1 TUHAN berfirman kepada Musa,
2 “Berbicaralah kepada orang Israel dan katakan kepada mereka, ‘Apabila kamu sampai di negeri yang akan Kukurniakan kepadamu sebagai tempat kediamanmu,
3 dan kamu hendak mempersembahkan korban kepada TUHAN daripada kawanan lembu atau kawanan domba yakni sebagai korban bakaran ataupun korban sembelihan yang keharumannya diredai TUHAN, sama ada untuk membayar nazar khusus, untuk korban sukarela, atau korban pada hari-hari perayaan tertentu,
4 maka hendaklah orang yang membawa persembahannya itu mempersembahkan kepada TUHAN persembahan bahan makanan berupa sepersepuluh efa tepung terbaik yang dicampurkan dengan seperempat hin minyak zaitun.
5 Persembahkanlah juga seperempat hin air anggur sebagai persembahan minuman bersama-sama korban bakaran atau korban sembelihan itu, untuk setiap seekor anak domba korban.
6 Jika korbanmu berupa seekor domba jantan, persembahkanlah persembahan bahan makanan daripada dua persepuluh efa tepung terbaik yang dicampurkan dengan sepertiga hin minyak zaitun,
7 dan persembahan minuman berupa sepertiga hin air anggur, sehingga keharumannya diredai TUHAN.
8 Apabila kamu menyediakan seekor lembu jantan muda, baik sebagai korban bakaran mahupun korban sembelihan untuk membayar sesuatu nazar khusus, atau sebagai korban kedamaian yang dipersembahkan kepada TUHAN,
9 maka bersama dengan lembu jantan muda itu bawalah persembahan bahan makanan daripada tiga persepuluh efa tepung terbaik yang dicampurkan dengan setengah hin minyak zaitun,
10 dan persembahan minuman berupa setengah hin air anggur untuk menjadi korban bakaran, sehingga keharumannya diredai TUHAN.
11 Hendaklah dilakukan sedemikian untuk setiap ekor lembu atau domba jantan, setiap ekor anak domba atau kambing.
12 Berapa banyak pun jumlah ternakan yang kamu sediakan, hendaklah kamu lakukan sedemikian juga untuk setiap ekornya.
13 Hendaklah setiap orang warga asli melakukan hal ini dengan cara demikian pada waktu dia mempersembahkan korban bakaran, yang keharumannya diredai TUHAN.
14 Jika seorang pendatang yang tinggal dalam kalangan kamu atau sesiapa sahaja yang menetap turun-temurun dalam kalangan kamu hendak mempersembahkan korban bakaran, iaitu korban yang keharumannya diredai TUHAN, maka hendaklah dia melakukannya sebagaimana yang kamu lakukan.
15 Satu ketetapan berkuat kuasa atas seluruh jemaah itu, baik bagi kamu mahupun bagi pendatang yang tinggal dalam kalangan kamu, dan ketetapan itu berkuat kuasa untuk seterusnya bagi kamu turun-temurun. Kamu dan juga pendatang-pendatang itu sama di hadapan TUHAN.
16 Satu hukum dan satu peraturan berkuat kuasa, baik bagi kamu mahupun bagi pendatang yang tinggal dalam kalangan kamu.’ ”
17 TUHAN berfirman kepada Musa,
18 “Berbicaralah kepada orang Israel dan katakan kepada mereka, ‘Apabila kamu sampai di negeri tempat Aku membawa kamu,
19 dan kamu mulai menikmati hasil negeri itu, maka hendaklah kamu mempersembahkan persembahan khusus kepada TUHAN.
20 Persembahkanlah kuih daripada tepung barli hasil pertama sebagai persembahan khusus. Sama halnya seperti persembahan khusus dari tempat pembantingan, demikian pulalah kamu harus mempersembahkannya.
21 Daripada tepung barli hasil pertama itu kamu harus mempersembahkan persembahan khusus kepada TUHAN, secara berterusan turun-temurun.’ ”
22 “Jika kamu dengan tidak sengaja lalai mematuhi segala perintah yang difirmankan TUHAN kepada Musa,
23 iaitu segala yang diperintahkan TUHAN kepadamu dengan perantaraan Musa sejak TUHAN memerintahkannya sampai kaum keluargamu seterusnya turun-temurun,
24 dan jika hal itu dilakukan tanpa sengaja dan tanpa pengetahuan kalangan umat, maka hendaklah seluruh umat mempersembahkan seekor lembu jantan muda sebagai korban bakaran, korban yang keharumannya diredai TUHAN dan juga persembahan bahan makanan dan persembahan minumannya menurut peraturan yang berkuat kuasa, juga seekor kambing jantan sebagai korban penghapus dosa.
25 Hendaklah imam mengadakan pendamaian bagi seluruh kalangan umat Israel dan mereka akan diampuni, kerana hal itu tidak disengajakan. Di samping itu, mereka juga telah membawa persembahan mereka, iaitu korban bakaran untuk dipersembahkan kepada TUHAN dan korban penghapus dosa di hadapan TUHAN, akibat ketidaksengajaan mereka itu.
26 Seluruh kalangan umat Israel akan diampuni, begitu juga pendatang yang tinggal dalam kalangan mereka, kerana mereka melakukannya tanpa sengaja.
27 Jika seorang sahaja yang berbuat dosa tanpa sengaja, maka hendaklah dia mempersembahkan seekor kambing betina berumur setahun sebagai korban penghapus dosa.
28 Hendaklah imam mengadakan pendamaian di hadapan TUHAN bagi orang yang berbuat dosa tanpa sengaja itu, supaya dengan pendamaian yang diadakan baginya dapatlah dia diampuni.
29 Satu hukum berkuat kuasa bagi orang yang berbuat dosa tanpa sengaja, baik warga asli orang Israel mahupun pendatang yang tinggal dalam kalangan kamu.
30 Akan tetapi, jika seseorang, baik warga asli mahupun pendatang, berbuat dosa dengan sengaja itu bererti dia mencerca TUHAN dan hendaklah dia disingkirkan daripada kalangan bangsanya.
31 Kerana orang itu telah menghina firman TUHAN dan mengingkari perintah-Nya, maka hendaklah dia disingkirkan daripada kalangan bangsanya. Kesalahannya tertanggung kepada dirinya.”
32 Sewaktu orang Israel berada di gurun, mereka mendapati seorang yang sedang mengumpulkan kayu api pada hari Sabat.
33 Maka orang yang mendapatinya sedang mengumpulkan kayu bakar itu membawa dia kepada Musa, Harun, dan seluruh umat.
34 Orang itu dimasukkan ke dalam tahanan, kerana belum dinyatakan apa yang harus dilakukan terhadapnya.
35 Kemudian TUHAN berfirman kepada Musa, “Hendaklah orang itu dihukum mati. Seluruh umat harus merejamnya dengan batu di luar perkhemahan.”
36 Maka seluruh umat membawa dia ke luar perkhemahan dan merejamnya dengan batu hingga mati, seperti yang diperintahkan TUHAN kepada Musa.
37 TUHAN berfirman kepada Musa,
38 “Berbicaralah kepada orang Israel dan katakan kepada mereka, ‘Buatlah rumbai-rumbai pada bucu-bucu pakaianmu dan amalkan itu turun-temurun, dan letaklah sehelai benang biru pada rumbai-rumbai pada bucu pakaian itu.
39 Rumbai-rumbai itu akan menjadi rambu-rambu peringatan bagimu, kerana setiap kali kamu melihatnya, kamu akan mengingat segala perintah TUHAN dan melakukannya, sehingga kamu tidak lagi mengikuti keinginan hatimu atau keinginan matamu sendiri, seperti yang biasa kamu lakukan dalam kekufuran kamu.
40 Dengan demikian kamu dapat mengingat dan melakukan segala perintah-Ku, sehingga kamu menjadi suci bagi Allahmu.
41 Akulah TUHAN, Allahmu, yang telah membawa kamu keluar dari Tanah Mesir supaya Aku menjadi Allahmu. Akulah TUHAN, Allahmu.”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Bilangan 15
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Bilangan 15

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV