1 “Dapatkah engkau menarik Lewiatan dengan mata kail, atau menahan lidahnya dengan tali?
2 Dapatkah engkau memasang tali di hidungnya, atau mencucuk rahangnya dengan cangkuk?
3 Adakah ia akan mengajukan banyak permohonan kepadamu, atau bercakap dengan kata-kata yang lembut kepadamu?
4 Adakah ia akan mengikat perjanjian denganmu, supaya engkau mengambilnya sebagai hambamu untuk selama-lamanya?
5 Adakah engkau bermain-main dengannya seperti dengan burung, atau mengikatnya untuk anak-anak perempuanmu?
6 Dapatkah kelompok nelayan menjualbelikan dia? Dapatkah dia dibahagi-bahagi antara pedagang?
7 Dapatkah engkau menusuk kulitnya dengan tombak bermata tiga, atau kepalanya dengan lembing penangkap ikan?
8 Taruhlah tanganmu padanya, dan ingatlah perlawanannya. Engkau tidak akan melakukannya lagi!
9 Sesungguhnya, harapan untuk menangkapnya hampa belaka. Bukankah melihat rupanya sahaja orang sudah jatuh pengsan?
10 Tiada orang yang cukup bengis yang berani membangunkan dia. Kalau begitu, siapakah yang dapat bertahan di hadapan-Ku?
11 Siapakah lebih dahulu memberi-Ku sehingga Aku harus membalasnya? Segala sesuatu di seluruh kolong langit ialah milik-Ku.
12 Aku tidak mahu berdiam diri mengenai anggota-anggota tubuhnya, mengenai tenaganya dan bentuknya yang elok.
13 Siapakah yang dapat melucuti pakaian luarnya? Siapakah yang dapat masuk ke dalam kekangnya?
14 Siapakah yang dapat membuka pintu moncongnya? Di sekeliling giginya ada kengerian.
15 Dia menyombongkan sisiknya yang kuat, yang tertutup rapat seperti dimateraikan.
16 Sisiknya berdekatan satu sama lain, sehingga udara tidak dapat masuk di antaranya;
17 berlekatan satu sama lain, bertautan dan tidak terpisah.
18 Bersinnya menyemburkan cahaya, matanya seperti fajar merekah.
19 Daripada mulutnya keluar obor, bunga api berpercikan.
20 Dari lubang hidungnya keluar asap seperti periuk mendidih oleh kumbuh yang terbakar.
21 Nafasnya menyalakan bara, nyala api keluar daripada mulutnya.
22 Di tengkuknya tersimpan kekuatan, ketakutan berlompatan di hadapannya.
23 Daging gelambirnya berlekatan, mengeras pada tubuhnya dan tidak dapat digerakkan.
24 Hatinya keras seperti batu, keras seperti batu kilangan bawah.
25 Ketika ia bangkit, kalangan kuat pun takut, oleh libasannya mereka menghilang.
26 Dia tidak mempan disergap dengan pedang, begitu pula dengan tombak, anak panah, atau lembing.
27 Besi dianggapnya jerami, tembaga dianggapnya kayu busuk.
28 Anak panah tidak dapat membuatnya lari, batu tarbil berubah jadi tunggul jerami baginya.
29 Gada dianggapnya tunggul jerami, ia tertawa mendengar desingan lembing.
30 Bahagian bawahnya seperti tembikar yang tajam, di atas lumpur ia membujur seperti deretan pengirik.
31 Dibuatnya air yang dalam menggelegak seperti periuk. Dibuatnya laut seperti kuali rempah-rempah.
32 Ditinggalkannya jalur yang bersinar di belakangnya, sehingga orang menyangka samudera beruban.
33 Tidak ada tandingannya di atas bumi! Dialah makhluk yang dibuat tanpa rasa takut.
34 Dipandangnya semua yang tinggi; ia raja atas semua makhluk yang bongkak.”