1 Yoab anak Zeruya tahu bahawa hati raja merindui Absalom.
2 Maka Yoab menghantar orang ke Tekoa untuk menjemput seorang perempuan yang bijak dari sana. Lalu Yoab berkata kepadanya, “Berpura-puralah berkabung dan kenakanlah pakaian perkabungan. Jangan guna minyak wangi. Sebaliknya, bertindaklah seperti seorang perempuan yang sudah lama berkabung kerana kematian seseorang.
3 Kemudian pergilah menghadap raja dan sampaikanlah kepada raja kata-kata ini.” Lalu Yoab mengajarkan apa yang harus dikatakannya kepada raja.
4 Maka perempuan Tekoa itu menghadap raja, lalu sujud dan memberi hormat. Katanya, “Tolonglah, ya Raja.”
5 Tanya raja kepadanya, “Ada apa?” Jawabnya, “Sesungguhnya, hamba ini seorang balu; suami hamba sudah meninggal.
6 Hambamu ini mempunyai dua orang anak lelaki. Suatu ketika, mereka berkelahi di padang. Tidak ada seorang pun yang meleraikan mereka, lalu anak yang satu memukul anak yang lain dan membunuh dia.
7 Sekarang seluruh kaum bangkit melawan hambamu ini. Mereka berkata, ‘Serahkanlah orang yang membunuh saudaranya itu. Kami akan menghukumnya mati sebagai ganti nyawa saudaranya yang telah dibunuhnya, dan kami pun akan memusnahkan ahli waris itu.’ Dengan demikian mereka bermaksud memadamkan bara api yang masih tersisa, tanpa meninggalkan nama ataupun keturunan bagi suami hamba di atas bumi ini.”
8 Lalu kata raja kepada perempuan itu, “Pulanglah ke rumahmu. Aku akan mengeluarkan perintah perihal perkaramu.”
9 Kata perempuan Tekoa itu kepada raja, “Ya Tuanku Raja, biarlah kesalahan itu ditanggungkan atas hamba dan atas kaum keluarga hamba. Raja dan takhtanya tidak bersalah.”
10 Lalu kata raja, “Jika ada orang yang mengatakan apa-apa lagi kepadamu, bawalah dia menghadap aku, dan dia tidak akan mengganggu engkau lagi.”
11 Kata perempuan itu, “Semoga Raja akan ingat kepada TUHAN, Allahmu, supaya orang yang menuntut balasan darah itu tidak menimbulkan kemusnahan yang lebih besar, dan supaya mereka jangan memusnahkan anak hamba.” Kata raja, “Demi TUHAN yang hidup, sehelai rambut pun daripada kepala anakmu itu tidak akan jatuh ke bumi.”
12 Kemudian berkatalah perempuan itu, “Izinkanlah hambamu ini menyampaikan lagi sepatah kata lagi kepada Tuanku Raja.” Kata raja, “Katakanlah.”
13 Kata perempuan itu, “Mengapakah tuanku merancang hal yang demikian terhadap umat Allah? Dengan mengatakan hal itu, Tuanku Raja berada pada pihak yang salah kerana tidak mengizinkan pulangnya orang yang terbuang.
14 Kita semua kelak akan mati, seperti air yang tercurah ke bumi dan tidak dapat dikumpulkan kembali. Namun demikian, Allah tidak mengambil nyawa orang. Sebaliknya, Dia mengupayakan agar orang yang terbuang tidak terbuang selama-lamanya dari hadapan-Nya.
15 Sekarang hamba datang untuk menyampaikan hal ini kepada Tuanku Raja, kerana orang ramai itu menakut-nakutkan hamba. Jadi, fikir hambamu, ‘Sebaiknya hamba berbicara dahulu dengan raja, siapa tahu raja sudi mengabulkan permintaan hambanya ini.
16 Barangkali raja mahu mendengar dan membebaskan hamba daripada tangan orang yang akan memusnahkan hamba dan juga anak hamba daripada harta pusaka Allah.’
17 Hambamu ini juga berfikir, ‘Perkataan Tuanku Raja pastilah menenteramkan hati, kerana Tuanku Raja seperti malaikat Allah, dapat membezakan antara yang baik dengan yang jahat. Semoga TUHAN, Allah tuanku, menyertai tuanku.’ ”
18 Kemudian raja menjawab, katanya kepada perempuan itu, “Tolong, jangan sembunyikan daripada diriku hal yang hendak kutanyakan kepadamu.” Kata perempuan itu, “Silakan Tuanku Raja berbicara.”
19 Tanya raja, “Bukankah ada campur tangan Yoab dalam semua perkara ini?” Perempuan itu menjawab, demikian, “Demi hidup Tuanku Raja, tiada seorang pun dapat mengelak daripada apa yang dikatakan Tuanku Raja. Memang hambamu Yoab yang memerintahkan hamba, dan dialah yang mengarahkan semua yang harus hamba katakan.
20 Hambamu Yoab melakukan hal ini untuk mengubah keadaan itu. Tetapi tuanku bijak seperti malaikat Allah, sehingga tuanku tahu segala sesuatu yang terjadi di bumi.”
21 Maka kemudian berkatalah raja kepada Yoab, “Baiklah, aku mengabulkan hal itu. Pergilah dan bawalah pulang Absalom, anak muda itu.”
22 Lalu Yoab sujud dan memberi hormat sambil memohon berkat bagi raja. Kata Yoab, “Hari ini hambamu tahu bahawa hamba berkenan di mata Tuanku Raja, kerana Raja telah mengabulkan permintaan hambanya ini.”
23 Setelah itu, bangkitlah Yoab lalu pergi ke Gesur dan membawa Absalom ke Yerusalem.
24 Akan tetapi, raja berkata, “Dia harus pulang ke rumahnya dan tidak boleh datang menghadap aku.” Jadi, pulanglah Absalom ke rumahnya dan tidak datang menghadap raja.
25 Pada waktu itu di seluruh Israel tidak ada orang yang begitu dipuji ketampanannya seperti Absalom. Dari telapak kaki sampai ubun-ubunnya dia tiada cacat cela.
26 Pada akhir tiap-tiap tahun dia harus mencukur rambutnya kerana sudah menjadi terlalu berat baginya, dan ketika dia menimbang rambut kepalanya sesudah bercukur, ternyata beratnya dua ratus syikal menurut batu timbangan raja.
27 Lahirlah bagi Absalom tiga orang anak lelaki dan seorang anak perempuan yang cantik parasnya, bernama Tamar.
28 Absalom tinggal di Yerusalem dua tahun lamanya dan tidak pernah datang menghadap raja.
29 Lalu Absalom menyuruh agar Yoab dipanggil untuk diutusnya menghadap raja, tetapi Yoab tidak mahu datang kepadanya. Kemudian untuk kali keduanya dia menyuruh agar Yoab dipanggil lagi. Akan tetapi, Yoab tidak juga mahu datang.
30 Oleh sebab itu berkatalah Absalom kepada hamba-hambanya, “Lihat, ladang Yoab yang ditanami barli ada berdekatan dengan ladangku. Pergilah dan bakarlah.” Maka hamba-hamba Absalom membakar ladang itu.
31 Yoab pun bangkit mendatangi Absalom di rumahnya dan bertanya kepadanya, “Mengapakah hamba-hambamu membakar ladangku?”
32 Jawab Absalom kepada Yoab, “Sesungguhnya, aku telah menyuruh orang untuk menemuimu dengan pesan, ‘Datanglah ke mari, supaya aku dapat mengutus engkau kepada raja untuk bertanya, “Apakah gunanya hamba datang dari Gesur? Lebih baik hamba tetap tinggal di sana.” ’ Jadi sekarang, biarlah aku datang menghadap raja. Jika aku bersalah, aku rela dihukum mati.”
33 Maka pergilah Yoab menghadap raja dan memberitahukan hal itu kepadanya. Raja memanggil Absalom, lalu masuklah dia menghadap raja. Dia pun sujud dan memberi hormat di hadapan raja, kemudian raja mencium Absalom.

Studi Alkitab lengkap, silahkan lihat Alkitab SABDA :: 2 Samuel 14
Studi Alkitab mobile, silahkan lihat Alkitab Mobi :: 2 Samuel 14

Download Aplikasi Alkitab Karaoke (BETA) Android:
https://play.google.com/store/apps/details?id=org.sabda.alkitabkaraoke
Kunjungi Alkitab Audio Diglot:
AYT - KJV