1 Orang durjana lari padahal tidak ada yang mengejarnya, tetapi orang benar berani seperti singa muda.
2 Ketika sebuah negeri memberontak, akan ada ramai penguasanya, tetapi jika adanya seorang yang berpengertian dan berpengetahuan, maka negeri itu akan bertahan.
3 Orang miskin yang menindas orang miskin seumpama hujan lebat yang tidak membawa rezeki.
4 Orang yang mengabaikan Hukum Taurat memuji orang durjana, tetapi orang yang berpegang teguh pada Hukum Taurat menentang mereka.
5 Orang yang jahat tidak mengerti keadilan, tetapi orang yang mencari TUHAN mengerti segala sesuatu.
6 Lebih baik orang miskin yang hidup dalam keikhlasannya daripada orang kaya yang berliku-liku jalannya.
7 Anak yang memelihara Hukum Taurat mempunyai pengertian, tetapi sesiapa yang bergaul dengan orang rakus mengaibkan ayahnya.
8 Orang yang menambah kekayaannya dengan wang faedah dan riba, mengumpulkannya bagi orang yang mengasihani orang miskin.
9 Orang yang memalingkan telinganya supaya tidak mendengar Hukum Taurat, maka doanya pun adalah kekejian.
10 Sesiapa menyesatkan orang yang lurus hati di jalan yang jahat, akan jatuh dalam lubang jebaknya sendiri. Tetapi orang yang tidak bercela akan mewarisi kebajikan.
11 Orang kaya menganggap dirinya bijaksana, tetapi orang miskin yang berpengertian mengenalinya.
12 Ketika orang benar menang, ada kemuliaan besar, tetapi ketika orang durjana bangkit, orang menyembunyikan diri.
13 Orang yang menyembunyikan pelanggarannya tidak akan beruntung, tetapi sesiapa mengakui dan meninggalkannya akan mendapat rahmat.
14 Berbahagialah orang yang sentiasa takut kepada TUHAN, tetapi orang yang mengeraskan hati akan terperosok ke dalam malapetaka.
15 Seperti singa yang mengaum dan beruang yang menyerang, demikianlah orang durjana yang menguasai rakyat miskin.
16 Pemimpin yang kurang pengertian besar penindasannya, tetapi orang yang membenci laba haram memanjangkan umurnya.
17 Orang yang berhutang darah kepada sesiapa pun akan jadi pelarian sampai ke liang lahat; janganlah ada yang menolongnya.
18 Sesiapa yang hidup tidak tercela akan diselamatkan, tetapi orang yang jalannya berliku-liku akan jatuh serta-merta.
19 Sesiapa mengusahakan tanahnya akan kenyang dengan makanan, tetapi sesiapa mengejar hal yang hampa akan kenyang dengan kemiskinan.
20 Orang yang setia akan memperoleh banyak berkat, tetapi orang yang ingin cepat kaya tidak akan lepas daripada hukuman.
21 Tidaklah baik bersikap berat sebelah; kerana sekadar untuk sepotong roti orang akan melakukan pelanggaran.
22 Orang yang kikir memburu kekayaan, tidak tahu bahawa kemiskinan bakal menimpanya.
23 Sesiapa yang menegur seseorang akhirnya akan lebih disayangi daripada orang yang mengampu dengan lidahnya.
24 Sesiapa merampas harta ayahnya atau ibunya lalu berkata, “Itu bukan pelanggaran,” sememangnya kawan kepada si perosak.
25 Orang yang tamak membangkitkan pertengkaran, tetapi orang yang percaya kepada TUHAN akan diberi kelimpahan.
26 Bodohlah orang yang mempercayai hatinya sendiri, tetapi sesiapa yang hidup dengan hikmah akan selamat.
27 Orang yang memberi kepada orang miskin tidak akan berkekurangan, tetapi orang yang menutup matanya akan mendapat banyak kutukan.
28 Ketika orang durjana bangkit, orang menyembunyikan diri, tetapi ketika mereka binasa, orang benar bertambah ramai.