahan korban bakaran untuk menggantikan anaknya.
14 Maka Abraham menamai tempat itu “TUHAN menyediakan.” Oleh sebab itu sehingga kini ini orang mengatakan, “Di atas gunung TUHAN, peruntukan akan disediakan.”
15 Kemudian untuk kali keduanya, malaikat TUHAN berseru kepada Abraham dari langit,
16 sabda-Nya, “Demi diri-Ku sendiri Aku bersumpah, demikianlah firman TUHAN, kerana kamu telah melakukan hal ini dan dengan reda menyerahkan kepada-Ku anakmu, anak tunggalmu itu,
17 maka pastilah Aku memberkatimu dan pastilah Aku memperbanyak keturunanmu seperti bintang di langit dan seperti pasir di tepi laut. Keturunanmu akan menguasai segala pintu gerbang musuh mereka,
18 dan melalui benihmu semua bangsa di bumi akan diberkati, kerana kamu telah mematuhi kata-kata-Ku.”
19 Setelah itu, kembalilah Abraham kepada hamba-hambanya. Mereka pun bersiap-siap lalu pergi bersama-sama ke Bersyeba. Kemudian menetaplah Abraham di Bersyeba.
20 Sesudah berbagai-bagai peristiwa itu, Abraham mendapat khabar demikian, “Ketahuilah, Milka pun telah melahirkan anak-anak lelaki bagi Nahor, saudara tuan.
21 Us, anak yang sulung, kemudian Bus, adiknya, selanjutnya Kemuel (bapa Aram),
22 Kesed, Hazo, Pildas, Yidlaf, dan Betuel.”
23 Betuel mempunyai anak, iaitu Ribka. Kelapan-lapan orang ini dilahirkan Milka bagi Nahor, saudara Abraham.
24 Selain itu, daripada gundik Nahor yang bernama Reuma lahir juga Tebah, Gaham, Tahas, dan Maakha.