1 Apabila musuh bani Yehuda dan bani Benyamin mendengar bahawa umat yang pulang daripada pembuangan itu sedang membina Bait Suci bagi TUHAN, Allah Israel,
2 mereka pun mendekati Zerubabel dan ketua kaum keluarga lalu berkata, “Biarlah kami turut serta dalam kerja-kerja pembinaan itu bersama-sama kamu, kerana kami juga beribadat kepada Allahmu sama seperti kamu. Kami juga telah mempersembahkan korban kepada-Nya sejak zaman Esarhadon, raja Asyur yang membawa kami ke sini.”
3 Tetapi Zerubabel, Yesua, dan para ketua kaum keluarga Israel yang lain berkata kepada mereka, “Kamu tidak ada kena-mengena dengan kami dalam urusan pembinaan bait bagi Allah kami. Kami sendirilah yang akan membinanya bagi TUHAN, Allah Israel, sebagaimana yang diperintahkan kepada kami oleh Kores, raja Parsi itu.
4 Maka penduduk negeri itu mematahkan semangat orang Yehuda dan sering mengganggu kalangan umat yang menjalankan kerja-kerja pembinaan itu.
5 Sepanjang zaman pemerintahan Kores, raja Parsi, sehingga pemerintahan Darius, raja Parsi, mereka mengupah penasihat untuk menentang umat itu demi menggagalkan usaha pembinaan itu.
6 Sewaktu zaman pemerintahan Ahasyweros, mereka menulis surat tuduhan terhadap penduduk Yehuda dan Yerusalem.
7 Pada zaman Artahsasta pula, Bislam, Mitredat, Tabeel, dan rakan mereka yang lain menulis sepucuk surat kepada Artahsasta, raja Parsi. Naskhah surat itu ditulis dengan huruf Aram dan diterjemahkan ke dalam bahasa Aram.
8 Sejajar dengan itu, penguasa Rehum, dan jurutulis Simsai, menulis sepucuk surat tentang Yerusalem kepada Raja Artahsasta, yang menyatakan seperti berikut:
9 Daripada penguasa Rehum, dan jurutulis Simsai, serta rakan-rakannya yang lain, iaitu hakim, pembesar, pegawai, orang Parsi, orang Erekh, orang Babel, orang Susan iaitu orang Elam,
10 juga bangsa-bangsa lain yang dibuang oleh Asnapar yang agung dan mulia itu lalu ditempatkan di Kota Samaria dan di daerah lain di seberang Sungai Efrat.
11 (Inilah salinan surat yang dikirim mereka kepadanya.) Kepada Raja Artahsasta daripada hamba-hamba tuanku, kalangan umat di daerah di seberang Sungai Efrat.
12 Dimaklumkan kepada Raja bahawa orang Yahudi yang berangkat dari kerajaan Tuanku ke tempat kami, telah tiba di Yerusalem. Mereka sedang membina kembali kota yang derhaka dan jahat itu. Temboknya sudah selesai dibina oleh mereka dan asasnya sedang digali oleh mereka.
13 Semoga Raja maklum bahawa jika kota itu dibangunkan semula dan temboknya selesai dikerjakan, pastilah kalangan itu tidak akan membayar cukai, ufti atau bea sehingga terjejaslah pendapatan kerajaan.
14 Oleh sebab rezeki kami datangnya daripada istana dan tidak patut bagi kami melihat maruah Raja tercela, maka kami mengirim pesan ini untuk memberitahukan hal ini kepada Raja.
15 Semoga penyiasatan dalam babad nenek moyang tuanku diadakan. Dalam babad itu tuanku akan mengetahui bahawa kota itu sebuah kota derhaka yang merugikan raja-raja serta wilayah-wilayah, dan bahawa di dalam kota itu pemberontakan sudah berlaku sejak zaman dahulu lagi. Itulah sebabnya kota itu dimusnahkan.
16 Kami ingin memaklumkan kepada Raja bahawa sekiranya kota itu siap dibangunkan semula dan temboknya selesai dikerjakan, maka tuanku tidak akan ada lagi milik di daerah seberang Sungai Efrat.”
17 Kemudian raja mengirim surat balasan: Kepada penguasa Rehum, jurutulis Simsai, dan rakan-rakan mereka yang lain, yang tinggal di Samaria dan di daerah lain di seberang Sungai Efrat. Salam!
18 Surat yang kamu kirim kepada kami sudah dibaca di hadapanku dengan jelas.
19 Atas perintahku penyiasatan telah diadakan, dan didapati bahawa memang sejak zaman dahulu lagi, kota itu selalu bangkit menentang raja-raja dan bahawa di tempat itu orang melakukan penderhakaan dan pemberontakan.
20 Dahulu ada raja-raja yang berkuasa atas Yerusalem, yang memerintah seluruh daerah di seberang Sungai Efrat, dan cukai, ufti serta bea dibayar kepada mereka itu.
21 Oleh sebab itu keluarkanlah perintah untuk menghentikan pekerjaan umat itu, supaya kota itu tidak dibangunkan semula sehingga keluar perintah selanjutnya daripadaku.
22 Awas agar jangan kamu lalaikan hal ini. Mengapakah kerosakan itu harus semakin besar sehingga merugikan raja-raja?”
23 Setelah salinan surat Raja Artahsasta dibaca di depan Rehum, jurutulis Simsai, serta rakan mereka, berangkatlah mereka dengan segera ke Yerusalem untuk menemui orang Yahudi lalu menghentikan kerja-kerja pembinaan umat itu dengan paksa.
24 Demikianlah terhentinya kerja-kerja membina Rumah Allah di Yerusalem itu, dan terus terhenti sehingga tahun kedua dalam pemerintahan Darius, raja Parsi.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Ezra 4
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Ezra 4

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV