1 Hai anakku, pegang teguh kata-kataku, dan sematkanlah segala perintahku dalam hatimu.
2 Patuhi segala perintahku, maka engkau akan hidup; peliharalah ajaranku seperti biji matamu.
3 Tambatkanlah segalanya pada jarimu, dan pahatkanlah kesemuanya pada loh hatimu.
4 Katakanlah kepada hikmah, “Engkau saudaraku,” dan anggaplah pengertian itu kerabatmu yang karib,
5 supaya engkau terhindar daripada perempuan lucah, dan daripada perempuan penzina dengan pujuk rayunya.
6 Dari jendela rumahku, ketika aku menjenguk melalui kekisi,
7 kulihat di antara orang yang betul bendul, dan kuperhatikan dalam kalangan teruna, seorang muda yang tidak berakal budi.
8 Dia melintasi jalan dekat persimpangan lalu melangkah menuju rumah perempuan sebegitu
9 pada waktu maghrib, pada waktu senja, menjelang malam yang gelap gelita.
10 Muncullah seorang perempuan datang menemuinya, berpakaian lucah dan berhati licik.
11 Liar sifatnya dan jiwanya memberontak. Kakinya tidak betah di rumah,
12 sebentar di jalan, sebentar di medan-medan umum, dan di setiap persimpangan dia menyasar.
13 Dirangkulnya si anak muda itu dan diciumnya, lalu dengan galak dia berkata kepadanya,
14 “Aku harus mempersembahkan korban kedamaian, dan pada hari ini aku telah menunaikan nazarku.
15 Maka aku pun keluar untuk bertemu denganmu; Aku mencarimu dengan sedaya upaya, lalu kini kutemui engkau.
16 Di atas tempat tidurku telah kubentangkan alas, kain linen beraneka warna dari Mesir.
17 Aku telah mengharumkan katilku itu dengan damar wangi, gaharu, dan kayu manis.
18 Marilah kita melampiaskan berahi sampai pagi hari, dan menghirup nikmat cinta,
19 kerana suamiku tiada di rumah, dia sedang menempuh perjalanan yang jauh.
20 Dia membawa sekantung wang, dan hanya akan pulang ke rumah menjelang bulan purnama.”
21 Dengan pujuk cumbu dia memikat, dan dengan rayuan bibirnya yang licin dia menggoda.
22 Lantas anak muda itu mengikutinya seperti lembu yang dihela ke tempat penyembelihan, seperti orang terbelenggu yang dihela ke tempat penghukuman orang bodoh,
23 sampai anak panah menikam hatinya. Dia seperti burung yang bergegas menuju masuk jerat, tanpa sedar nyawanya terancam.
24 Oleh sebab itu, hai anak-anakku, dengarlah aku, perhatikanlah kata-kata mulutku.
25 Janganlah hatimu menyimpang ke jalan-jalan perempuan sebegitu, dan janganlah tersesat di lorong-lorongnya,
26 kerana telah banyak mangsa yang dijatuhkannya, dan orang gagah yang dimusnahkannya.
27 Rumahnya memang jalan menuju ke alam barzakh, yang menjunam ke dalam ruang-ruang maut.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Amsal 7
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Amsal 7

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV