1 Manusia dapat menyusun rancangan dalam hati, tetapi jawapan lidah berasal daripada TUHAN.
2 Segala jalan seseorang bersih menurut pandangannya sendiri, tetapi TUHAN sajalah yang menimbang niat hatinya.
3 Serahkanlah perbuatanmu kepada TUHAN, maka rancanganmu akan terlaksana.
4 TUHAN menjadikan segala sesuatu, masing-masing untuk tujuan-Nya, bahkan orang durjana untuk hari malapetaka.
5 Semua yang bongkak hatinya adalah kekejian bagi TUHAN; yakinlah, mereka tidak akan terlepas daripada hukuman.
6 Dengan kasih dan kesetiaan, dosa dihapuskan, dan kerana takut kepada TUHAN, orang menjauhi kejahatan.
7 Jika TUHAN berkenan kepada jalan seseorang, Dia membuat musuh orang itu pun berdamai dengannya.
8 Lebih baik penghasilan sedikit dengan perbenaran, daripada penghasilan banyak tanpa keadilan.
9 Hati manusia merancang jalannya, tetapi TUHAN sajalah yang menentukan langkahnya.
10 Pernyataan ilahi ada pada bibir raja, dalam perkara hukum mulutnya tidak akan berbuat mungkar.
11 Timbangan dan neraca yang benar memang milik TUHAN, dan semua batu timbangan dalam pundi-pundi adalah ciptaan-Nya.
12 Perbuatan yang jahat adalah kekejian bagi raja, kerana takhta kerajaan ditegakkan oleh perbenaran.
13 Bibir yang berkata benar adalah kesukaan raja, dia mengasihi orang yang jujur perkataannya.
14 Murka raja bagaikan malaikat maut, tetapi orang yang bijaksana akan meredakannya.
15 Di wajah raja yang bersinar ada kehidupan, dan kebaikannya seperti awan yang membawa hujan akhir musim.
16 Alangkah lebih baik memperoleh kebijaksanaan daripada emas, memperoleh pengertian patut lebih dipilih daripada perak!
17 Jalan orang yang tulus menjauhi kejahatan, dan sesiapa menjaga jalannya, memelihara nyawanya.
18 Keangkuhan mendahului kehancuran, dan hati yang sombong mendahului kejatuhan.
19 Lebih baik merendahkan diri dengan orang miskin, daripada membahagi-bahagikan jarahan dengan orang sombong.
20 Sesiapa yang mengendahkan firman akan mendapat kebajikan, dan berbahagialah orang yang percaya kepada TUHAN.
21 Orang yang bijak hati disebut orang berpengertian, dan bicara manis meningkatkan pembelajaran.
22 Akal budi itu mata air kehidupan bagi dia yang memilikinya, tetapi orang bodoh terseksa oleh kebodohannya.
23 Hati orang bijaksana memimpin mulutnya menjadi bijaksana, dan menjadikan ucapan bibirnya lebih meyakinkan.
24 Kata-kata yang menyenangkan seperti sarang lebah madu, manis bagi jiwa dan menyembuhkan tulang.
25 Ada jalan yang dianggap orang sebagai lurus, tetapi akhirnya menuju maut.
26 Rasa lapar seorang pekerja mendorongnya bekerja, kerana perutnya terus mendesaknya.
27 Orang yang tidak berguna mencungkil kejahatan, dan di bibirnya bagaikan ada api yang menghanguskan.
28 Orang yang suka memutarbalikkan sesuatu menimbulkan pertengkaran, dan pemfitnah menceraikan sahabat yang karib.
29 Orang yang suka kekerasan memujuk jirannya, dan membawanya ke jalan yang tidak baik.
30 Sesiapa yang sengaja mengenyitkan matanya merancang tipu muslihat, dan orang yang menggigit bibirnya telah pun melakukan kejahatan.
31 Rambut yang beruban ialah mahkota yang mulia, yang didapati pada jalan kebenaran.
32 Orang yang panjang sabar lebih baik daripada seorang kesateria, dan orang yang menguasai dirinya lebih baik daripada dia yang merebut kota.
33 Undi dicabut ke dalam pangkuan, tetapi TUHAN sajalah yang menentukan setiap keputusannya.