1 Hukum hanya bayang-bayang perkara baik yang akan datang, bukan hakikat perkara itu sendiri. Dengan demikian hukum itu sekali-kali tidak akan dapat menyempurnakan orang yang mempersembahkan korban-korban yang demikian itu tahun demi tahun.
2 Andainya dapat, tidakkah persembahan itu dihentikan? Sekiranya orang yang beribadat itu telah disucikan, mereka tidaklah berasa diri mereka berdosa lagi.
3 Tetapi segala korban itu mengingatkan tentang adanya dosa setiap tahun.
4 Tidaklah mungkin darah lembu jantan dan kambing dapat menghapuskan dosa.
5 Oleh itu, apabila Kristus datang ke dunia, Dia berkata: “Korban dan persembahan tidak Kauingini, tetapi Engkau telah menyediakan tubuh bagi-Ku.
6 Persembahan dan korban bakaran penghapus dosa tidak Kauredai.
7 Kemudian Aku berkata, ‘Lihatlah, Aku telah datang – dalam naskhah kitab tersurat tentang-Ku – untuk melakukan kehendak-Mu, Ya Allah.’ ”
8 Mula-mula Dia berkata, “Korban dan persembahan bakaran, dan persembahan untuk menebus dosa, tidak Kauingini dan tidak Kauredai” (iaitu yang dipersembahkan menurut Hukum).
9 Kemudian Dia berkata, “Lihatlah, Aku telah datang untuk melakukan kehendak-Mu, ya Allah.” Dia menyingkirkan yang pertama untuk mengasaskan yang kedua.
10 Dengan kehendak Allah itu kita telah disucikan melalui persembahan tubuh Yesus Kristus, sekali untuk selama-lamanya.
11 Setiap imam berdiri dan beribadat setiap hari serta mempersembahkan berkali-kali korban yang serupa, yang sampai bila-bila pun tidak akan dapat menghapuskan dosa.
12 Tetapi Imam ini, setelah Dia mempersembahkan satu korban untuk menebus dosa selama-lamanya, duduk di sebelah kanan Allah.
13 Dari saat itu Dia menanti hingga musuh-musuh-Nya dijadikan alas kaki-Nya.
14 Dengan satu persembahan Dia telah menyempurnakan untuk selama-lamanya semua orang yang disucikan.
15 Roh Kudus juga memberikan kesaksian kepada kita; kerana setelah Dia berfirman,
16 “Inilah perjanjian yang akan Kubuat dengan mereka selepas zaman itu, Tuhan berfirman: Aku akan meletakkan hukum-Ku dalam hati mereka dan menuliskannya dalam fikiran mereka.”
17 Dia menambah, “Dosa dan perbuatan mereka yang mungkar tidak akan Kuingati lagi.”
18 Setelah ada pengampunan, tidaklah ada lagi persembahan untuk menebus dosa.
19 Oleh itu, saudara-saudara, kita telah mempunyai keberanian untuk masuk ke Tempat Yang Maha Suci melalui darah Yesus,
20 melalui jalan yang baru dan hidup, yang dibukakan-Nya untuk kita, menerusi tirai, iaitu tubuh-Nya.
21 Kita mempunyai Imam Besar di atas isi Rumah Allah.
22 Maka marilah kita hampir dengan hati yang tulus dan iman yang teguh sepenuhnya. Hati nurani kita telah direnjis sehingga suci daripada kejahatan dan tubuh kita telah dibasuh dengan air yang bersih.
23 Marilah kita berpegang teguh pada pengakuan harapan kita tanpa berganjak, kerana Dia yang berjanji sentiasa setia.
24 Marilah kita saling perhatikan satu sama lain untuk menimbulkan kasih dan perbuatan yang baik.
25 Jangan berhenti daripada berhimpun, seperti yang dilakukan oleh setengah-setengah orang. Nasihatilah sesama sendiri, terutamanya setelah kamu sedar Hari Tuhan itu kian hampir.
26 Jika kita sengaja melakukan dosa setelah kita mengenal kebenaran, tiada lagi korban untuk menebus dosa.
27 Yang ada hanyalah ketakutan menanti hukuman, dan api kemurkaan yang akan memusnahkan semua yang ingkar.
28 Sesiapa yang menolak hukum Musa mati tanpa belas kasihan atas kesaksian dua atau tiga orang saksi.
29 Pada hematmu, betapakah lebih dahsyatnya hukuman yang dianggap setimpal bagi orang yang telah melanyak Anak Allah di bawah kakinya, memandang ringan kepada darah perjanjian yang telah menyucikannya, dan menghina Roh kasih kurnia?
30 Kita mengenal Dia yang berfirman, “Pembalasan adalah hak-Ku, Aku akan membalas, demikian firman Tuhan.” Dan juga, “Tuhan akan menghakimi umat-Nya.”
31 Sungguh dahsyatnya jatuh ke tangan Allah yang hidup.
32 Tetapi ingatlah masa silam, ketika kamu diberi cahaya kebenaran, kemudian kamu dengan ketetapan yang gigih menanggung penderitaan yang hebat;
33 sebahagiannya apabila kamu sendiri diaibkan di khalayak ramai dengan celaan serta seksaan, dan sebahagiannya apabila kamu menjadi teman mereka yang diperlakukan demikian.
34 Kamu telah merasakan belas kasih terhadap mereka yang terpenjara. Kamu telah menerima dengan sukacita apabila hartamu dirampas, kerana kamu tahu bahawa kamu mempunyai milik yang lebih baik dan kekal di syurga.
35 Oleh itu, janganlah buangkan keyakinanmu, yang akan diberikan ganjaran besar.
36 Kamu perlu tabah menderita. Dengan demikian, setelah kamu melakukan kehendak Allah, kamu dapat menerima janji itu:
37 “Seketika sahaja lagi, Dia yang akan datang itu akan sampai tanpa berlengah-lengah.
38 Sekarang orang yang benar akan hidup dengan iman; Tetapi jika sesiapa undur, jiwa-Ku tidak meredainya.”
39 Tetapi kita bukanlah antara mereka yang undur ke arah kebinasaan, tetapi antara mereka yang beriman dan diselamatkan.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Ibrani 10
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Ibrani 10

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV