1 Lalu Ayub menjawab,
2 “Aku sudah mendengar banyak percakapan seperti itu. Kamu semua penghibur hati yang menyeksa!
3 Tidak habis-habiskah kata-kata kosong itu? Apakah yang mendesak kamu sehingga engkau menjawab?
4 Aku juga boleh berkata-kata seperti kamu, sekiranya kamu yang berada di tempatku. Aku boleh menyusun perkataan menentang kamu dan menggeleng-gelengkan kepala terhadapmu.
5 Tetapi aku akan menguatkan kamu dengan mulutku, penghiburan bibirku akan meredakan dukacita kamu.
6 Jika aku bercakap, deritaku tidak semakin reda, dan jika aku berdiam diri, adakah derita ini akan pergi daripadaku?
7 Tetapi sekarang Dia telah membuat aku lelah. Engkau telah memporak-perandakan seluruh keluargaku.
8 Engkau menjadikan aku kering kerepot – itulah yang menjadi saksi menentang aku, kekurusanku bangkit dan bersaksi di depanku.
9 Murka-Nya mencabik-cabik dan menganiaya aku. Dia menggertakkan gigi-Nya terhadap aku. Lawanku memandang aku dengan tajam.
10 Mereka mengangakan mulut kepadaku, menampar pipiku dengan celaan, dan berkerumun bersama-sama untuk melawan aku.
11 Allah menyerahkan aku kepada orang zalim, dan menjatuhkan aku ke dalam tangan orang fasiq.
12 Aku hidup dengan tenang, tetapi Dia meremukkan aku. Dia menangkap tengkukku dan meluluhlantakkan aku. Dia menegakkan aku sebagai sasaran-Nya.
13 Para pemanah-Nya mengelilingi aku. Dia membelah ginjalku tanpa rasa sayang, Dia menumpahkan hempeduku ke tanah.
14 Dia mematahkan aku, lagi dan lagi. Dia berlari menyerang aku seperti seorang kesateria.
15 Aku telah menjahit kain kabung pada kulitku, dan membenamkan kekuatanku dalam debu.
16 Mukaku merah kerana menangis, di kelopak mataku ada bayang-bayang maut,
17 padahal tidak ada kekerasan di tanganku dan doaku tulus ikhlas.
18 Wahai bumi, jangan kaututup darahku, jangan ada tempat rehat bagi jeritanku!
19 Sekarang juga, ketahuilah, Saksiku ada di syurga, Yang Bersaksi bagiku ada di tempat yang tinggi.
20 Sahabat-sahabatku mencelaku, tetapi aku mencucurkan air mata di hadapan Allah,
21 supaya Saksiku merayu kepada Allah bagi pihakku seperti manusia merayu bagi sesamanya.
22 Setelah tibanya sekian tahun, aku akan menempuh jalan, dari situ aku tidak akan kembali lagi.