1 Jawapan yang lemah lembut meredakan murka, tetapi perkataan yang tajam membangkitkan amarah.
2 Lidah orang arif menjadikan pengetahuan menarik, tetapi mulut orang bodoh meluahkan kebodohan.
3 TUHAN melihat segala-segalanya di mana-mana sahaja, memperhatikan yang jahat dan yang baik.
4 Lidah yang menenangkan ialah pokok hayat, tetapi lidah yang memutarbelitkan mematahkan semangat.
5 Orang bodoh menolak didikan ayahnya, tetapi orang yang mengendahkan teguran memang bijaksana.
6 Ada banyak harta benda di dalam rumah orang benar, tetapi penghasilan orang durjana membawa kesusahan.
7 Bibir orang bijaksana menyebarkan pengetahuan, tetapi hati orang bodoh tidak demikian.
8 Korban sembelihan orang durjana adalah kekejian bagi TUHAN, tetapi doa orang yang tulus memang keredaan-Nya.
9 Jalan orang durjana adalah kekejian bagi TUHAN, tetapi Dia mengasihi orang yang mengejar perbenaran.
10 Hukuman yang keras menanti sesiapa yang meninggalkan jalan yang benar, dan orang yang membenci teguran akan mati.
11 Alam barzakh dan neraka terbuka di depan TUHAN, lebih-lebih lagi hati anak-anak manusia!
12 Pencemuh tidak menyukai orang yang memberikan teguran; dia tidak mahu pergi menemui orang bijaksana.
13 Hati yang gembira membuat wajah berseri, tetapi ketika hati berduka, patahlah semangat.
14 Hati orang yang berpengertian mencari pengetahuan, tetapi mulut orang yang bebal menelan kebodohan.
15 Bagi orang yang tertindas hari-harinya buruk belaka, tetapi hati yang riang sentiasa berpesta.
16 Lebih baik sedikit harta disertai dengan takut kepada TUHAN daripada banyak harta disertai kekacauan.
17 Lebih baik hidangan sayur di tempat wujudnya kasih, daripada hidangan lembu gemuk disertai kebencian.
18 Orang yang pemarah membangkitkan pertengkaran, tetapi orang yang panjang sabar menenangkan pertikaian.
19 Jalan si pemalas ibarat pagar duri, tetapi jalan orang yang lurus hati sebuah lebuh raya.
20 Anak yang bijaksana menyukakan ayahnya, tetapi orang bodoh menghina ibunya.
21 Kebodohan menjadi kesukaan bagi orang yang tidak berakal budi, tetapi orang yang berpengertian berjalan lurus.
22 Rancangan gagal kerana tidak ada nasihat, tetapi berhasil dengan ramai penasihat.
23 Seseorang bergembira kerana jawapan yang diberikannya, dan alangkah baiknya kata-kata yang diucap tepat pada waktunya!
24 Jalan kehidupan orang bijaksana menuju ke atas, supaya dia menjauhi alam barzakh di bawah.
25 TUHAN membongkar rumah orang yang sombong, tetapi Dia mempertahankan batas tanah seorang balu.
26 Fikiran orang durjana adalah kekejian bagi TUHAN, tetapi perkataan yang menyenangkan suci bagi-Nya.
27 Orang yang tamak akan laba haram menyusahkan rumah tangganya sendiri, tetapi orang yang membenci rasuah akan hidup.
28 Hati orang benar mempertimbangkan jawapannya, tetapi mulut orang durjana meluahkan hal-hal yang jahat.
29 TUHAN jauh daripada orang yang durjana, tetapi doa orang benar didengar-Nya.
30 Mata yang bercahaya menyukakan hati, dan khabar baik menyegarkan tulang.
31 Orang yang mengendahkan teguran yang membawa pada kehidupan akan tinggal dalam kalangan bijaksana.
32 Sesiapa menolak didikan, menghina diri sendiri, tetapi sesiapa yang mengendahkan teguran memperoleh pengertian.
33 Takut kepada TUHAN adalah didikan yang mendatangkan hikmah, dan di sebalik kehormatan terdapat kerendahan hati.