1 Lalu Ayub menjawab,
2 “Sesungguhnya, aku tahu sedemikian halnya. Tetapi bagaimana mungkin seorang manusia benar di hadapan Allah?
3 Jika dia ingin bertikai dengan-Nya, maka tidak ada satu pun daripada seribu pertanyaan dapat dijawabnya.
4 Allah itu bijak hati-Nya dan besar kuasa-Nya. Siapa dapat berkeras mengingkari-Nya dan tetap selamat?
5 Dialah yang memindahkan gunung-gunung tanpa diketahui orang, yang menterbalikkan semua itu dalam murka-Nya.
6 Dia yang menggerakkan bumi dari tempatnya sehingga tiang-tiangnya bergoncang.
7 Dia yang memberikan perintah kepada matahari sehingga tidak terbit, dan yang memateraikan bintang-bintang.
8 Dia sendiri yang membentangkan langit, dan menginjak gelombang-gelombang laut.
9 Dia yang menjadikan bintang Biduk, bintang Belantik, bintang Kartika, dan gugusan bintang selatan.
10 Dia melakukan hal-hal besar yang tidak dapat diduga, dan hal-hal ajaib yang tidak terhitung.
11 Jika Dia lalu di sisiku, aku tidak melihat-Nya. Jika Dia melintas, aku tidak menyedari kehadiran-Nya.
12 Jika Dia menyambar, siapa dapat menahan-Nya? Siapa mampu berkata kepada-Nya, ‘Apakah yang Engkau lakukan?’
13 Allah tidak akan menahan murka-Nya, para pembantu Rahab tunduk di bawah kuasa-Nya.
14 Bagaimana pula aku dapat menjawab Dia, atau memilih kata-kataku di hadapan-Nya?
15 Walaupun aku tidak bersalah, aku tidak dapat menjawab Dia, malah aku harus memohon belas ihsan daripada Hakimku.
16 Jika aku berseru dan Dia menjawabku, aku tidak yakin sama ada Dia mahu mendengar suaraku,
17 kerana Dia meremukkan aku dengan angin badai dan memperbanyak lukaku tanpa sebab.
18 Dia tidak membiarkan aku bernafas semula, melainkan memenuhi aku dengan kepahitan.
19 Kalau sentuh tentang kekuatan, Dialah yang kuat. Kalau sentuh tentang keadilan, Dia akan berkata, ‘Siapa yang akan menggugat Aku?’
20 Meskipun aku benar, mulutku sendiri akan menyatakan aku bersalah. Meskipun aku tidak bercela, Dia akan menyatakan aku bengkok.
21 Aku ini tidak bercela, tetapi tidak kupedulikan diriku. Hidupku kupandang hina.
22 Semuanya sama sahaja, kerana itu aku berkata: Dia memusnahkan orang yang tidak bercela dan juga orang fasiq.
23 Jika bencana membunuh dengan tiba-tiba, Dia mempersenda-sendakan keputusasaan orang yang tidak bersalah.
24 Bumi telah diserahkan ke dalam tangan orang fasiq. Dia menyelubungi muka para hakim di bumi; kalau bukan Dia, lalu siapa lagi?
25 Kini hari-hariku lebih cepat daripada seorang pelari, menghilang tanpa melihat kebaikan;
26 meluncur seperti perahu daripada papirus, seperti rajawali menyambar mangsa.
27 Jika aku berfikir, ‘Aku akan melupakan keluhanku, aku akan membuang muka murung dan tersenyum,’
28 maka takutlah aku kepada segala kesusahanku. Aku tahu bahawa Engkau tidak akan menganggap aku tidak bersalah.
29 Aku dinyatakan bersalah, apa gunanya aku berjerih lelah dengan sia-sia?
30 Jika aku membasuh diriku dengan salji dan membersihkan telapak tanganku dengan sabun,
31 namun Engkau akan membenamkan aku ke dalam lubang sehingga pakaianku sendiri menjijikkan aku.
32 Dia bukan manusia seperti aku sehingga aku dapat menjawab-Nya, lalu kami pergi ke pengadilan bersama-sama.
33 Tidak ada pengantara antara kami yang boleh meletakkan tangannya pada kami berdua.
34 Biarlah Dia menyingkirkan tongkat-Nya daripadaku, janganlah rasa gentar terhadap-Nya membuat aku takut,
35 maka aku akan berbicara tanpa rasa takut kepada-Nya. Tetapi keadaanku tidaklah sedemikian.”