1 Semangatku patah, hari-hariku punah, kubur menantikan aku.
2 Sesungguhnya, orang yang mengejek-ejek mengelilingiku, dan mataku terus menyaksikan sindiran mereka.
3 Jaminlah aku dengan diri-Mu sendiri. Sesiapa lagi yang dapat membuat perjanjian penjaminan dengan aku?
4 Engkau telah menutup hati mereka sehingga mereka tidak berpengertian, itulah sebabnya Engkau tidak akan meninggikan mereka.
5 Sesiapa yang mengadukan sahabatnya demi keuntungan, mata anak-anaknya akan menjadi rabun.
6 Aku dijadikan bahan sindiran orang ramai, aku menjadi orang yang diludahi mukanya.
7 Mataku kabur kerana rasa kesal, seluruh anggota tubuhku seperti bayang-bayang.
8 Orang yang lurus hati tercengang kerana hal ini, orang yang tidak bersalah bangkit melawan orang munafik.
9 Meskipun begitu, orang benar akan tetap berpegang kepada jalannya, dan orang yang suci tangannya akan bertambah kuat.
10 Tetapi kamu sekalian, silakan mula lagi! Aku tidak akan menemukan seorang bijak dalam kalanganmu!
11 Hari-hariku telah berlalu, rancangan-rancanganku telah gagal, demikian pula cita-cita hatiku.
12 Mereka ubah malam jadi siang. ‘Cahaya sudah dekat,’ kata mereka di hadapan kegelapan.
13 Jika kuharapkan alam kubur sebagai rumahku, jika kuhamparkan petiduranku dalam kegelapan,
14 jika kukatakan kepada liang kubur, ‘Engkau ayahku,’ dan kepada belatung, ‘Ibuku,’ atau ‘Saudara perempuanku,’
15 maka di manakah pengharapanku? Pengharapanku – siapakah yang dapat melihatnya?
16 Pengharapan itu akan turun ke pintu gerbang alam kubur apabila kami turun bersama-sama ke dalam debu.”