1 Kemudian keluarlah semua orang Israel dari Dan sampai Bersyeba dan juga dari Tanah Gilead, lalu berhimpunlah kesemua umat yang bersatu itu menghadap TUHAN di Mizpa.
2 Tampillah para ketua semua suku kaum orang Israel, memimpin jemaah umat Allah yang berjumlah seramai empat ratus ribu orang askar berjalan kaki yang menghunuskan pedang masing-masing.
3 Kedengaranlah kepada bani Benyamin, bahawa orang Israel telah maju ke Mizpa. Berkatalah orang Israel, “Ceritakan bagaimana kedurjanaan itu terjadi.”
4 Maka bani Lewi iaitu suami perempuan yang terbunuh itu menjawab, “Aku bersama-sama gundikku sampai di Gibea kepunyaan suku Benyamin untuk bermalam di sana.
5 Tetapi para warga kota Gibea itu mendatangi aku dan mengepung rumah itu pada malam hari untuk menyerang aku. Mereka berniat membunuh aku, tetapi kemudian mereka memperkosa gundikku sehingga dia mati.
6 Maka kuambillah mayat gundikku lalu kupotong-potong mayatnya dan kukirimkan ke seluruh daerah harta pusaka orang Israel lantaran lelaki-lelaki itu telah melakukan kedurjanaan dan berbuat aib di Israel.
7 Sekarang kamu sekalian, orang Israel, berikanlah pendapatmu dan nasihatmu di sini.”
8 Maka bangunlah seluruh umat di situ dengan serentak sambil berkata, “Tiada seorang pun daripada kita akan pergi ke khemahnya, dan tiada seorang pun daripada kita yang akan pulang ke rumahnya.
9 Inilah yang akan kita lakukan kepada Gibea; kita akan mencabut undi dan akan memeranginya!
10 Daripada seluruh suku Israel, kita akan memilih sepuluh orang daripada setiap seratus orang, seratus orang daripada setiap seribu, dan seribu orang daripada setiap sepuluh ribu, untuk membekalkan makanan bagi tentera ini, supaya sesudah mereka pergi ke Gibea-Benyamin, mereka akan melakukan yang setimpal dengan segala perbuatan durjana yang telah dilakukan mereka dalam kalangan orang Israel.”
11 Demikianlah orang Israel berkumpul untuk melawan kota itu; semua bersekutu dan bersatu tujuan.
12 Kemudian suku-suku Israel mengirim orang kepada seluruh suku Benyamin dengan pesan, “Bagaimanakah dengan kejahatan yang terjadi antara kamu itu!
13 Maka sekarang, serahkanlah semua penjahat di Gibea yang melakukan perbuatan durjana itu. Kami akan menghukum mati mereka dan dengan demikian menghapuskan yang jahat itu daripada antara orang Israel.” Tetapi bani Benyamin tidak mahu mendengar seruan saudara-saudara mereka daripada orang Israel itu.
14 Sebaliknya, bani Benyamin dari kota-kota lain berkumpul di Gibea untuk mara memerangi orang Israel.
15 Pada hari itu bani Benyamin mengerahkan dari kota-kota lain itu dua puluh enam ribu orang yang bersenjatakan pedang, belum termasuk penduduk Gibea sejumlah tujuh ratus orang pilihan itu.
16 Daripada seluruh bala tentera itu ada tujuh ratus orang pilihan yang kidal, dan setiap orang daripada mereka dapat menggunakan tarbil dengan tepat, walaupun sasarannya cuma sehelai rambut.
17 Jumlah orang Israel dihitung seramai empat ratus ribu orang, tidak termasuk suku Benyamin, dan kesemua perajurit itu menghunuskan pedang.
18 Berangkatlah orang Israel lalu mara ke Betel. Di sana mereka bertanya kepada Allah, “Siapakah daripada kami yang patut mara dahulu untuk berperang melawan bani Benyamin?” Jawab TUHAN, “Suku Yehuda yang harus mara dahulu.”
19 Warga orang Israel bangun pagi-pagi dan berkhemah mengepung Gibea.
20 Kemudian orang Israel maju berperang melawan suku Benyamin dan menyusun barisan perang melawan mereka dekat Gibea.
21 Lalu bani Benyamin mara menyerang dari Gibea dan menggugurkan ke bumi dua puluh dua ribu daripada orang Israel pada hari itu.
22 Tetapi tentera orang Israel saling memberikan perangsang dan mengumpulkan segenap kekuatan mereka, lalu menyusun semula barisan perang di tempat mereka menyusun barisan pada mulanya.
23 Kemudian pergilah orang Israel menangis di hadapan TUHAN sampai petang. Sesudah itu mereka bertanya kepada TUHAN, “Perlukah kami pergi lagi berperang melawan bani Benyamin, saudara kami itu?” Jawab TUHAN, “Majulah melawan mereka.”
24 Maka pada hari kedua itu orang Israel sampai dekat bani Benyamin.
25 Maralah suku Benyamin dari Gibea menyerbu mereka, dan gugurlah ke bumi lapan belas ribu orang daripada orang Israel; kesemuanya tentera yang berpedang.
26 Kemudian pergilah semua orang Israel, dan setibanya di Betel, mereka menangis di hadapan TUHAN, berpuasa sampai senja pada hari itu. Mereka juga mempersembahkan korban bakaran dan korban kedamaian di hadapan TUHAN.
27 Lalu warga orang Israel bertanya kepada TUHAN. Pada waktu itu ada tabut perjanjian Allah di sana,
28 dan Pinehas anak Eleazar anak Harun menjadi imam Allah pada waktu itu. Kata mereka, “Haruskah kami mara sekali lagi untuk berperang melawan bani Benyamin, saudara kami itu, atau haruskah kami hentikan peperangan ini?” Jawab TUHAN, “Majulah, kerana esok Aku akan menyerahkan mereka ke dalam tanganmu.”
29 Lalu orang Israel menempatkan askar penyerang hendap di sekeliling Gibea.
30 Pada hari ketiga maralah askar orang Israel melawan bani Benyamin dan menyusun barisan untuk melawan Gibea seperti yang pernah dilakukan mereka dahulu.
31 Maka majulah bani Benyamin menyerbu tentera itu dan mereka dipancing keluar dari kota. Seperti yang pernah dilakukan dahulu, mereka mulai menyerang dan membunuh pasukan askar Israel di padang dan juga di jalan raya, iaitu satu yang menuju ke Betel, dan satu lagi ke Gibea. Kira-kira tiga puluh orang Israel terbunuh.
32 Maka kata bani Benyamin, “Mereka itu telah tumpas oleh kita seperti pada mula-mula dahulu juga.” Tetapi warga orang Israel telah bermuafakat lebih dahulu, “Marilah kita lari dan memancing mereka dari kota ke jalan-jalan raya.”
33 Jadi orang Israel bangun dari tempatnya dan menyusun barisannya di Baal-Tamar, sedang orang Israel yang mengadang itu tiba-tiba keluar dari tempatnya, yakni tempat terbuka dekat Geba.
34 Maka tibalah orang pilihan daripada seluruh Israel seramai sepuluh ribu orang di depan Gibea. Berlakulah pertempuran yang dahsyat tetapi bani Benyamin tidak tahu yang malapetaka datang menimpa mereka.
35 TUHAN membuat suku Benyamin tumpas di tangan orang Israel, dan pada hari itu orang Israel memusnahkan dua puluh lima ribu seratus orang daripada bani Benyamin, semuanya askar yang bersenjatakan pedang.
36 Bani Benyamin melihat, bahawa mereka telah dikalahkan. Sementara askar orang Israel berundur di depan suku Benyamin – kerana mereka bergantung kepada para penyerang hendap yang ditempatkan mereka untuk menyerang Gibea.
37 Dengan segera, para penyerang hendap itu menyerbu Gibea. Mereka bergerak maju dan menyerang seluruh kota itu dengan mata pedang.
38 Tetapi orang Israel sudah bermuafakat menentukan isyarat iaitu untuk menaikkan gumpalan asap tebal dari kota itu.
39 Ketika orang Israel berundur dalam pertempuran itu, suku Benyamin menyerang orang Israel dan terbunuhlah kira-kira tiga puluh orang. Maka bani Benyamin terfikir, “Tentulah orang Israel ini kita kalahkan sama sekali seperti dalam pertempuran yang dahulu.”
40 Tetapi pada waktu itu gumpalan asap mula naik berkepul-kepul dari kota itu. Suku Benyamin menoleh ke belakang lalu terlihat seluruh kota itu terbakar sampai apinya naik ke langit.
41 Lalu maju semula orang Israel lantas gementarlah bani Benyamin yang melihat bahawa malapetaka sudah datang menimpa mereka.
42 Mereka pun lari dari depan orang Israel itu ke arah gurun. Akan tetapi, mereka tidak dapat menghindari pertempuran itu kerana orang Israel dari kota-kota pula menyerang mereka di tengah-tengah kalangan mereka sendiri.
43 Orang Israel mengepung suku Benyamin lalu mengejar mereka dengan tidak henti-hentinya dan menumpaskan mereka di depan kota Gibea, di sebelah timur.
44 Maka terkorban seramai lapan belas ribu orang Benyamin, kesemuanya perwira yang gagah perkasa.
45 Yang lainnya berpaling lalu lari ke gurun, ke bukit batuan Rimon. Tetapi di jalan-jalan raya pula masih ada lima ribu orang Benyamin yang diburu sampai Gidom dan dua ribu orang daripada mereka ditumpas.
46 Maka terkorban sejumlah dua puluh lima ribu orang yang bersenjatakan pedang daripada suku Benyamin, semuanya perwira yang gagah perkasa.
47 Tetapi enam ratus orang melarikan diri ke gurun di batu Rimon, dan tinggal selama empat bulan di bukit batu itu.
48 Tetapi orang Israel kembali menyerang bani Benyamin dan memukul mereka dengan mata pedang, baik manusia mahupun haiwan dan segala sesuatu yang terdapat di sana. Semua kota yang terdapat di sana turut dimusnahkan mereka dengan api.