1 Tetapi Ayub menjawab,
2 “Berapa lama lagi kamu hendak menyeksa jiwaku dan menghancurkan aku dengan perkataan?
3 Sekarang sudah sepuluh kali kamu menghina aku. Kamu tidak malu bertindak keliru terhadap aku.
4 Kalau aku sungguh berbuat salah, kesalahanku itu tetap tinggal padaku.
5 Jika kamu sungguh hendak membesarkan diri terhadap aku dan menggunakan celaku sebagai bukti terhadap aku,
6 ketahuilah sekarang bahawa Allah telah membengkokkan perkaraku dan melingkupi aku dengan jaring-Nya.
7 Sesungguhnya, aku berseru, ‘Kekerasan!’ tetapi aku tidak dijawab. Aku berteriak minta tolong tetapi tidak ada keadilan.
8 Dia memagari jalanku sehingga aku tidak dapat berlalu, dan mendatangkan kegelapan di lorong-lorongku.
9 Dia melucuti kemuliaanku dan menyingkirkan mahkota daripada kepalaku.
10 Dia membongkar aku di segala penjuru sehingga aku lenyap, dan mencabut pengharapanku seperti pokok.
11 Murka-Nya menyala terhadap aku, Dia menganggap aku lawan-Nya.
12 Pasukan-Nya maju serentak. Mereka merintangi jalan untuk menyerang aku dan berkepung di sekeliling khemahku.
13 Dia menjauhkan saudara-saudaraku daripadaku, kenalan-kenalanku seperti orang asing sahaja bagiku.
14 Para kerabatku meninggalkan aku, kawan-kawanku melupakan aku.
15 Orang yang tinggal sebagai pendatang di rumahku, juga hamba-hambaku yang perempuan, menganggap aku orang asing. Aku menjadi orang luar di mata mereka.
16 Aku memanggil hambaku tetapi dia tidak menjawab, sekalipun aku memohon-mohon kepadanya dengan mulutku sendiri.
17 Nafasku memualkan bagi isteriku, memuakkan bagi para saudara kandungku.
18 Bahkan anak-anak pun menghina aku, ketika aku muncul, mereka mengata-ngatai aku.
19 Semua teman karibku mengeji aku, orang yang kukasihi berbalik melawan aku.
20 Tulangku melekat pada kulit dan dagingku, gusiku sahaja yang terselamat.
21 Kasihanilah aku! Kasihanilah aku, wahai kamu, sahabat-sahabatku, kerana tangan Allah telah mengazab aku.
22 Mengapa kamu, seperti Allah, memburu aku dan tidak kenyang dengan dagingku?
23 Kalaulah kata-kataku ditulis! Kalaulah semuanya dicantumkan dalam kitab,
24 dipahatkan dengan pena besi dan timah pada batu pejal untuk selama-lamanya!
25 Namun demikian, aku tahu bahawa Penebusku hidup, dan pada akhirnya Dia akan berdiri di atas bumi.
26 Setelah kulitku dibinasakan sedemikian rupa, tanpa tubuhku juga aku akan melihat Allah.
27 Akan kulihat Dia memihak kepada aku. Mataku akan memandang Dia, bukan yang lain. Batinku merindu di dalam dadaku.
28 Apabila kamu berkata, ‘Bagaimana kami dapat memburu dia?’ kerana akar permasalahan ini ada pada diriku,
29 maka takutlah kepada pedang, kerana kegusaran mendatangkan hukuman pedang, supaya kamu tahu bahawa ada pengadilan.”