1 Lalu Ayub menjawab,
2 “Tidak syak lagi, kamulah kalangan itu dan hikmah akan mati bersama-samamu.
3 Aku juga berakal seperti kamu, aku tidak kurang daripada kamu. Siapa tidak tahu akan hal-hal semacam itu?
4 Aku menjadi bahan ketawa para sahabatku; aku, orang yang berseru kepada Allah dan yang dijawab oleh-Nya. Orang yang tulus hati dan tidak bercela menjadi bahan ketawa!
5 Orang yang hidup selesa menghina nasib malang yang juga tersedia bagi orang yang tergelincir kakinya.
6 Khemah para penyamun tidak terganggu, dan mereka yang membangkitkan murka Allah hidup tenteram; mereka inilah yang membawa tuhan sendiri dalam tangan.
7 Tetapi tanyalah kepada haiwan-haiwan, nescaya mereka akan mengajar engkau; kepada burung-burung di udara, nescaya akan mereka memberitahu engkau.
8 Atau, berkata-katalah dengan bumi, nescaya ia akan mengajar engkau, dan ikan-ikan di laut pun akan mengisytiharkan kepadamu.
9 Siapakah antara semua itu yang tidak tahu bahawa tangan TUHAN yang melakukan hal ini?
10 Dalam tangan-Nyalah nyawa semua yang hidup dan nafas seluruh umat manusia.
11 Bukankah telinga menguji kata-kata seperti langit-langit mulut mengecap makanan?
12 ‘Dikatakan bahawa hikmah terdapat pada kalangan tua, dan pengertian pada kalangan yang lanjut usia.’
13 Tetapi pada Allah sahaja terdapat hikmah dan keperkasaan, Dialah yang mempunyai pertimbangan dan pengertian.
14 Jika Dia meruntuhkan, tidak ada yang dapat membina kembali. Jika Dia menangkap seseorang, tidak ada yang dapat melepaskannya.
15 Jika Dia menahan air, kering kontanglah semuanya. Jika Dia melepaskannya, maka bumi pun ditunggangbalikkannya.
16 Pada-Nya ada kekuatan dan hikmah, Punya Dialah orang yang tertipu dan yang menipu.
17 Dia menggiring para penasihat yang ditelanjangi dan para hakim dibodohkan-Nya.
18 Dia membuka belenggu para raja dan mengikat pinggang mereka dengan pengikat.
19 Dia menggiring para imam yang ditelanjangi dan menggulingkan orang yang berkuasa.
20 Dia membungkam orang yang dipercayai dan menghapuskan pertimbangan para tua-tua.
21 Dia mencurahkan penghinaan atas para bangsawan dan melonggarkan ikat pinggang orang kuat.
22 Dia menyingkapkan rahsia kegelapan dan membawa bayang-bayang maut kepada cahaya.
23 Dia membuat bangsa-bangsa menjadi besar, lalu membinasakan mereka, Dia mengembangkan bangsa-bangsa, lalu menggiring mereka.
24 Dia menghilangkan akal pemimpin bangsa-bangsa di bumi dan membuat mereka mengembara di tanah tandus yang tidak ada jalannya.
25 Mereka meraba-raba dalam kegelapan yang tidak ada terangnya. Dia membuat mereka terhuyung-huyung seperti orang mabuk.”