1 Apabila engkau duduk makan dengan seorang penguasa, perhatikanlah baik-baik apa yang ada di hadapanmu.
2 Tempatkanlah pisau pada lehermu, jika engkau seorang yang rakus.
3 Jangan ingini makanannya yang sedap, kerana makanan itu tipuan.
4 Jangan bersusah payah untuk menjadi kaya, jadilah bijaksana dan batalkan niat sedemikian.
5 Jika kaupandang sekilas, kekayaan itu lenyap, kerana pasti akan bersayap lalu terbang ke langit seperti rajawali.
6 Jangan makan roti orang yang kikir, dan jangan ingini makanannya yang sedap-sedap,
7 kerana dia seperti orang yang selalu menghitung-hitung dalam hati. Katanya kepadamu, “Makanlah dan minumlah,” tetapi hatinya tidak tulus terhadapmu.
8 Sepotong yang telah kaumakan akan kaumuntahkan, dan sia-sia sahaja kata pujianmu yang manis itu.
9 Jangan berkata-kata di telinga orang bodoh, kerana dia akan menghina kata-katamu yang bijaksana.
10 Jangan pindahkan batas tanah lama, dan jangan masuki ladang anak-anak yatim,
11 kerana Penebus mereka kuat, dan Dia akan membela perkara mereka melawanmu.
12 Arahkanlah hatimu kepada didikan, dan telingamu kepada kata-kata pengetahuan.
13 Jangan enggan menertibkan anakmu, walaupun engkau memukulnya dengan rotan, dia tidak akan mati.
14 Engkau memukul dia dengan rotan, dan rohnya engkau selamatkan daripada alam barzakh.
15 Hai anakku, jika hatimu bijaksana, hatiku juga gembira.
16 Batinku pun bersuka ria ketika bibirmu berkata perkara benar.
17 Janganlah hatimu menaruh hasad dengki terhadap orang yang berdosa, tetapi takutlah kepada TUHAN selalu,
18 kerana sesungguhnya ada masa depan, dan pengharapanmu tidak akan putus.
19 Dengarlah, hai anakku, dan jadilah bijaksana, tujukanlah hatimu ke jalan yang benar.
20 Jangan berada bersama-sama pemabuk atau orang yang rakus makan daging,
21 kerana peminum dan orang yang rakus menjadi miskin, dan rasa mengantuk membuat orang berpakaian compang-camping.
22 Dengarlah ayahmu, dia yang berolehmu, dan janganlah menghina ibumu pada masa tuanya.
23 Belilah kebenaran dan jangan menjualnya, peroleh juga kebijaksanaan, didikan, dan pengertian.
24 Ayah orang benar akan sangat gembira. Orang yang memiliki anak bijaksana akan bersukacita kerananya.
25 Biarlah ayah dan ibumu bersukacita, dan biarlah dia yang melahirkanmu bersukacita.
26 Hai anakku, berikanlah hatimu kepadaku, dan biarlah matamu menyukai jalan-jalanku.
27 Kerana mulut perempuan lucah adalah lubang yang dalam, dan perempuan penzina ialah sumur yang sempit.
28 Bahkan dia menunggu seperti penyamun, dan menambah jumlah pengkhianat dalam kalangan manusia.
29 Siapa sengsara? Siapa menderita? Siapa berbantah-bantah? Siapa yang mengeluh? Siapa luka tanpa sebab? Siapa yang merah matanya?
30 Mereka yang berlengah-lengah dengan air anggur, dan yang pergi mencari air anggur campuran.
31 Jangan lirik air anggur ketika merah warnanya, meskipun berkilau-kilauan di dalam gelas, dan akan dengan lancar mengalir masuk.
32 Pada akhirnya air anggur itu memagut seperti ular, dan menyemburkan racun seperti ular berbisa.
33 Matamu akan melihat hal-hal yang aneh, dan fikiranmu mengutarakan hal-hal yang kacau.
34 Engkau akan seperti orang yang berbaring di tengah laut, seperti orang yang berbaring di puncak tiang kapal.
35 Engkau akan berkata, “Orang memukulku, tetapi aku tidak kesakitan, orang memalu aku, tetapi aku tidak merasakannya. Bila aku akan bangun? Aku akan mencari air anggur lagi.”

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Amsal 23
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Amsal 23

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV