1 Setelah itu, Daud meminta petunjuk daripada TUHAN, katanya, “Adakah aku harus pergi ke mana-mana satu kota Yehuda?” Firman TUHAN kepadanya, “Pergilah.” Lalu tanya Daud, “Ke manakah harus aku pergi?” Firman-Nya, “Ke Hebron.”
2 Maka pergilah Daud ke sana dengan kedua-dua orang isterinya, iaitu Ahinoam, orang Yizreel, dan Abigail, balu Nabal, orang Karmel.
3 Daud juga membawa orang yang menyertainya, masing-masing dengan keluarganya. Lalu mereka tinggal di kota-kota Hebron.
4 Kemudian datanglah orang Yehuda, dan mereka melantik Daud di sana sebagai raja atas keturunan kaum Yehuda. Apabila Daud diberitahu demikian, “Orang Yabesh-Gilead yang memakamkan Saul,”
5 Daud pun mengutus beberapa orang kepada orang Yabesh-Gilead dengan pesan, “Semoga TUHAN memberkati kamu kerana kamu telah menunjukkan kasihmu yang sedemikian kepada Saul, tuanmu, iaitu dengan memakamkannya.
6 Sekarang, semoga TUHAN menunjukkan kasih abadi dan kesetiaan-Nya kepada kamu. Aku pun hendak membalas kebaikanmu, kerana kamu telah melakukan hal yang demikian itu.
7 Maka sekarang, kuatkanlah dirimu dan jadilah orang yang gagah perkasa kerana Saul, tuanmu, telah gugur, dan keturunan kaum Yehuda telah melantik aku sebagai raja atas mereka.”
8 Sementara itu Abner anak Ner, panglima tentera Saul, telah mengambil Isyboset anak Saul dan membawanya ke Mahanaim,
9 lalu menobatkan Isyboset untuk menjadi raja atas Gilead, atas orang Asyuri, atas Yizreel, atas Efraim, atas Benyamin, dan atas seluruh Israel.
10 Isyboset anak Saul berumur empat puluh tahun pada waktu dia merajai Israel, dan dia bertakhta selama dua tahun. Namun begitu, keturunan kaum Yehuda tetap mengikuti Daud.
11 Selama tujuh tahun enam bulan Daud merajai keturunan kaum Yehuda di Hebron.
12 Kemudian Abner anak Ner dan anak-anak buah Isyboset anak Saul mara dari Mahanaim ke Gibeon.
13 Yoab anak Zeruya serta para anak buah Daud juga mara, lalu mereka bertemu berdekatan dengan Telaga Gibeon. Satu pihak tinggal di sisi telaga sebelah sini, manakala satu pihak di sisi telaga sebelah sana.
14 Kata Abner kepada Yoab, “Suruhlah anak-anak muda tampil dan bertanding di hadapan kita.” Jawab Yoab, “Ya, suruhlah mereka tampil ke hadapan.”
15 Kemudian bersiaplah mereka dan maju menurut jumlahnya, iaitu dua belas orang daripada suku Benyamin dan daripada Isyboset anak Saul, serta dua belas orang daripada anak buah Daud.
16 Lalu masing-masing menangkap kepala lawannya dan menikamkan pedangnya ke rusuk lawannya, sehingga mereka roboh bersama-sama. Oleh sebab itu tempat itu disebut Helkat-Hazurim, letaknya di Gibeon.
17 Maka berlakulah peperangan yang amat sengit pada hari itu. Abner dan orang Israel tertewas oleh anak buah Daud.
18 Pada waktu itu ketiga-tiga orang anak Zeruya iaitu Yoab, Abisai, dan Asael ada di sana. Asael, yang larinya cepat bagaikan seekor kijang liar,
19 mengejar Abner. Dia tidak menyimpang ke kanan ataupun ke kiri ketika dia mengejar Abner.
20 Lalu Abner menoleh ke belakang dan bertanya, “Engkaukah orang itu, Asael?” Jawabnya, “Ya.”
21 Kata Abner kepadanya, “Menyimpanglah ke kanan atau ke kiri. Tangkaplah salah seorang anak muda itu, lalu ambillah perlengkapannya bagimu.” Tetapi Asael tidak mahu menyimpang dan terus mengejarnya.
22 Maka Abner berkata sekali lagi kepada Asael, “Menyimpanglah, jangan mengekori aku. Haruskah aku menghentam engkau jatuh ke tanah? Bagaimanakah aku dapat memandang muka Yoab, abangmu?”
23 Tetapi dia tidak juga mahu menyimpang. Oleh sebab itu Abner menikamkan hujung tombaknya ke perut Asael, sehingga tombak itu tembus ke belakangnya. Lalu robohlah dia di sana dan tewas di tempat itu juga. Maka semua orang yang sampai di tempat Asael roboh dan tewas itu berhenti di sana.
24 Akan tetapi, Yoab dan Abisai mengejar Abner. Ketika matahari terbenam, sampailah mereka di Bukit Ama, yang berhadapan dengan Giah, di jalan menuju Gurun Gibeon.
25 Kemudian berkumpullah bani Benyamin di belakang Abner menjadi satu pasukan, lalu mereka berdiri di puncak sebuah bukit.
26 Abner berseru kepada Yoab, katanya, “Haruskah pedang tidak henti-henti makan? Tidakkah engkau tahu bahawa hal itu akan berakhir dengan kepahitan? Berapa lama lagi engkau enggan menyuruh pasukan itu berhenti mengejar saudara-saudara mereka?”
27 Jawab Yoab, “Demi Allah yang hidup, jika engkau tidak angkat bicara, tentu pasukan itu akan terus mengejar saudara-saudaranya hingga pagi.”
28 Maka Yoab meniup sangkakala dan seluruh pasukan pun berhenti. Mereka tidak lagi mengejar orang Israel dan tidak lagi berperang.
29 Kemudian Abner dan orangnya berjalan sepanjang malam melalui Araba lalu menyeberangi Sungai Yordan lantas berjalan sepanjang siang sehingga tiba di Mahanaim.
30 Yoab pun berhenti mengejar Abner. Ketika dia mengumpulkan serta menghitung seluruh pasukan, ternyata anak buah Daud berkurang sembilan belas orang di samping Asael.
31 Tetapi anak buah Daud mengalahkan orang Benyamin, iaitu orang Abner, hingga tewas tiga ratus enam puluh orang.
32 Lalu mereka mengangkat jenazah Asael dan mengebumikannya di kubur ayahnya di Betlehem. Yoab dan orangnya berjalan semalam-malaman lalu sampai di Hebron ketika fajar menyingsing.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: 2 Samuel 2
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: 2 Samuel 2

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV