1 TUHAN berfirman kepada Musa,
2 “Perintahkanlah orang Israel untuk membawa kepadamu minyak murni daripada buah zaitun yang ditumbuk hancur untuk pencahayaan agar pelita sentiasa ternyala.
3 Hendaklah Harun mengaturkan pelita supaya sentiasa ternyala dari petang sampai pagi di hadapan TUHAN, di luar tabir yang menudungi tabut loh hukum di dalam Khemah Pertemuan. Inilah ketetapan bagi kamu untuk turun-temurun.
4 Hendaklah dia sentiasa menyusun pelita-pelita di atas kaki pelita daripada emas tulen itu di hadapan TUHAN.”
5 “Hendaklah kamu mengambil tepung terbaik dan menggunakannya untuk membakar dua belas buah buku roti daripada tepung itu, iaitu dua persepuluh efa bagi setiap buku roti.
6 Aturkan buku roti dalam dua baris, enam buah setiap baris, di atas meja daripada emas tulen di hadapan TUHAN.
7 Letakkan kemenyan murni di atas setiap baris sebagai bahagian peringatan bagi roti itu, iaitu sebuah korban bakaran untuk TUHAN.
8 Dengan tetap, hendaklah Harun sentiasa menyusun roti itu di hadapan TUHAN pada setiap hari Sabat, demi orang Israel, sebagai kewajipan daripada perjanjian yang berkuat kuasa selama-lamanya.
9 Roti itu menjadi bahagian Harun dan anak-anaknya dan hendaklah mereka memakannya di sebuah tempat yang suci, kerana itulah bahagian yang teramat suci daripada korban bakaran bagi TUHAN, suatu peruntukan berkekalan untuk selama-lamanya.”
10 Hadirlah seorang anak lelaki kepada seorang perempuan Israel yang bersuamikan seorang lelaki Mesir di tengah-tengah kalangan orang Israel. Lelaki itu berkelahi di perkhemahan itu dengan seorang Israel,
11 lalu dalam perkelahian itu, anak perempuan Israel itu mengeluarkan kutukan dengan menyebut nama Allah. Maka dia pun dibawa menghadap Musa. (Nama ibunya ialah Selomit anak Dibri, daripada suku Dan).
12 Dia ditahan dan dikawal dalam tahanan sambil menunggu keputusan jelas dari segi hukum dibuat berdasarkan firman TUHAN.
13 Maka berfirmanlah TUHAN kepada Musa,
14 “Bawalah orang yang mengutuk itu ke luar perkhemahan. Semua orang yang mendengarnya harus meletakkan tangan di atas kepala orang itu, lalu hendaklah seluruh umat merejam dia dengan batu.
15 Lebih daripada itu, hendaklah kamu memberitahu orang Israel, ‘Hendaklah sesiapa sahaja yang mengutuk Allahnya menanggung akibat daripada dosanya
16 dan sesiapa sahaja yang mengkufuri nama TUHAN, sama ada dia pendatang asing ataupun warga tempatan, mesti dihukum mati yakni seluruh umat harus merejam dia dengan batu.
17 Sesiapa yang memukul lalu membunuh seorang yang lain mesti dihukum mati.
18 Hendaklah sesiapa yang memukul lalu membunuh seekor haiwan membayar ganti rugi, nyawa ganti nyawa.
19 Jika seseorang mencederakan jirannya, maka hendaklah dia diperlakukan sebagaimana dilakukannya terhadap jirannya itu:
20 luka diganti luka, mata diganti mata, gigi diganti gigi, yakni sebagaimana dia mencederakan orang lain maka hendaklah dibalas atasnya kecederaan yang sedemikian juga.
21 Hendaklah orang yang membunuh seekor haiwan membayar ganti rugi, tetapi hendaklah seseorang yang membunuh sesama seorang yang lain dihukum mati.
22 Peraturan yang sama berkuat kuasa atas kamu, baik pendatang asing mahupun warga asli, kerana Akulah TUHAN, Allahmu.’ ”
23 Demikianlah yang dikatakan Musa kepada orang Israel. Kemudian lelaki yang mengutuk itu dibawa ke luar perkhemahan lalu direjam dengan batu. Orang Israel melaksanakan apa yang diperintahkan oleh TUHAN kepada Musa.