1 “Sesungguhnya, mataku sudah melihat semua itu, telingaku sudah mendengar dan memahaminya.
2 Apa yang kamu ketahui, kuketahui juga, aku tidak kurang daripada kamu.
3 Namun demikian, aku hendak berbicara kepada Yang Maha Kuasa, aku ingin berperkara dengan Allah.
4 Tetapi kamu, kamu yang menutupi kebohongan, kamu semua tabib yang tidak berguna!
5 Andai kamu berdiam diri sahaja, itu akan menjadi hikmahmu.
6 Dengarlah pembelaanku dan perhatikanlah bantahan bibirku.
7 Patutkah kamu berbicara tidak benar atas nama Allah, dan mengucapkan dusta bagi Dia?
8 Apakah kamu hendak memihak kepada-Nya? Apakah kamu hendak berbantah bagi Allah?
9 Adakah kamu akan baik-baik sahaja kalau Dia memeriksa kamu? Dapatkah kamu menipu Dia seperti menipu manusia?
10 Pasti Dia akan menegur kamu jika kamu memihak secara sembunyi-sembunyi.
11 Bukankah keluhuran-Nya akan membuatmu gentar, dan ketakutan terhadap-Nya akan menimpa kamu?
12 Mana-mana peringatanmu ialah pepatah-pepatah daripada debu, pembelaan dirimu ialah pembelaan daripada tanah liat.
13 Diamlah, biarkan aku berbicara, dan biarkanlah apa-apa pun yang akan terjadi kepada diriku.
14 Untuk apa aku membahayakan diriku, dan menatang nyawaku di tanganku?
15 Sekalipun Dia membunuhku, aku mahu tetap berharap kepada-Nya. Hanya, aku hendak membela perilakuku di hadapan-Nya.
16 Itulah juga yang akan mendatangkan penyelamatan bagiku, kerana orang munafik tidak akan datang menghadap-Nya.
17 Dengarlah baik-baik kata-kataku, biarlah akuanku sampai kepada-Mu.
18 Lihatlah, aku telah menyusun perkaraku, dan aku tahu bahawa aku akan didapati benar.
19 Siapakah yang mahu bertelingkah dengan aku? Jika demikian aku akan berdiam diri dan putus nyawa.
20 Hanya, kabulkan bagiku dua hal ini, maka aku tidak akan menyembunyikan diri dari hadirat-Mu:
21 jauhkanlah tangan-Mu daripadaku dan janganlah kedahsyatan-Mu membuat aku takut.
22 Kemudian panggillah, dan aku akan menjawab, atau biarkan aku berbicara, dan Engkau menjawab aku.
23 Sebanyak manakah kesalahan dan dosaku? Beritahulah aku pelanggaran dan dosaku.
24 Mengapa Engkau menyembunyikan hadirat-Mu, dan menganggap aku musuh-Mu?
25 Akankah Engkau menyeksa sehelai daun yang diterbangkan angin, dan memburu tunggul jerami yang kering?
26 Engkau menulis hal-hal yang pahit menentang aku, dan membuat aku mewarisi kesalahan masa mudaku.
27 Engkau memasung kakiku, dan mengawasi segala pergerakanku. Engkau memasang batas di sekitar telapak kakiku.
28 Atas manusia yang sudah seperti barang lapuk yang membusuk, seperti pakaian yang dimakan gegat.”