1 Yosia merayakan Paskah bagi TUHAN di Yerusalem. Korban Paskah disembelih pada hari keempat belas pada bulan pertama.
2 Dia menugaskan para imam menurut jawatan mereka dan menggalakkan mereka melaksanakan tugas di Bait TUHAN.
3 Kepada bani Lewi, yang menjadi pengajar seluruh orang Israel dan orang suci TUHAN, dia berkata, “Taruhlah tabut suci di dalam bait yang dibina oleh Salomo anak Daud, raja Israel. Tak usah lagi kamu mengusungnya. Sekarang, perhambakanlah diri kepada TUHAN, Allahmu, dan kepada umat-Nya Israel.
4 Bersiaplah menurut kaum-kaum keluargamu selaras dengan regumu, seperti yang ditulis oleh Daud, raja Israel, juga oleh Salomo, anaknya.
5 Berdirilah di tempat suci menurut golongan kaum keluarga saudara-saudaramu, iaitu kaum awam, sehingga masing-masing mendapat satu kaum keluarga bani Lewi.
6 Sembelihlah korban Paskah, sucikanlah dirimu, dan adakanlah persediaan bagi para saudaramu, supaya dilaksanakan apa yang difirmankan TUHAN dengan perantaraan Musa.”
7 Kepada kaum awam, Yosia memberikan sumbangan peribadi sebanyak 30,000 ekor kambing dan domba, iaitu anak domba dan anak kambing, semuanya sebagai korban Paskah bagi semua orang yang hadir. Dia juga menyumbangkan 3,000 ekor lembu, semuanya daripada harta benda raja.
8 Para pembesarnya pun memberikan sumbangan sukarela kepada rakyat, para imam, dan bani Lewi. Hilkia, Zakharia, dan Yehiel, para ketua pegawai Rumah Allah, memberikan kepada para imam 2,600 ekor korban Paskah dan tiga ratus ekor lembu.
9 Konanya dan kedua-dua saudaranya, iaitu Semaya dan Netaneel, juga Hasabya, Yeiel, dan Yozabad, para pemimpin bani Lewi, menyumbangkan 5,000 ekor korban Paskah dan 500 ekor lembu kepada bani Lewi.
10 Setelah ibadat disiapkan, berdirilah para imam di tempat mereka, juga bani Lewi menurut regu mereka selaras dengan perintah raja.
11 Korban Paskah disembelih dan para imam memercikkan darah yang diterima mereka daripada bani Lewi, dan bani Lewi menguliti korban.
12 Mereka menyisihkan korban bakaran untuk diberikan kepada kaum awam menurut pembahagian kaum keluarga mereka, supaya dipersembahkan kepada TUHAN seperti yang tertulis dalam kitab Musa. Demikian jugalah dilakukan terhadap lembu-lembu.
13 Mereka memanggang korban Paskah di atas api selaras dengan peraturan yang ditetapkan, manakala segala persembahan suci direbus mereka di dalam periuk, kuali, dan belanga. Kemudian mereka cepat-cepat membawanya kepada seluruh kaum awam.
14 Setelah itu, mereka menyediakannya bagi diri mereka sendiri dan bagi para imam, kerana para imam keturunan Harun sibuk mempersembahkan korban bakaran serta lemak sampai malam. Jadi, bani Lewi menyediakannya bagi diri mereka dan bagi para imam keturunan Harun.
15 Para penyanyi, iaitu bani Asaf, ada di tempat mereka selaras dengan perintah Daud, Asaf, Heman, dan Yedutun, pelihat raja itu. Para penjaga pintu gerbang ada di setiap pintu gerbang. Mereka tidak perlu meninggalkan tugas mereka kerana saudara-saudara mereka, bani Lewi, menyediakannya bagi mereka.
16 Demikianlah seluruh ibadat bagi TUHAN disiapkan pada hari itu untuk merayakan Paskah dan untuk mempersembahkan korban bakaran di atas mazbah TUHAN selaras dengan perintah Raja Yosia.
17 Pada waktu itu orang Israel yang hadir merayakan Paskah dan Perayaan Roti Tidak Beragi selama tujuh hari.
18 Paskah seperti itu belum pernah dirayakan di Israel sejak zaman Nabi Samuel. Tiada raja Israel yang pernah merayakan Paskah seperti yang dirayakan Yosia bersama-sama para imam, bani Lewi, semua orang Yehuda dan orang Israel yang hadir, serta penduduk Yerusalem.
19 Paskah itu dirayakan pada tahun kelapan belas zaman pemerintahan Yosia.
20 Sesudah semua itu, ketika Bait Allah telah diperlengkap oleh Yosia, majulah Nekho, raja Mesir, untuk berperang di Karkemis, di tepi Sungai Efrat. Yosia pun keluar menghadapinya.
21 Tetapi Nekho mengirim utusan kepadanya dengan pesan, “Apakah urusanmu dengan aku, wahai raja Yehuda? Pada hari ini aku tidak bermaksud menyerang engkau, melainkan menyerang keluarga orang yang sedang kuperangi. Allah menyuruh aku bertindak cepat. Berhentilah menentang Allah yang menyertaiku, supaya jangan engkau dibinasakan-Nya.”
22 Namun demikian, Yosia tidak mahu berpaling daripadanya, malah menyamar untuk berperang melawannya. Dia tidak mengendahkan perkataan Nekho yang berasal daripada Allah, malah pergi berperang di Lembah Megido.
23 Raja Yosia tertembak oleh para pemanah, lalu katanya kepada para pegawainya, “Bawalah aku dari sini, kerana aku terluka parah!”
24 Maka para pegawainya mengangkatnya dari ratanya, meletakkannya di dalam ratanya yang kedua lantas membawanya ke Yerusalem. Dia meninggal, lalu dimakamkan di permakaman leluhurnya. Yehuda dan Yerusalem berkabung kerana Yosia.
25 Yeremia mengarang sebuah syair ratapan tentang Yosia. Sampai hari ini semua penyanyi lelaki dan perempuan menyebut-nyebut Yosia dalam syair ratapan mereka. Hal itu menjadi adat di Israel. Sesungguhnya, semua itu tertulis dalam nyanyian ratapan.
26 Riwayat Yosia yang selebihnya dan segala perbuatan baiknya, selaras dengan yang tertulis dalam hukum TUHAN,
27 iaitu riwayatnya dari awal sampai akhir, sesungguhnya semua itu tertulis dalam kitab raja-raja Israel dan Yehuda.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: 2 Tawarikh 35
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: 2 Tawarikh 35

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV