1 Setelah itu, Ayub membuka mulutnya dan mengutuk hari kelahirannya.
2 Kata Ayub,
3 “Biarlah binasa hari ketika aku dilahirkan dan malam ketika orang mengatakan, ‘Seorang anak sedang dikandungkan!’
4 Biarlah hari itu menjadi kegelapan. Semoga Allah jangan mengendahkannya dari atas, janganlah cahaya menyinarinya.
5 Biarlah kegelapan dan bayang-bayang maut menuntutnya, biarlah awan menyelaputinya, biarlah apa yang menggelapkan siang mengejutkannya.
6 Malam itu – biarlah kekelaman merenggutnya. Janganlah malam itu bersuka ria bersama dengan hari-hari dalam setahun, janganlah malam itu termasuk dalam bulan-bulan.
7 Ya, biarlah malam itu menjadi mandul, janganlah terdengar sorak-sorai di dalamnya.
8 Biarlah kalangan pengutuk hari mengutuknya, kalangan yang sedia membangkitkan amarah Sang Lewiatan.
9 Biarlah bintang-bintang senjanya menjadi gelap. Biarlah bintang-bintang mengharapkan cahaya tetapi tidak mendapatkannya, dan janganlah bintang melihat merekahnya fajar,
10 kerana malam itu pintu-pintu kandungan ibuku tidak ditutup dan kesukaran tidak disembunyikan daripada mataku.
11 Mengapa aku tidak mati sejak dalam rahim, atau putus nyawa ketika aku keluar daripada kandungan?
12 Mengapa pangkuan menyambut aku? Mengapa ada susu ibu sehingga aku dapat menyusu?
13 Kalau tidak, sekarang aku sudah berbaring dengan sentosa, aku sudah tidur dan berehat
14 dengan para raja dan para penasihat bumi yang membina reruntuhan bagi diri mereka,
15 atau dengan para pembesar pemilik emas, yang memenuhi rumah mereka dengan perak.
16 Atau, mengapa aku tidak seperti anak gugur yang disembunyikan, seperti bayi yang tidak pernah melihat cahaya?
17 Di sanalah orang fasiq berhenti meresahkan, di sanalah orang yang kehabisan tenaga berehat.
18 Para tahanan pun berasa tenang bersama-sama, mereka tidak lagi mendengar suara si tukang kerah.
19 Orang kecil dan orang besar ada di sana, dan si hamba dibebaskan daripada tuannya.
20 Mengapa cahaya diberikan kepada orang yang dalam kesukaran, dan hidup kepada orang yang ada kepahitan jiwa?
21 Mereka merindukan maut, tetapi maut tidak datang; mereka mencarinya lebih daripada harta karun;
22 mereka teramat gembira dan girang ketika menemukan kubur.
23 Mengapa cahaya diberikan kepada lelaki yang jalannya tersembunyi, yang dipagari Allah?
24 Keluh-kesahku datang sebagai ganti makananku dan raunganku tercurah seperti air.
25 Hal yang kutakuti telah mendatangiku, dan hal yang kugentari telah menimpaku.
26 Aku tidak tenang, aku tidak sentosa, aku tidak dapat berehat; sebaliknya, keresahanlah yang datang.”