1 Salomo anak Daud memperkuat kedudukannya dalam kerajaannya, dan TUHAN, Allahnya, menyertai dia serta membuatnya sangat agung sekali.
2 Salomo berbicara kepada seluruh Israel – kepada para pemimpin pasukan seribu dan pasukan seratus, kepada para hakim, serta kepada semua pemimpin di seluruh Israel, iaitu para ketua kaum keluarga –
3 lalu bersama seluruh jemaah itu Salomo berangkat ke bukit pemujaan di Gibeon, kerana di sana ada Khemah Pertemuan yang dibuat Musa, hamba TUHAN itu, di gurun.
4 Tabut perjanjian Allah memang telah diangkut oleh Daud dari Kiryat-Yearim ke tempat yang disediakan Daud untuk itu, kerana dia telah membentangkan khemah untuk tabut itu di Yerusalem.
5 Namun demikian, mazbah daripada gangsa yang dibuat oleh Bezaleel anak Uri anak Hur masih ada di sana, di depan Khemah Suci TUHAN. Maka ke sanalah Salomo dan jemaah itu pergi mencari petunjuk TUHAN.
6 Di sana, di hadapan TUHAN, Salomo mempersembahkan seribu korban bakaran di atas mazbah gangsa yang ada di depan Khemah Pertemuan itu.
7 Pada malam itu Allah menampakkan diri kepada Salomo dan berfirman, “Mintalah apa yang kauingin Kukurniakan kepadamu.”
8 Kata Salomo kepada Allah, “Engkau telah menunjukkan kasih yang besar kepada Daud, ayahku, dan Engkau telah mengangkat aku menjadi raja menggantikannya.
9 Sekarang, ya TUHAN Allah, kiranya janji-Mu kepada Daud, ayahku, diteguhkan kerana Engkau telah mengangkat aku menjadi raja atas umat yang besar bilangannya seperti debu tanah.
10 Berilah aku sekarang kebijaksanaan dan pengetahuan supaya aku dapat menangani ini dan itu sebagai pemimpin umat ini, kerana siapakah yang dapat memerintah umat-Mu yang besar ini?”
11 Firman Allah kepada Salomo, “Kerana engkau menghendaki hal itu, dan engkau tidak meminta kekayaan, harta benda, kemuliaan, nyawa orang yang membencimu, atau umur panjang, melainkan meminta kebijaksanaan serta pengetahuan supaya dapat memerintah umat-Ku yang engkau telah Kuangkat menjadi raja,
12 maka kebijaksanaan dan pengetahuan itu dikurniakan kepadamu. Selain itu, Kukurniakan juga kepadamu kekayaan, harta benda, dan kemuliaan yang belum pernah dimiliki raja mana-mana pun sebelum engkau dan tidak akan dimiliki seorang pun sesudah engkau.”
13 Kemudian dari Gibeon itu, iaitu dari hadapan Khemah Pertemuan di bukit pemujaan, Salomo pulang ke Yerusalem, dan dia pun bertakhta atas Israel.
14 Salomo mengumpulkan rata dan pasukan berkuda. Dia mempunyai seribu empat ratus buah rata dan dua belas ribu orang pasukan berkuda yang ditempatkannya di kota-kota rata dan juga di Yerusalem bersama-sama raja.
15 Raja membuat perak dan emas di Yerusalem sama seperti batu kerana banyaknya, dan pokok araz sama banyaknya seperti pokok ara yang ada di Dataran Rendah.
16 Kuda untuk Salomo dibawa masuk dari Mesir dan dari Kewe. Saudagar-saudagar raja membelinya dari Kewe dengan harga pasaran.
17 Sebuah rata yang dibawa masuk dari Mesir berharga enam ratus syikal perak, manakala seekor kuda berharga seratus lima puluh syikal. Kemudian dengan perantaraan mereka semua itu dijual lagi kepada semua raja Het dan kepada raja-raja Aram.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: 2 Tawarikh 1
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: 2 Tawarikh 1

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV