1 Sarai, isteri Abram, masih belum melahirkan anak bagi Abram. Tetapi dia mempunyai seorang hamba perempuan, orang Mesir bernama Hagar.
2 Maka kata Sarai kepada Abram, “Kerana TUHAN telah menahan aku daripada mengandungkan anak, kahwin sajalah dengan hambaku, siapa tahu aku dapat memperoleh anak melaluinya.” Maka Abram mendengar dan menurut usul Sarai itu.
3 Lalu Sarai isteri Abram membawa Hagar, warga Mesir yang menjadi hambanya itu, dan memberikannya kepada Abram suaminya untuk menjadi isterinya. Pada waktu itu sudah sepuluh tahun lamanya Abram tinggal di Tanah Kanaan.
4 Abram pun meniduri Hagar, lalu mengandunglah perempuan itu. Apabila Hagar tahu sahaja bahawa dia mengandung, mulalah dia memandang rendah terhadap cik puannya.
5 Lalu Sarai berkata kepada Abram, “Penghinaan yang kudapat ini ialah tanggungmu! Aku memberikan hambaku ke pangkuanmu, tetapi ketika dia tahu bahawa dia mengandung, dia memandang rendah terhadapku. Semoga TUHAN menjadi Hakim antara aku dengan kamu.”
6 Kata Abram kepada Sarai, “Sesungguhnya, hambamu itu berada bawah kekuasaanmu. Lakukanlah terhadapnya mengikut budi bicaramu.” Maka Sarai menindas Hagar sehingga larilah Hagar daripadanya.
7 Malaikat TUHAN menjumpainya dekat sebuah mata air di gurun itu, iaitu berdekatan mata air di jalan yang menuju ke Syur.
8 Sabdanya, “Wahai Hagar, hamba Sarai, dari manakah kamu dan hendak ke mana?” Jawab perempuan itu, “Aku melarikan diri daripada Sarai, cik puanku.”
9 Sabda malaikat TUHAN kepadanya, “Kembalilah kepada cik puanmu dan tunduklah di bawah kuasanya.”
10 Sabda malaikat TUHAN pula kepadanya, “Aku akan membuat keturunanmu menjadi tersangat ramai hingga tidak terhitung banyaknya.”
11 Selanjutnya malaikat TUHAN bersabda kepadanya, “Kamu sedang mengandung dan kamu akan melahirkan seorang anak lelaki. Namailah dia Ismael, kerana TUHAN telah mendengar jeritan kesusahanmu.
12 Dia akan menjadi orang yang hidupnya seperti keldai liar. Tangannya akan melawan setiap orang, dan tangan setiap orang akan melawan dia. Dia akan hidup bertentangan dengan semua saudaranya.”
13 Lalu Hagar menyebut nama TUHAN yang berfirman kepadanya itu “Engkaulah Allah Yang Melihat,” kerana katanya, “Sesungguhnya, aku nampak Dia yang melihat aku.”
14 Itulah sebabnya perigi itu, yang letaknya di antara Kadesh dengan Bered, disebut Perigi Lahai-Roi.
15 Maka Hagar melahirkan seorang anak lelaki bagi Abram yang menamai anaknya yang dilahirkan oleh Hagar itu Ismael.
16 Dan Abram berumur 86 tahun pada waktu Hagar melahirkan Ismael.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Kejadian 16
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Kejadian 16

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV