1 Pernyataan ilahi tentang Gurun di Tepi Laut. Seperti angin puting beliung melintasi Tanah Negeb, demikianlah datangnya penyerbu dari gurun, dari negeri yang menakutkan.
2 Suatu penglihatan yang menyusahkan telah dinyatakan kepadaku: “Si pengkhianat berbuat khianat dan si pemusnah melakukan musnah. Majulah, wahai Elam! Kepunglah, wahai Madai! Aku akan menghentikan segala keluh-kesah yang ditimbulkannya.”
3 Itulah sebabnya pinggangku dipenuhi rasa nyeri. Rasa sakit mencekam aku seperti rasa sakit perempuan yang akan bersalin. Aku terbongkok-bongkok sehingga tidak mendengar, aku gementar sehingga tidak melihat.
4 Hatiku goyah, rasa ngeri melanda aku. Senjakala yang kurindukan berubah menjadi kegentaran bagiku.
5 Orang mengatur meja, menata permaidani, makan, dan minum. Tiba-tiba terdengar: “Bangkitlah, wahai para panglima, minyakilah perisai!”
6 Beginilah firman Tuhan kepadaku, “Pergilah, tempatkanlah seorang pengintip. Mintalah dia melaporkan apa yang dilihatnya.
7 Apabila dia melihat rata dengan kuda berpasang-pasangan, pasukan keldai, dan pasukan unta, mintalah dia mengamati baik-baik, dengan penuh perhatian.”
8 Lalu pengintip itu berseru seperti singa, “Aku sentiasa berdiri, ya tuanku, di menara tinjau pada siang hari, dan aku ditempatkan di menara pengawal sepanjang malam!
9 Lihat, itu sudah datang seorang pengendali rata dengan kuda berpasang-pasangan! Lalu ia berkata, ‘Sudah jatuh! Sudah jatuh Babel! Segala patung berhala ukirannya hancur berserakan di tanah!’ ”
10 wahai bangsaku, yang dipijak-pijak bagai tangkai di tempat pembantingan, apa yang kudengar daripada TUHAN alam semesta, Allah Israel, telah kuberitahukan kepadamu.
11 Pernyataan ilahi tentang Duma. Ada seorang yang berseru kepadaku dari Seir, “Wahai pengawal, sudah berapa larutkah malam ini? wahai pengawal, sudah berapa larutkah malam ini?”
12 Jawab pengawal itu, “Pagi akan datang, dan malam juga. Kalau kamu mahu bertanya, datanglah bertanya lagi!”
13 Pernyataan ilahi tentang Tanah Arab. Di dalam belukar di Jazirah Arab kamu akan bermalam, wahai kafilah-kafilah orang Dedan!
14 Bawalah air menyongsong orang yang dahaga, wahai penduduk Tanah Tema, sambutlah pelarian dengan membawa roti.
15 Mereka lari menghindari pedang, menghindari pedang yang terhunus, menghindari busur yang dilenturkan, dan menghindari peperangan yang sengit.
16 Beginilah firman Tuhan kepadaku, “Dalam waktu setahun berdasarkan tahun kerja orang upahan, segala kemuliaan Kedar akan berakhir.
17 Akan sedikit sahaja jumlah saki-baki para pemanah, iaitu para kesateria bani Kedar, kerana TUHAN, Allah Israel, telah berfirman.”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Yesaya 21
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Yesaya 21

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV