1 Inilah firman TUHAN yang turun kepada Hosea anak Beeri pada zaman Uzia, Yotam, Ahas, dan Hizkia, raja-raja Yehuda, dan pada zaman pemerintahan Yerobeam anak Yoas, raja Israel.
2 Apabila TUHAN mulai berbicara dengan perantaraan Hosea, Dia berfirman kepada Hosea, “Pergilah, peristerilah seorang perempuan lacur dan milikilah anak-anak pelacur, kerana luar biasa besarnya pelacuran penduduk negeri ini dengan meninggalkan TUHAN.”
3 Maka pergilah dia memperisteri Gomer, anak perempuan Diblaim. Perempuan itu pun mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki baginya.
4 Firman TUHAN kepada Hosea, “Namailah dia Yizreel, kerana tidak lama lagi Aku akan membalas penumpahan darah di Yizreel kepada keturunan kaum Yehu dan Aku akan mengakhiri kerajaan keturunan kaum Israel.
5 Pada hari itu Aku akan mematahkan busur panah Israel di Lembah Yizreel.”
6 Perempuan itu mengandung lagi lalu melahirkan seorang anak perempuan. Firman TUHAN kepada Hosea, “Namailah dia Lo-Ruhama, kerana Aku tidak akan mengasihani keturunan kaum Israel lagi sehingga Aku sudi mengampuni mereka.
7 Tetapi Aku akan mengasihani keturunan kaum Yehuda dan menyelamatkan mereka demi TUHAN, Allah mereka. Aku tidak akan menyelamatkan mereka dengan busur panah, dengan pedang, dengan peperangan, dengan kuda, atau dengan pasukan berkuda.”
8 Setelah Lo-Ruhama bercerai susu, perempuan itu mengandung lagi lalu melahirkan seorang anak lelaki.
9 Firman TUHAN, “Namailah dia Lo-ami, kerana kamu bukan umat-Ku dan Aku tidak mahu menjadi Allahmu.”
10 Namun demikian, jumlah orang Israel kelak akan seperti pasir laut yang tidak dapat disukat atau dihitung. Nanti, di tempat dikatakan kepada mereka, ‘Kamu bukan umat-Ku,’ di situ akan dikatakan kepada mereka, ‘Kamulah anak-anak Allah yang hidup.’
11 Bani Yehuda dan orang Israel akan berkumpul bersama-sama dan akan mengangkat seorang pemimpin atas mereka. Mereka akan keluar dari negeri ini, kerana hebatlah kelak hari Yizreel itu.