1 Kemudian TUHAN menjawab Ayub dari dalam angin puting beliung,
2 “Siapakah orang ini yang meragukan hikmah-Ku dengan kata-kata yang tidak berilmu?
3 Bersiaplah engkau sebagai seorang lelaki; Aku hendak bertanya kepadamu, dan engkau harus menjawab Aku.
4 Di manakah engkau ketika Aku meletakkan asas bumi? Jawablah jika engkau berpengetahuan.
5 Siapakah yang menentukan ukuran bumi? Tentu engkau tahu! Atau, siapakah yang merentangkan tali pengukur di atasnya?
6 Di atas apakah asas-asasnya ditanamkan? Atau, siapakah yang meletakkan batu penjurunya
7 ketika bintang fajar bersorak-sorai bersama-sama dan semua anak Allah bersorak gembira?
8 Siapakah yang menutup laut dengan pintu ketika laut memancar keluar dari dalam rahim,
9 ketika Aku menjadikan awan pakaiannya dan kelam pekat kain bedungnya,
10 ketika Kuputuskan batas baginya dan Kupasang palang serta pintu,
11 ketika Aku berfirman, ‘Sejauh ini engkau boleh pergi tetapi tidak lebih. Di sinilah gelombangmu yang bongkak akan berhenti’?
12 Seumur hidupmu pernahkah engkau memerintahkan terbitnya pagi, atau memberitahu fajar tempatnya,
13 supaya ia memegang hujung-hujung bumi dan mengebaskan orang fasiq dari dalamnya?
14 Bumi berubah seperti tanah liat yang dimateraikan, segala sesuatu menjadi seperti pakaian.
15 Tetapi cahaya orang fasiq ditahan, dan lengan yang terangkat dipatahkan.
16 Pernahkah engkau pergi sampai ke mata-mata air di laut, atau menjalani tempat-tempat rahsia samudera?
17 Pernahkah pintu-pintu gerbang maut diperlihatkan kepadamu? Pernahkah kaulihat pintu-pintu gerbang bayang maut?
18 Pernahkah kaufahami luasnya bumi? Nyatakanlah kalau engkau tahu akan semua itu.
19 Di manakah jalan ke tempat kediaman cahaya? Di manakah tempat tinggal kegelapan,
20 sehingga engkau dapat menghantarnya ke daerahnya dan mengetahui jalan ke rumahnya?
21 Tentu engkau tahu kerana engkau sudah lahir pada waktu itu dan jumlah harimu sudah banyak!
22 Pernahkah engkau masuk ke dalam perbendaharaan salji, atau melihat perbendaharaan hujan ais,
23 yang Kusimpan untuk masa kesesakan, untuk hari pertempuran dan peperangan?
24 Di manakah jalan tempat kilat dibahagikan, tempat angin timur disebarkan ke atas bumi?
25 Siapakah yang membuka saluran bagi air bah dan jalan bagi kilat guruh,
26 untuk menghujani tanah yang tidak ada orangnya, gurun yang tidak ada manusianya,
27 untuk mengenyangkan padang yang tandus dan sunyi, serta untuk menumbuhkan tunas-tunas rumput muda?
28 Apakah hujan itu berayah? Atau, siapakah yang menyebabkan titik-titik embun lahir?
29 Daripada kandungan siapakah keluar ais? Siapakah yang melahirkan embun beku di langit,
30 ketika air mengeras seperti batu dan permukaan samudera membeku?
31 Dapatkah engkau mengikat gugusan bintang Kartika, atau melepaskan ikatan bintang Belantik?
32 Dapatkah engkau mengeluarkan rasi-rasi bintang pada masanya, atau memandu bintang Biduk dengan anak-anaknya?
33 Tahukah engkau ketetapan-ketetapan langit? Dapatkah engkau menetapkan pemerintahannya di atas bumi?
34 Dapatkah engkau menyaringkan suaramu sampai ke awan, atau meliputi dirimu dengan air bah?
35 Dapatkah engkau mengutus petir sehingga mereka pergi sambil berkata kepadamu, ‘Inilah kami’?
36 Siapakah yang menaruh hikmah di dalam batin? Atau, siapakah yang memberikan pengertian kepada fikiran?
37 Siapakah yang dapat mengira jumlah awan dengan hikmah? Siapakah yang dapat mencurahkan isi kirbat-kirbat langit,
38 ketika debu jadi keras dan gumpalan-gumpalan tanah berlekatan?
39 Dapatkah engkau memburu mangsa bagi singa betina, atau mengenyangkan anak singa yang lapar
40 ketika singa-singa itu meringkuk di sarang, dan menunggu di belukar?
41 Siapakah yang menyediakan bekal bagi burung gagak ketika anak-anaknya berteriak kepada Allah dan berkeliaran kerana kekurangan makanan?

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Ayub 38
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Ayub 38

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV