1 Aku akan berdiri di tempat kawalanku dan mengambil tempat di atas kubu. Aku mahu meninjau untuk melihat apa yang akan difirmankan-Nya kepadaku dan apa yang harus kujawab apabila Dia menghujah pengaduanku.
2 Lalu TUHAN menjawab aku demikian, “Tulislah penglihatan itu dengan jelas pada papan-papan loh, supaya orang yang berlari pun dapat membacanya.
3 Memang penglihatan itu masih menanti waktu pernyataannya, tetapi akan segera menuju kesudahannya tanpa berdusta. Kalaupun tampak seperti lambat, tetap nantikannya, kerana pasti akan ternyatanya juga dan tidak akan berlengah.
4 Sesungguhnya, orang yang meninggikan diri tidak lurus hatinya, tetapi orang benar akan hidup dengan imannya.
5 Apatah lagi khianat memang sifat air anggur, si sombong yang tidak pernah tenang. Besar sungguh nafsu serakahnya bak alam kubur, bak maut yang tidak kenyang-kenyang, yang terus mengumpulkan dan menghimpunkan segala bangsa dan suku bangsa.”
6 Bukankah kesemua itu akan mengejeknya dengan ibarat dan teka-teki cemuhan terhadapnya yang berbunyi, ‘Malangnya orang yang memperkaya diri dengan apa-apa yang bukan miliknya dan yang membebankan diri dengan barang gadaian! Berapa lama lagikah sedemikian?’
7 Bukankah dalam sekejap mata akan bangkit para pemiutang yang menggigit engkau dan akan terjaga kalangan yang membuat engkau gementar? Engkau akan menjadi jarahan bagi mereka!
8 Atas engkau yang telah menjarah banyak bangsa, segala suku bangsa yang tersisa akan menjarah engkau, atas sebab darah manusia yang tertumpah itu dan lantaran keganasan terhadap negeri, kota, dan seluruh penduduknya itu.
9 Malangnya dia yang mengejar laba haram bagi isi rumahnya! Orang itu bermaksud meninggikan kedudukan sarangnya agar terlepas daripada jangkauan malapetaka.
10 Engkau telah menetapkan keaiban atas isi rumahmu dengan memangkas banyak suku bangsa. Engkau telah berdosa terhadap dirimu sendiri.
11 Batu daripada tembok akan berseru-seru dan alang daripada rangka rumah akan menyahut jawapannya.
12 Malangnya orang yang mendirikan kota dengan penumpahan darah dan yang mengasaskan kota berdasarkan kezaliman!
13 Sesungguhnya, bukankah atas penentuan TUHAN alam semesta, bahawa bangsa-bangsa melelahkan diri untuk sesuatu yang akan dimakan api sahaja dan suku-suku bangsa meletihkan diri untuk sesuatu yang sia-sia sahaja?
14 Sememangnya bumi akan dipenuhi dengan pengetahuan tentang kemuliaan TUHAN seperti air meliputi lautan.
15 Malangnya orang yang memberikan sesamanya minuman bercampur bisa amarah demi memabukkan dia agar dapat melihat auratnya!
16 Engkau akan kenyang dengan keaiban yang menggantikan kehormatan. Minumlah juga engkau dan jadilah seperti orang yang tidak bersunat! Cawan di tangan kanan TUHAN akan beralih kepadamu dan aib besar akan menimpa kehormatanmu.
17 Keganasan yang dilakukan terhadap Lebanon akan meliputi engkau dan pemusnahan binatang-binatang akan mengejutkan engkau, kerana darah manusia yang tertumpah itu dan kerana keganasan terhadap bumi, kota, dan seluruh penduduknya itu.
18 Apa faedahnya berhala walhal si pembentuknya yang mengukirnya atau patung tuangan yang mengajarkan dusta itu? Pembentuknya percaya kepada barang yang dibentuknya sendiri, padahal yang dibuatnya hanyalah berhala-berhala yang bisu.
19 Malangnya orang yang berkata kepada kayu, “Bangkitlah!” atau kepada batu bisu, “Bertindaklah!” Itukah pengajaranmu? Lihat, benda itu hanya bersalut emas dan perak. Tidak ada roh sama sekali di dalamnya!
20 Tetapi TUHAN hadir di dalam Bait-Nya yang suci. Biarlah seluruh bumi berdiam diri di hadirat-Nya!