1 Saul, yang terus-menerus mengancam hendak membunuh murid-murid Tuhan Yesus, pergi mendapatkan imam besar
2 dan meminta surat untuk ditunjukkan kepada saumaah di Damsyik, supaya sekiranya dia menjumpai sesiapa yang mengikut Jalan Tuhan, baik lelaki mahupun perempuan, dia boleh memberkas dan membawa mereka ke Yerusalem.
3 Dalam perjalanannya, apabila dia hampir sampai di Damsyik, tiba-tiba suatu cahaya dari langit bersinar mengelilinginya.
4 Dia rebah ke bumi lalu mendengar suara berkata, “Saul, Saul, mengapa engkau menganiaya Aku?”
5 Saul bertanya, “Siapakah Engkau, Tuan?” Jawab-Nya, “Akulah Yesus yang kauaniaya.
6 Bangkitlah, masuklah ke kota. Di sana engkau akan diberitahu apa yang harus kaubuat.”
7 Orang seperjalanan Saul terpegun kerana mendengar suara itu tanpa melihat sesiapa pun.
8 Saul bangkit sambil membuka mata tetapi tidak dapat melihat suatu apa. Oleh yang demikian, mereka memegang tangannya dan memimpinnya masuk ke Damsyik.
9 Selama tiga hari dia tidak dapat melihat dan tidak makan atau minum.
10 Ada seorang murid Yesus yang bernama Ananias tinggal di Damsyik. Dalam suatu penglihatan dia mendengar Tuhan berkata, “Ananias!” “Ya, Tuhan,” sahut Ananias.
11 Tuhan berkata kepadanya, “Bersiaplah dan pergilah ke rumah Yudas di Jalan Lurus. Tanyakanlah seorang yang bernama Saul dari kota Tarsus. Dia sedang berdoa,
12 dan melihat seorang bernama Ananias meletakkan tangan di atasnya supaya dia dapat melihat semula.”
13 Ananias menjawab, “Ya Tuhan, aku telah mendengar ramai orang mengatakan hal orang itu. Dia telah banyak menganiaya umat-Mu yang salih di Yerusalem.
14 Sekarang dia datang ke Damsyik membawa kuasa daripada ketua-ketua imam untuk menangkap semua orang yang menyebut nama-Mu.”
15 Namun demikian, Tuhan berkata, “Pergilah, kerana Aku telah memilihnya sebagai alat pilihan-Ku untuk mengkhabarkan nama-Ku kepada bangsa-bangsa asing, raja-raja, dan umat Israel.
16 Aku akan menunjukkan kepadanya segala kesengsaraan yang akan ditanggungnya kerana nama-Ku.”
17 Dengan demikian Ananias pun pergi lalu masuk ke rumah itu dan meletakkan tangannya ke atas Saul sambil berkata, “Saudaraku Saul, Tuhan Yesus yang telah menampakkan diri-Nya kepadamu dalam perjalanan ke sini telah mengutusku supaya engkau dapat melihat semula dan dipenuhi Roh Kudus.”
18 Serta-merta sesuatu seperti sisik gugur daripada mata Saul dan dia dapat melihat semula. Dia pun bangun lalu dibaptiskan.
19 Kemudian dia makan dan kekuatannya pun pulih. Saul tinggal beberapa hari di Damsyik bersama para murid Yesus.
20 Dia terus mengkhabarkan di saumaah tentang Yesus, bahawa Dia Anak Allah.
21 Semua yang mendengarnya tercengang lalu berkata, “Bukankah dia ini yang menganiaya semua yang menyebut nama itu di Yerusalem? Bukankah dia datang ke mari untuk menangkap semua orang yang demikian di sini dan menyeret mereka ke hadapan ketua-ketua imam?”
22 Makin sehari makin bertambah kuasa yang diberikan Allah kepada Saul. Semua orang Yahudi di Damsyik tercengang apabila dia menyatakan bahawa Yesus itu Kristus.
23 Selepas beberapa hari, orang Yahudi berpakat hendak membunuh Saul.
24 Akan tetapi, Saul mendapat tahu tentang pakatan itu. Orang yang hendak membunuhnya itu menunggu di pintu gerbang siang malam;
25 tetapi murid-murid Saul mengambilnya pada waktu malam dan menurunkannya melalui tingkap ke kaki tembok di dalam sebuah keranjang.
26 Apabila Saul sampai di Yerusalem, dia cuba menghubungi para murid Yesus tetapi mereka takut dan tidak percaya bahawa dia benar-benar murid Yesus.
27 Barnabas membawa Saul ke hadapan para rasul dan menceritakan bagaimana dia telah melihat Tuhan ketika dalam perjalanan, kata-kata Tuhan kepadanya dan keberanian Saul menyebarkan nama Yesus di Damsyik.
28 Selepas itu, Saul keluar masuk di Yerusalem bersama para rasul serta mengajar nama Tuhan dengan berani.
29 Dia bercakap dan berhujah dengan orang Yahudi peranakan Yunani; mereka pun hendak membunuhnya.
30 Apabila para murid Yesus yang lain mengetahui hal itu, mereka membawa Saul ke Kaisarea dan menghantarnya ke Tarsus.
31 Dengan demikian sejahteralah jemaah di seluruh Yudea, Galilea dan Samaria. Jemaah itu diberi kekuatan dan hidup dengan takut kepada Tuhan. Dengan pertolongan Roh Kudus bilangan mereka semakin besar.
32 Ketika Petrus melawat daerah-daerah, dia mengunjungi orang salih yang tinggal di Lida.
33 Di situ dia menemui seorang bernama Eneas yang sudah lapan tahun lumpuh terlantar di tempat tidur.
34 Petrus berkata kepadanya, “Eneas, Yesus Kristus menyembuhkanmu. Bangunlah, kemaskan tempat tidurmu.” Pada saat itu juga Eneas bangun.
35 Semua penduduk Lida dan Saron melihatnya lalu beriman kepada Tuhan.
36 Di Yope ada seorang murid perempuan bernama Tabita (dalam bahasa Yunani disebut Dorkas); dia sentiasa membuat kebajikan dan memberi sedekah.
37 Pada masa itu dia jatuh sakit lalu meninggal dunia. Setelah dimandikan, jenazahnya dibaringkan di dalam bilik di tingkat atas.
38 Lida berdekatan dengan Yope. Apabila para murid Yesus mendapat tahu bahawa Petrus ada di Lida, mereka menghantar dua orang berjumpa dengannya dan memintanya datang secepat mungkin.
39 Petrus segera pergi bersama mereka. Setibanya di situ, dia dibawa naik ke bilik di tingkat atas itu. Semua balu di situ berdiri di sisinya sambil menangis dan menunjukkan pelbagai pakaian yang telah dijahit oleh Dorkas untuk mereka sewaktu hidupnya.
40 Petrus menyuruh semuanya keluar; kemudian dia bertelut dan berdoa. Selepas itu, dia berpaling kepada jenazah itu lalu berkata, “Hai Tabita, bangunlah.” Tabita membuka matanya dan apabila dia melihat Petrus, dia pun duduk.
41 Petrus memegang tangannya dan membantunya berdiri. Seterusnya Petrus memanggil semua murid Yesus, termasuk balu-balu itu dan menunjukkan kepada mereka perempuan yang sudah hidup itu.
42 Berita itu tersebar di seluruh Yope dan ramai orang beriman kepada Tuhan.
43 Petrus tinggal beberapa hari di Yope di rumah Simon, seorang penyamak kulit.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: Kisah Para Rasul 9
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: Kisah Para Rasul 9

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV