1 Setelah itu, Daud mengalahkan orang Filistin dan menakluki mereka. Lalu dia merebut kota Meteg-amah daripada tangan orang Filistin itu.
2 Raja Daud juga mengalahkan orang Moab. Dia menyuruh mereka berbaring di tanah lalu mengukur mereka dengan tali. Barisan orang sepanjang dua ukuran tali itu dibunuh manakala barisan yang sepanjang satu ukuran tali dibiarkan hidup. Kemudian orang Moab menjadi hamba Daud dan harus mempersembahkan ufti kepadanya.
3 Daud juga mengalahkan Hadadezer anak Rehob, Raja Zoba, pada waktu dia pergi untuk memulihkan kekuasaannya di Sungai Efrat.
4 Daripada raja itu, Daud menawan seribu tujuh ratus orang pasukan berkuda dan dua puluh ribu orang pasukan berjalan kaki. Lalu Daud memotong urat keting semua kuda rata tentera raja itu dan meninggalkan bilangan kuda yang cukup bagi seratus buah rata.
5 Maka datanglah pula orang Aram dari Damsyik untuk menolong Hadadezer, raja Zoba, tetapi Daud berjaya menumpaskan dua puluh dua ribu orang daripada kalangan Aram itu.
6 Kemudian Daud menempatkan pasukan pendudukan di Aram Damsyik. Orang Aram pun menjadi taklukan Daud dan wajib mempersembahkan ufti kepadanya. TUHAN mengurniakan kemenangan kepada Daud ke mana-mana sahaja dia pergi.
7 Daud mengambil perisai-perisai emas yang digunakan oleh para pegawai Hadadezer dan membawanya ke Yerusalem.
8 Dari kota Hadadezer iaitu Betah dan Berotai, Raja Daud mengambil begitu banyak sekali gangsa.
9 Tou, raja Hamat, mendengar khabar bahawa Daud mengalahkan seluruh tentera Hadadezer.
10 Maka Tou mengutus Yoram, anaknya, kepada Raja Daud untuk menanyakan keadaannya dan mengucapkan selamat kepadanya kerana dia telah memerangi Hadadezer serta mengalahkannya. Hadadezer memang telah sering memerangi Tou. Yoram membawa barang-barang daripada perak, emas, dan gangsa,
11 lalu Raja Daud mentakdiskan kesemuanya bagi TUHAN bersama-sama perak dan emas yang ditakdiskannya daripada segala bangsa yang ditaklukkannya,
12 iaitu orang Aram, orang Moab, orang Amon, orang Filistin, dan orang Amalek. Selain itu dia juga mentakdiskan hasil jarahan daripada Hadadezer anak Rehob, raja Zoba.
13 Nama Daud menjadi masyhur sekembalinya daripada menewaskan tentera seramai lapan belas ribu orang Edom di Lembah Garam.
14 Dia menempatkan pasukan pendudukan di seluruh Tanah Edom, dan semua orang Edom menjadi taklukan Daud. TUHAN mengurniakan kemenangan kepada Daud ke mana-mana sahaja dia pergi.
15 Demikianlah Daud bertakhta atas seluruh Israel dan menegakkan keadilan dan kesaksamaan bagi seluruh rakyatnya.
16 Yoab anak Zeruya mengepalai tentera. Yosafat anak Ahilud menjadi pencatat sejarah.
17 Zadok anak Ahitub dan Ahimelekh anak Abyatar menjadi imam. Seraya menjadi jurutulis.
18 Benaya anak Yoyada mengepalai orang Kreti dan orang Pleti manakala anak-anak Daud mengisi jawatan imam.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: 2 Samuel 8
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: 2 Samuel 8

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV