1 “Tetapi sekarang aku ditertawakan mereka yang lebih muda daripadaku, yang sepatutnya ayah-ayah mereka kupandang terlalu hina untuk ditempatkan bersama dengan anjing penjaga kawanan dombaku.
2 Apatah lagi, apa gunanya bagiku kekuatan tangan mereka? Mereka sudah kehabisan tenaga.
3 Mereka kurus kerana kekurangan dan kelaparan, mereka menggerumit tanah yang gersang di padang yang tandus dan sunyi.
4 Mereka memetik rumput garam di antara semak dan akar pokok arar menjadi makanan mereka.
5 Mereka dihalau daripada kalangan manusia, orang meneriaki mereka seperti meneriaki pencuri.
6 Mereka harus berdiam di alur-alur sungai kering, di lubang-lubang tanah dan ceruk-ceruk batu.
7 Di tengah-tengah semak-semak mereka menjerit, di bawah belukar mereka berkumpul.
8 Mereka kalangan anak orang bodoh dan kalangan anak orang yang tidak dikenal, mereka didepak dari negeri.
9 Sekarang, aku menjadi lagu ejekan mereka, aku menjadi sindiran bagi mereka.
10 Mereka mengejikan aku, menjauhkan diri daripadaku, dan tidak segan-segan meludahi mukaku.
11 Kerana Allah telah melepaskan tali busur-Nya dan menindas aku, mereka pun tidak mengekang diri di hadapanku.
12 Di sebelah kananku gerombolan bangkit. Mereka menolak kakiku, dan membina jalan kemalangan untuk menyerang aku.
13 Mereka membongkar jalanku, mengambil untung daripada bencanaku, padahal mereka sendiri tidak punya penolong.
14 Mereka datang seolah-olah melalui lubang tembok yang lebar; di tengah-tengah kehancuran, mereka datang bergulung-gulung.
15 Kegentaran meliputi diriku, kemuliaanku diburu seperti oleh angin, kesejahteraanku lenyap seperti awan.
16 Sekarang jiwaku tercurah dalam diriku, hari-hari kesusahan mencengkam aku.
17 Malam menusuk tulang-tulangku, nyeri yang mengunggis aku tidak juga berhenti.
18 Pakaianku rosak oleh kuasa yang besar, melekat padaku seperti leher bajuku.
19 Allah membuang aku ke dalam lumpur, aku sudah seperti debu dan abu.
20 Aku berteriak minta tolong kepada-Mu tetapi Engkau tidak menjawab. Aku berdiri, tetapi Engkau hanya memandangku.
21 Engkau berubah jadi bengis terhadap aku, dengan kekuatan tangan-Mu Engkau menganiaya aku.
22 Engkau mengangkat aku dengan angin, melayangkan aku, dan menghempaskan aku dalam badai.
23 Aku tahu bahawa Engkau akan membawa aku kepada maut, ke tempat yang ditentukan bagi semua yang hidup.
24 Sesungguhnya, tidak ada yang menghulurkan tangan kepada orang yang hancur ketika dia berseru minta tolong dalam kemalangannya.
25 Bukankah aku menangis kerana orang yang mengalami hari sukar? Bukankah hatiku bersedih kerana orang yang melarat?
26 Tetapi ketika aku mengharapkan yang baik, datanglah yang jahat; ketika aku menantikan cahaya, datanglah kelam.
27 Batinku bergelora dan tidak mahu diam, hari-hari kesusahan mendatangi aku.
28 Aku berjalan dengan kulit menghitam, tetapi bukan sinar matahari. Aku berdiri di tengah-tengah jemaah dan berteriak minta tolong.
29 Aku menjadi saudara bagi serigala dan kawan bagi burung unta.
30 Kulitku menghitam dan mengelupas, tulang-tulangku terbakar kerana demam.
31 Bunyi kecapiku menjadi irama perkabungan, dan bunyi serulingku menjadi suara orang menangis.”