1 Malangnya orang yang hidup bersenang-senang di Sion dan mereka yang berasa selamat di Gunung Samaria, iaitu orang terkemuka daripada bangsa yang terutama itu. Kepimpinan mereka ini amat diharapkan oleh keturunan kaum Israel.
2 Menyeberanglah kamu ke Kalne dan tengoklah. Pergilah dari sana ke Hamat yang besar itu dan turunlah ke Gat, negeri orang Filistin. Adakah mereka lebih baik daripada kerajaan-kerajaan ini? Adakah daerah mereka lebih besar daripada daerahmu?
3 Wahai kamu yang menganggap hari malapetaka masih jauh dan mendekatkan pemerintahan berunsur keganasan,
4 yang berbaring di atas katil bertatahkan gading dan menggeliat di atas ranjang mereka, yang memakan anak-anak domba daripada kawanan domba dan anak-anak lembu tambun dari dalam kandang;
5 wahai kamu yang bersenandung seiring bunyi gambus dan menciptakan alat-alat muzik seperti Daud,
6 yang meminum air anggur daripada bokor-bokor persembahan dan mengurapi diri dengan minyak yang terbaik tetapi tidak bersedih kerana kehancuran keturunan Yusuf.
7 Maka kini, mereka akan menjadi kalangan yang mula-mula dibuang. Keriuhan pesta kalangan yang menggeliat di ranjang itu akan tamat.
8 Tuhan ALLAH telah bersumpah demi diri-Nya, demikianlah firman TUHAN, Allah alam semesta: “Aku amat membenci keangkuhan Yakub dan Aku membenci puri-purinya. Akan Kuserahkan kota itu berserta segala isinya.”
9 Nanti, jika tertinggal sepuluh orang dalam sebuah rumah, mereka pun akan mati.
10 Seorang kerabat yang harus membakar mayat akan mengangkat dan mengeluarkan mayat itu dari rumah. Lalu dia akan bertanya kepada orang yang ada di bahagian belakang rumah, “Masih adakah orang yang bersamamu?” dan akan dijawab, “Tidak ada.” Lalu dia akan berkata, “Diam! Tidak patut kita sebut nama TUHAN.”
11 Sesungguhnya, jika TUHAN memberikan perintah, maka akan dirobohkan-Nya rumah yang besar menjadi reruntuhan dan rumah yang kecil menjadi cebisan kepingan.
12 Adakah kuda berlari di atas bukit batu? Adakah orang membajak di situ dengan lembu? Akan tetapi, kamu telah mengubah keadilan kepada racun dan buah yang benar kepada kepahitan –
13 wahai kamu yang bergembira atas Lodebar, yang berkata, “Bukankah kami merebut Karnaim dengan kekuatan kami sendiri?”
14 “Sesungguhnya, Aku akan membangkitkan suatu bangsa untuk melawan kamu, wahai keturunan kaum Israel” demikianlah firman TUHAN, Allah alam semesta. “Mereka akan menindas kamu dari jalan masuk Hamat sampai sungai di Araba.”