1 Pada tahun yang pertama dalam zaman pemerintahan Darius anak Ahasyweros, daripada keturunan orang Media, yang telah dijadikan raja kerajaan orang Kasdim.
2 Pada tahun yang pertama dalam zaman pemerintahannya itu, aku, Daniel, mengamati dalam kitab-kitab bahawa menurut firman TUHAN kepada Nabi Yeremia jumlah tahun sebelum berakhirnya keruntuhan Yerusalem ialah tujuh puluh tahun.
3 Lalu aku menumpukan hati kepada Tuhan Allah dengan berikhtiar dalam doa dan permohonan sambil berpuasa serta mengenakan kain perkabungan dan abu.
4 Aku berdoa kepada TUHAN, Allahku, dan mengakui segala dosa, demikian, “Ya Tuhan, Allah, Yang Maha Besar dan terlalu mengagumkan, yang berpegang teguh pada perjanjian dan kasih abadi terhadap orang yang mencintai Engkau serta berpegang teguh pada segala perintah-Mu!
5 Kami telah berdosa, bersalah, berbuat fasiq, dan menderhaka. Kami telah menyimpang daripada perintah-perintah-Mu dan peraturan-peraturan-Mu.
6 Kami tidak mendengar teguran hamba-hamba-Mu, para nabi, yang berbicara atas nama-Mu kepada raja-raja kami, para pembesar kami, nenek moyang kami, dan kepada seluruh rakyat negeri.
7 Ya Tuhan, Engkaulah yang benar, dan kamilah yang penuh rasa malu sebagaimana nyata pada hari ini, kami orang Yehuda, penduduk Yerusalem, dan semua orang Israel, baik mereka yang dekat mahupun yang jauh, di segala negeri tempat Engkau menghalau mereka kerana kemungkaran yang dilakukan oleh mereka terhadap Engkau.
8 Ya Tuhan, kamilah yang penuh rasa malu, begitu juga para raja kami, para pembesar kami, dan nenek moyang kami, kerana kami telah berdosa terhadap Engkau.
9 Pada Tuhan, Allah kami, ada rahmat dan pengampunan, walaupun kami telah menderhaka terhadap-Nya.
10 Kami tidak mematuhi TUHAN, Allah kami, untuk hidup menurut hukum-hukum yang telah diberikan-Nya kepada kami dengan perantaraan hamba-hamba-Nya, para nabi.
11 Semua orang Israel telah melanggar hukum-Mu dan menyimpang kerana tidak mematuhi-Mu. Oleh sebab itu kutuk dan sumpah yang tersurat dalam Kitab Suci Taurat yang disampaikan melalui Musa, hamba Allah itu, dicurahkan kepada kami, kerana kami telah berdosa terhadap-Nya.
12 Dia telah melaksanakan firman yang disampaikan-Nya terhadap kami dan terhadap para hakim yang memerintah kami dengan mendatangkan malapetaka besar terhadap kami. Di seluruh kolong langit belum pernah terjadi hal seperti yang telah terjadi di Yerusalem.
13 Seperti tersurat dalam Kitab Suci Taurat yang disampaikan Allah melalui Musa, segala malapetaka itu telah menimpa kami. Namun demikian, kami tidak memohon belas kasihan TUHAN, Allah kami, dengan bertaubat daripada segala kesalahan kami dan bertindak bijaksana dalam kebenaran-Mu.
14 Oleh sebab itu TUHAN bersiap sedia dengan malapetaka itu dan mendatangkannya terhadap kami, kerana TUHAN, Allah kami, sememangnya benar dalam segala perbuatan yang dilakukan-Nya, tetapi kami tidak mematuhi-Nya.
15 Sekarang, ya Tuhan, Allah kami, yang telah membawa umat-Mu keluar dari Tanah Mesir dengan tangan kuat dan yang menjadi masyhur sebagaimana nyata hari ini, kami telah berdosa, kami telah berbuat fasiq.
16 Ya Tuhan, selaras dengan segala kebenaran-Mu, surutkanlah kiranya amarah dan murka-Mu dari kota-Mu Yerusalem, yakni gunung-Mu yang suci. Sungguh, kerana dosa-dosa kami dan kesalahan-kesalahan nenek moyang kami, Yerusalem dan umat-Mu menjadi bahan celaan bagi semua orang di sekeliling kami.
17 Sekarang, ya Allah kami, dengarlah doa hamba-Mu dan permohonan-permohonannya. Demi Tuhan sendiri, biarlah hadirat-Mu menyinari tempat suci-Mu yang telah tandus ini.
18 Ya Allahku, berilah perhatian dan dengarlah! Sudilah memandang dan lihatlah kebinasaan kami serta kota yang disebut dengan nama-Mu. Kami menyampaikan kesemua permohonan ini ke hadirat-Mu bukan berasaskan kebenaran kami, melainkan berasaskan rahmat-Mu yang besar.
19 Ya Tuhan, dengarlah! Ya Tuhan, ampunilah! Ya Tuhan, perhatikanlah dan bertindaklah! Demi nama-Mu, ya Allahku, jangan bertangguh, kerana kota-Mu dan umat-Mu disebut dengan nama-Mu!”
20 Sewaktu aku berbicara dan berdoa, mengaku dosaku dan dosa bangsaku Israel, dan menyampaikan permohonanku ke hadirat TUHAN, Allahku, bagi gunung suci Allahku,
21 sewaktu aku berbicara dalam doa itu, Gabriel yang kulihat dalam penglihatan yang terdahulu itu, terbang dengan cepat mendatangi aku kira-kira pada waktu persembahan petang.
22 Dia mengajarku serta berbicara dengan aku, katanya, “Daniel, sekarang aku datang untuk memberikan kepadamu akal budi dan pengertian.
23 Ketika engkau mulai menyampaikan permohonanmu, keluarlah suatu firman. Aku datang untuk memberitahukan isinya kepadamu, kerana engkau ini seorang yang sangat dikasihi. Jadi, perhatikanlah firman itu dan fahamilah penglihatan itu!
24 Tempoh masa tujuh puluh minggu telah ditentukan atas bangsamu dan atas kota sucimu untuk mengakhiri pelanggaran, untuk menghentikan dosa, untuk melakukan pendamaian atas kesalahan, untuk mendatangkan perbenaran yang kekal, untuk memenuhi penglihatan dan nubuat, dan untuk mentakdiskan yang maha suci.
25 Oleh sebab itu ketahuilah dan fahamilah: sejak keluarnya perintah untuk memulihkan dan membangunkan kembali Yerusalem sampai datangnya Orang Yang Dilantik, yakni seorang raja, akan ada tempoh masa tujuh minggu. Kemudian, selama enam puluh dua minggu, kota itu akan dibangunkan semula dengan tempat-tempat umum dan parit-paritnya, tetapi masa itu penuh kesusahan.
26 Selepas tempoh selama enam puluh dua minggu itu, Orang Yang Dilantik itu akan dilenyapkan dan tidak akan memiliki apa-apa. Kota dan tempat suci itu akan dimusnahkan oleh rakyat daripada seorang raja yang akan datang. Masa itu akan diakhiri dengan air bah dan sampai akhir zaman akan ada peperangan. Kebinasaan sudah ditentukan.
27 Raja itu akan mengukuhkan perjanjian dengan ramai orang selama satu minggu. Pada pertengahan minggu itu, dia akan menghentikan korban sembelihan dan persembahan bahan makanan. Si pembinasa akan datang di atas sayap kekejian, sampai kesudahan yang telah ditentukan dicurahkan ke atas si pembinasa itu.”