1 Dengan demikian aku, Paulus, yang terpenjara kerana Kristus Yesus untuk kamu, orang bukan orang Israel.
2 Tentu kamu telah mendengar, bahawa aku diberi tugas melaksanakan kasih kurnia Allah untukmu.
3 Melalui wahyu, Allah telah memberitahuku rahsia itu sebagaimana sudah kutuliskan secara ringkas.
4 Apabila kamu membacanya kamu akan mengerti pengetahuanku dalam rahsia Kristus.
5 Pada zaman-zaman silam rahsia itu tidak diberitahu kepada anak manusia, sebagaimana sekarang telah dinyatakan oleh Roh kepada para rasul dan para nabi-Nya yang suci –
6 bahawa bangsa-bangsa asing sama-sama menjadi waris, satu tubuh, dan sama-sama mendapat bahagian daripada perjanjian Allah dalam Kristus Yesus melalui Injil.
7 Aku telah menjadi seorang hamba Injil dengan kasih kurnia Allah yang telah diberikan-Nya kepadaku melalui pelaksanaan kuasa-Nya.
8 Kepadaku, yang lebih rendah daripada orang salih yang paling rendah, kasih kurnia ini telah diberikan supaya aku pergi menyampaikan perkhabaran kepada bangsa-bangsa asing tentang kekayaan Kristus yang tidak mungkin dapat dicari itu,
9 dan menjelaskan kepada semua orang pelaksanaan rahsia itu, yang dari permulaan zaman telah terselindung dalam hati Allah yang menjadikan segala-galanya.
10 Dengan demikian sekarang pelbagai kebijaksanaan Allah diberitahu oleh jemaah kepada segala pemerintah dan kuasa di syurga.
11 Ini adalah menurut maksud-Nya yang kekal yang telah ditunaikan-Nya dalam Kristus Yesus, Tuhan kita;
12 yang dalam-Nya kita mendapat kebebasan dan keyakinan menghampiri Allah melalui iman.
13 Oleh itu, aku meminta kepadamu, janganlah tawar hati akibat kesusahan yang kutanggung keranamu, ini adalah kemuliaanmu.
14 Dengan sebab itulah aku bertelut kepada Bapa,
15 yang daripada-Nya seluruh bangsa di syurga dan di bumi telah dinamakan.
16 Aku berdoa semoga Dia mengurniakan kepadamu, menurut limpah kemuliaan-Nya, kekuatan melalui Roh-Nya dalam dirimu.
17 Semoga Kristus mendiami hatimu melalui iman. Dan kamu, setelah berakar umbi dalam kasih,
18 akan mengerti bersama semua orang salih betapa lebarnya, panjangnya, tingginya dan dalamnya kasih Kristus,
19 dan mengetahui kasih Kristus ini yang tidak terjangkau oleh pengetahuan manusia supaya kamu dipenuhi dalam seluruh kepenuhan Allah.
20 Kepada Allah yang berkuasa melakukan segala-galanya dengan limpah kurnia melebihi permintaan dan sangkaan kita, menurut kuasa-Nya yang bertindak dalam diri kita,
21 kepada-Nya kemuliaan dalam jemaah dan dalam Kristus Yesus zaman-berzaman selama-lamanya! Amin.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Efesus 3
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Efesus 3

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke